Salam. Hai. Saya Anem Arnamee. Terima kasih sudi datang, membaca mahupun berkongsi artikel blog ini. Maaf jika ada kekurangan & teguran amat dialu-alukan. Moga yang baik-baik selalu untuk kalian semua. Insya-Allah.

- Jika anda mahu sebarang kolaborasi/pengiklanan (review/ruang iklan) di blog ini boleh rujuk page ini.
- Jika ada pertanyaan lain, boleh mesej di facebook ANEM ARNAMEE atau e-melkan ke arnamee (at) gmail.com.

(Ulangkaji) Segalanya Tentang Bulan Ramadhan


Ramadhan bakal tiba. Mari kita imbas seketika (flashback). Di bawah ini saya kongsikan apa yang saya baca melalui Majalah Solusi dan Majalah Fardhu Ain berkaitan ramadhan. Ada pembetulan atau penambahan dipersilakan beri pendapat.

Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan bulan yang mulia ini, insya-Allah. Ameen.

Maksud / Definisi Puasa:

Dari sudut bahasa [luggho]: Menahan diri dari sesuatu

Dari sudut istilah: Menahan diri daripada makan atau minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar siddiq hingga terbenam matahari.

Maksud Firman ALLAH s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" Surah al-Baqarah: 183

Niat Puasa: [rujuk niat puasa jawi rumi: sini]


"Sahaja aku berpuasa ramadhan pada keesokan hari kerana ALLAH taala."

Syarat sah puasa :


- Beragama islam
- Berakal
- Tidak dalam haid, nifas, wiladah (darah ketika melahirkan anak bagi kaum wanita)
- Hari yang sah berpuasa
Saidina Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bilik-bilik gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya. Demikian juga bahagian dalamnya terlihat dari luarnya. Allah SWT menyiapkan gedung-gedung itu buat orang yang suka memberi makan fakir miskin, lembut bicaranya, gemar berpuasa dan bersolat pada malam hari sewaktu yang lain tidur nyenyak." (Hadi riwayat At-Tirmidzi)
Syarat Wajib puasa :

- Beragama Islam
- Baligh (telah mencapai umur dewasa)
- Berakal
- Berupaya untuk mengerjakannya
- Sihat
- Tidak Musafir

Hukum puasa terbahagi kepada tiga iaitu:

Wajib- Puasa pada bulan Ramadan.
Sunat- Puasa pada hari-hari tertentu seperti hari Isnin dan khamis, hari Asyura, hari Arafah, dan lain-lain.
Haram- Puasa pada hari-hari yang dilarang berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyrik. (11,12, 13 Zulhijah)
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
"Tidak diharuskan bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah, me­lainkan dengan izin suaminya. Dan janganlah kamu mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumahnya melainkan dengan izinnya (suami)." (Riwayat al-Bukhari, No. 4899)

Sunat Berpuasa


Perbuatan-perbuatan yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa:

- Makan sahur.
- Menyegerakan berbuka puasa.
- Melewatkan makan sahur.
- Meninggalkan perbualan kosong.
- Memperbanyakkan membaca al-Quran.
- Memperbanyakkan sedekah.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa: 


- Makan dan minum dengan sengaja.
- Muntah dengan sengaja.
- Bersetubuh.
- Keluar darah haid atau nifas.
- Gila.
- Mengeluarkan mani (istimna') pada siang hari. 
- Murtad.
* Komitmen pengabdian

Perkara-perkara makruh ketika puasa:

- Berkumur-kumur atau bersugi apa­bila waktu matahari telah tergelincir.
- Telalu memasukkan air ke hidung ketika dalam puasa.
- Mengeluarkan kata-kata yang keji.*

*Jauhilah semampumu

Uzur yang membolehkan puasa ditinggalkan

- Sakit yang menghilangkan kekuatan untuk berpuasa.
- Berjalan jauh, sejauh perjalanan yang membolehkan mengqasar solat.
- Orang tua yang sangat lemah.
- Lapar dan dahaga yang bersangatan.
*Keringanan Syarak buat ummat

Rukun Puasa


- Berniat untuk berpuasa
- Meninggalkan sesuatu yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari

Hari Disunatkan Berpuasa


- Isnin dan Khamis
- Hari putih ( 13,14,15 hari dalam bulan hijrah )
- Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan haji
- Enam hari pada bulan syawal
- Hari asyura (10 Muharram)

Hari yang diharamkan berpuasa


- Hari raya aidilfitri (1 Syawal)
- Hari raya aidiladha (10 Zulhijjah)
- Hari tasyriq (11,12,13 Zulhijjah)
- Hari syak (30 Syaaban)

Ramadhan turut dikenali sebagai (nama lain bagi bulan ramadhan / puasa )
:

- Syahrul ibadah- bulan ibadah
- Syahrul Fath- bulan kemenangan
- Syahrul Huda- bulan petunjuk
- Syahrul Ghufran- bulan penuh keampunan
- Syahrul Salam- bulan keselamatan
- Syahrul Jihad- bulan perjuangan

Belajar dalam Bulan Ramadan


Sebahagian besar pelajar semakin menghampiri peperiksaan utama men­jelang Ramadan tahun ini. Masa yang di­peruntukkan untuk mengulang kaji pelajaran tentunya lebih panjang. Seperti orang bekerja, belajar juga merupakan proses bekerja yang amat penting.

Jadi, semua pelajar seharusnya mengambil kesempatan menggembleng tenaga untuk menggunakan kedatangan bulan Ramadan ini untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran dengan cemerlang. Jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk memberi alasan mengerjakan ibadah puasa hingga menyebabkan anda tertinggal dalam pelajaran.


Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu membayar puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib diganti mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan (ini boleh rujuk negeri berkaitan).

Soal jawab Muslimah

Dibolehkan Tidak Berpuasa 


SAYA difahamkan wanita mengandung boleh meninggalkan puasa dalam bulan Ramadan. Cuma saya musykil, ada yang mengatakan perlu dibayar kifarat dan ada yang kata tidak perlu. Minta penjelasan.


MEMANG benar, wanita atau ibu yang mengandung dibolehkan tidak berpuasa. Tetapi penjelasan mengenainya perlu lebih terperinci kerana jika berlaku salah faham, ramai pula yang tersalah amal. Keringanan ini bukan sahaja diberikan kepada ibu mengandung, tetapi juga kepada ibu yang sedang menyusu anaknya.

Terdapat dua kes yang perlu difahami oleh wanita yang terlibat. Kedua-duanya berbeza hukumnya. Supaya lebih jelas, perhatikan kes berikut:

Seorang wanita sedang mengandung anak sulung sering pening dan muntah-muntah. Oleh sebab tidak ada pengalaman sebelumnya, dia bimbang jika terus berpuasa tentu meletihkan. Dalam keadaan itu dia boleh berbuka puasa.

Suka saya sebut di sini, dalam kitab menyebut boleh berbuka puasa, ini menunjukkan sebelum itu dia sedang berpuasa, maka apabila dia tidak sihat bolehlah berbuka. Berdasarkan itu, mereka yang mengandung dalam kategori begitu perlu berniat puasa seperti biasa, tetapi apabila tahap kesihatan membimbangkan, berbukalah.

Jadi, tidak bolehlah seseorang yang mengandung itu terus tidak mahu berpuasa sepanjang hari sedangkan pada awalnya dia masih bermaya. Mereka yang berbuka puasa atas sebab di atas wajib mengqada puasa itu sebaik-baiknya pada bulan Syawal nanti atau sebelum Ramadan tahun berikutnya. Dan dia tidak perlu bayar sebarang kifarat.

Seorang wanita sedang mengandung anak sulung yang usia kandungannya Japan bulan. Dalam keadaan yang sarat itu dia kelihatan kurang bermanya, apatah lagi kandungannya semakin besar. Secara peribadi dia mampu menerus berpuasa sehingga waktu berbuka, tetapi bimbang anak dalam kandungannya tidak mendapat bekalan makanan secukupnya.

Oleh sebab memikirkan kandungannya itu mungkin terjejas, dia berbuka puasa untuk membolehkan dia makan secukupnya. Di sini, dia berbuka puasa bukan kerana dirinya tetapi kerana anaknya. Oleh sebab itu, dia wajib menggantikan puasa itu selepas masuk Syawal. Dia juga wajib membayar kifarat dengan kadar secupak beras bagi setiap hari dia tidak berpuasa itu kepada fakir miskin. Ertinya kifarat itu perlu dibayar segera pada hari berkenaan juga, bukan pada waktu dia menggantikan puasa ganti.

Perbezaan kes ini boleh dijadikan panduan sekali gus menjawab soalan yang ditimbulkan di atas. Kes yang sama juga boleh dikiaskan pada ibu yang menyusukan anak.


Puasa Qada + Puasa Syawal? 


WANITA tidak boleh mengelak daripada ponteng puasa. Persoalannya, apabila masuk 2 Syawal, bolehkah mereka berpuasa qada dan puasa enam (puasa enam hari di bulan Syawal) secara serentak?


PERSOALAN seperti ini sering ditanyakan setiap tahun. Untuk menjawab persoalan itu suka saya memberikan dua pendekatan dan kedua-dua itu boleh digunakan sebaik­-baiknya.

Jika anda mempunyai puasa qada tujuh hari, maka pada 2 Syawal anda boleh berniat puasa qada, "Sahaja aku puasa qada Ramadan esok hari kerana Allah Taala." Dengan niat itu anda beroleh puasa qada dan pahala sunat Syawal juga diperoleh secara automatik.

Apabila sudah mengqada puasa selama enam hari, secara automatik dia sudah pun melaksanakan puasa enam. Namun kalau dia hendak berpuasa sunat Syawal lagi selepas itu, masih digalakkan.

Dia juga boleh berniat, "Aku berpuasa qada Ramadan dan sunat Syawal esok hari kerana Allah Taala," dengan niat ini dia dikira berpuasa qada dan mendapat pahala puasa sunat Syawal. Jadi, puasa Syawalnya sudah memadai. Walau bagaimanapun ada yang tersilap niat dengan menyebut puasa sunat dahulu, maka dengan itu niat puasa qada tidak terpakai. Supaya lebih jelas perhatikan contoh berikut:

"Aku berpuasa sunat Syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah Taala." Dalam kes ini, hanya niat yang pertama dikira sah, manakala yang kedua itu tidak mengikut. Ini kerana puasa sunat lebih kecil daripada puasa qada. Oleh sebab itu umat Islam terutama wanita dianjurkan segera menyelesaikan puasa qada dan sunat enam Syawal dalam bulan Syawal untuk membolehkan mereka mendapatkan anugerah puasa setahun. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengikutinya dengan enam Syawal, mereka seolah-olah berpuasa setahun:

Ini bermakna kalau seseorang yang puasa Ramadannya tidak lengkap, sama ada 29 atau 30 hari tidaklah layak mendapat puasa setahun walaupun enam Syawal sudah sempurna. Jadi, rebutlah peluang ini pada tahun ini.

----------------
Wanita dan Puasa


Keizinan Suami

Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam menjalankan ibadah puasa. Wanita yang suei dari haid dan nifas ketika itu wajib berpuasa, walaupun suaminya tidak mengizinkan. Hal ini kerana tidak boleh mentaati arahan suami mana-mana yang bercanggah dari arahan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Tiada ketaatan terhadap makhluk (suami) dalam perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Pencipta (Allah Taala)." (Riwayat al-Tirmizi) Berlainan keadaannya mengenai puasa sunat. Isteri yang hendak berpuasa sunat wajib meminta izin daripada suaminya kerana izin daripada suami merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat.

Wanita Hamil

Wanita yang sedang hamil atau sedang menyusukan bayi, diberi keringanan kepada mereka untuk berbuka jika dia tidak berdaya meneruskan puasa kerana ditakuti akan membawa mudarat kepada diri ataupun janin yang dikandungi atau bayi yang disusui. Walau bagaimanapun, mereka wajib menggantikan kembali puasa yang ditinggalkan itu. Sungguhpun begitu bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana bimbang janin tidak mendapat makanan yang cukup atau bayi tidak mendapat susu yang cukup, dia perlu membayar fidyah pada setiap hari yang ditinggalkan.

Merasa Makanan

Wanita biasanya akan memasak pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dalam situasi inilah, wanita sering berasa keliru adakah puasa mereka terbatal jika merasa makanan yang dimasak? Tanpa merasa makanan itu bagaimana hendak memastikan makanan itu cukup perasa atau tidak? Sebenarnya hukum merasa makanan itu adalah makruh kecuali bagi mereka yang benar-benar memerlukannya sebagai contoh pembuat roti yang perlu memastikan segala bahan yang dicampurkan dalam bancuhan roti itu adalah cukup agar rotinya tidak rosak.

Ciuman dalam Bulan Ramadan

Bercium pada waktu bulan Ramadan adalah makruh bagi yang mudah naik syahwatnya. Bagi yang tidak terangsang, hukumnya tidak makruh tetapi adalah lebih baik meninggalkan perbuatan mencium, bercumbu mesra dan sebagainya kerana ditakuti akan naik syahwat serta terbatal puasanya. Orang yang bercumbu-cumbu hingga kemudian inzal, wajib baginya untuk meng­gantikan puasa itu kerana sudah dikira terbatal. Tetapi kalau pasangan itu berjimak pada siang hari wanita itu tidak diwajibkan membayar kafarah tetapi wajib qada puasanya sedangkan suaminya wajib kafarat. Walau bagaimanapun mencium tangan suami ketika bertemu dan berpisah tiada masalah, apalagi kalau amalan itu sudah biasa sebelum berpuasa. Sabda Rasulullah daripada Aisyah r.ha., maksudnya: "Rasulullah pernah mencium, padahal Baginda berpuasa."

Kata-Kata Wanita

Wanita terkenal dengan aktiviti berkumpul dan berbual-bual. Kadangkala perbuatan seperti itu dibimbangkan mengarah kepada perbuatan mengumpat, berkata kotor dan berdusta. Ketika bulan yang mulia inilah, wanita digalakkan untuk sentiasa berzikir.

Tetap Berpuasa Meskipun dalam Keadaan Junub

Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. bangun dalam keadaan sudah terbit fajar sedangkan dia berjunub dengan isterinya, Baginda terus mandi dan berpuasa." (Muttafaq 'Alaih) Selain itu hadis ini menunjukkan bahawa melakukan hubungan suami isteri pada malamnya adalah harus. Allah Taala membolehkan bag; orang yang hendak berpuasa supaya berniat pada malam hari sebelum berjimak dengan isterinya dan tidur. Jadi, kalau dia bangun dalam keadaan berjunub tidak membatalkan niat puasanya. Sebahagian umat Islam masa kini tidak tahu akan hukum ini lalu menganggap puasa mereka terbatal. Hal ini tidak benar kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan kepada umatnya yang terkebelakang. 

Qada Puasa

Apabila seseorang wanita itu didatangi haid dan nifas, mereka mestilah mengganti semula puasa yang telah ditinggalkan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.

• Puasa pada hari-hari lain yang dibolehkan untuk menggantikan puasa yang tertinggal.

• Tidak diwajibkan melakukannya secara segera tetapi apabila ada kelapangan waktu hendaklah dilakukan sebelum masuk Ramadan berikutnya.

Kelebihan Aktiviti dalam Bulan Ramadan


Dalam bulan Ramadan anda akan mendapat banyak kelebihan yang susah anda dapati dalam bulan-bulan lain antaranya:

- Solat Subuh berjemaah di surau atau masjid.

- Peluang membaca al-Quran waktu tengah hari atau malam sebelum tidur.

- Berhimpun sambil bertemu dengan keluarga ketika bersahur dan berbuka.

- Solat Tarawih dan Witir berjemaah dengan anak-anak dan keluarga.

- Keceriaan membeli kuih-muih sebelum berbuka.

- Menguji ketabahan ketika bangun awal pagi untuk makan sahur.

- Bertadarus al-Quran dengan matla­mat mengkhatamkan al-Quran paling kurang sekali khatam dalam setahun.

- Menanti-nanti kemunculan malam Lailatulqadar di mana jika beribadah pada malam tersebut akan mendapat ganjaran pahala seperti beribadah selama seribu bulan.

- Menyertai iktikaf dan qiamullail di masjid terutama pada 10 malam terakhir.

- Menanti datangnya malam raya yang merupakan malam kemenangan yang diisytiharkan melalui takbir hari raya bermula daripada terbenamnya matahari Ramadan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri. 

Masya-Allah, seronoknya ramadhan! :)

_________________

Selamat berpuasa, semua. 
Moga kita dipertemukan dengan bulan ini dan ibadah kita diterima, insya-Allah.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca . Salam.

SOLUSI ISU #10 • #22  I Fardu Ain #3


3 yang menasihati

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee © TERIMA KASIH ♥



click to te top