Salam. Hai. Saya Anem Arnamee. Terima kasih sudi datang, membaca mahupun berkongsi artikel blog ini. Moga yang baik-baik selalu untuk kalian semua. Insya-Allah. Jika mahu sebarang kolaborasi (pengiklanan) atau ada sebarang pendapat boleh tinggalkan di ruangan komen, mesej di facebook atau e-melkan ke arnamee (at) gmail.com.

Isu: Sebatan Syariah, Zakat ar-Riqab dan kesedaran autisme


Baru-baru ini ada beberapa perkara yang hangat diperkatakan di kalangan rakyat serta netizen di Malaysia. Antaranya, hukuman sebatan syariah yang pertama kali di jalankan di Malaysia, isu zakat untuk pemulihan golongan LGBT dan lain-lain serta isu anak autisme yang ditahan polis berdasarkan sebuah laporan.

Isu: Sebatan Syariah
Perbezaan hukum sebatan syariah vs sivil - Sumber: @bernamadotcom
Baru-baru ini, dua wanita masing-masing berusia berumur 32 dan 22 tahun menjalani hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta pada April lalu. Mereka dihukum mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (perhubungan seks sesama perempuan).

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya. Dua wanita itu dihukum sebat enam kali hari ini kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Nota: Sebatan ini tidaklah seperti digembar-gemburkan. Dibuat pun di hadapan khalayak yang dikenali dan terdekat sahaja dengan tertuduh (bukanlah untuk tontonan semua kita) serta sebatan syariah lebih perlahan (serta rendah ayunan tangan) berbanding sebatan sivil. Malahan sebatan ini lebih ke arah memberi kesedaran, keinsafan serta berunsurkan kasih sayang dan bukan tujuan mengaibkan apatah lagi menyakitkan. Moga kita semua diberi hidayah dan kefahaman. Insya-Allah.

Zakat ar-Riqab


Baru-baru ini ramai mempertikaikan bahagian zakat ar-Riqab untuk golongan LGBT ini.

Nota: TIDAK! Zakat ini bukanlah untuk mereka yang 'masih mengamalkan' namun buat mereka yang dalam proses berhijrah attau 'pemulihan'. Untuk yang ingin kembali ke pangkal jalan. Bukan LGBT sahaja, malah ramai yang benar bersungguh ingin berhijrah dan berubah layak mendapat zakat ini. Maksudnya zakat ini lebih kepada menunjukkan betapa Islam adalah agama rahmat, bertolongan dan berkasih sayang. 

MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam Jadual dan disiarkan menurut subseskyen 48(6) Enakmen itu.

Senarai jenis penerima agihan asnaf Al-Riqab berikut adalah layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam:

Rujukan senarai penerima zakat ar-Riqab: http://www.muftiselangor.gov.my

(1) Masalah sosial:

(a) Terbelenggu dengan dadah:
i. Penagih dadah.
ii. Bekas penagih dadah.

(b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah
i. Minum arak.
ii. Zina.
iii. Judi.
iv. Khalwat
v. Buang anak
vi. Mengandung luar nikah.
vii. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.
viii. Sumbang mahram.
ix. Persetubuhan haram.
x. Muncikari (ibu ayam).
xi. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam.
xii. Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 1995.

(c) Terbelenggu dengan amalan salah Islam:
i. Tidak solat.
ii. Tidak puasa.
iii. Buang anak.
iv. Usaha ingin bunuh diri.
v. Hidup bersama pelacur.

(d) Terbelenggu dengan gaya hidup sonsang:
i. Pelacur.
ii. Lesbian.
iii. Mak Nyah (Transexual).
iv. Gay.
v. Homoseksual.
vi. Gigolo.
vii. Biseksual.
viii. Pengkid.
ix. Tomboy.
x. Bersedudukan dengan orang bukan Islam.

(e) Terbelenggu dengan kes juvana:
i. Gangster.
ii. Jenayah melibatkan harta benda.
iii. Pergaduhan yang nelibatkan kecederaan.
iv. Kes rompak.
v. Pecah rumah.
vi. Kes rogol.
vii. Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya.
viii. Ugutan yang melibatkan keganasan.

(f) Terbelenggu dengan penyakit kronik :
i. Penyakit HIV/AIDS.
ii. Kanser/barah.
iii. Tibi.
iv. Hepatitis.
v. Dan lan-lain.

(2) Masalah Akidah:

(a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat:
i. Doktrin palsu.
ii. Mengaku menjadi nabi.
iii. Menghina Islam.
iv. Pemujaan salah.
v. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.
(b) Memurnikan akidah orang Isalam yang terpesong
i. Orang yang ingin/berhasrat murtad.
ii. Orang yang dalam proses Istitabah.
Cara mohon bantuan zakat (sama ada kategori ini atau pun banyak kategori lain yang layak), adalah dengan pergi ke kaunter zakat berhampiran atau boleh memuat naik borang atas talian / online, di laman web ini: http://www.zakatselangor.com.my/agihan/
Kesedaran autisme

Semua perkara ada hikmahnya. Sesuatu itu berlaku mungkin untuk memberi penambaikan. Begitu juga kejadian pemuda autisme ditangkap serta digari mengikut prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini dipertikai ramai kerana dia adalah OKU (mereka yang autisme ini jenis yang tidak tahu maksud akibat dan kesan tindakan mereka, apatah lagi untuk membuat pertimbangan), kini telah mendapat perhatian PDRM untuk dilihat semula SOP penangkapannya jika mereka yang istimewa ini terlibat lagi hal sebegini kelak.

*Baru-baru ini sidang media PDRM, Yayasan Pengaman dan Permata Kurnia (PK) telah diadakan. Antara yang dibincangkan dengan PDRM adalah Autism Awareness Training dalam kalangan warga PDRM dan SOP menangani kes melibatkan individu autisme.

PK berkongsi pengalaman membangunkan kursus atas talian iKurnia dan mencadangkan agar Autism Awareness Training yang bakal dibangunkan juga dibuat secara atas talian di samping latihan face-to-face.

*Sumber: FB Hasnah Toran

Berita asal:
Pada 11 September lalu, Ahmad Ziqri ditahan polis selepas laporan polis dibuat mangsa berusia 24 tahun, mendakwa pemuda autisme itu menyentuh dadanya. Insiden itu berlaku ketika Ahmad Ziqri bersama keluarganya keluar makan malam di Subang Jaya, sempena ulang tahun kelahiran pemuda berkenaan. Sebelum kejadian, Ahmad Ziqri berlari keluar dari restoran dan masuk ke beberapa kedai berhampiran, sebelum bertindak menyentuh dada seorang gadis tanpa disedari ibunya. Kejadian itu tular di media sosial, termasuklah satu video memaparkan Ahmad Ziqri yang berpakaian lokap digari ketika Hasnah dilihat cuba menenangkan anaknya. Pemuda itu telah ditahan untuk memberi keadilan kepada kedua-dua pihak. Tindakan polis dibuat di atas laporan mengikut SOP.

Bagaimanapun, difahamkan permohonan reman ke atas pemuda itu ditolak mahkamah atas sebab keadaannya yang mengidap autisme. Ibu Ziqri (Hasnah) berharap kejadian itu bakal membuka mata pihak berkuasa untuk memperbaharui prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan dengan individu seperti Ahmad Ziqri. Insya-Allah.

Lain-lain berita
Gambar: @NST_Online
Semoga tabah

Buat mangsa ribut di Perlis baru-baru ini semoga diberi kekuatan dan buat lagenda kesayangan kita, Datuk Lee Chong Wei moga diberi kesembuhan dan dipermudahkan dalam melalui rawatan untuk penyakit kanser hidungnya. Untuk anda semua yang diuji dengan kesakitan diri mahupun ahli keluarga, moga diberi ketabahan dan akan baik-baik saja nanti, insya-Allah.

Tahniah

Tahniah buat negeri Terengganu, yang menjadi juara keseluruhan Sukma di Perak baru-baru ini. Tidak lupa juga buat atlet-atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia yang lalu di Indonesia. Serta untuk industri perfileman Malaysia, yang mempunyai filem yang semakin bermutu dan mendapat sambutan yang baik serta luar biasa (seperti Hantu Kak Limah 2018, Dukun, Munafik 2, One Two Jaga dan Paskal).

Menyedihkan

Moga ada perubahan dan penambahbaikan untuk masalah yang melanda sebuah pusat tahfiz baru-baru ini. Biarlah yang mengajar betul-betul mahu menjaga dan mendidik, bukan yang sebaliknya. Wallahua'lam.

Takziah

Gambar: @bernamadotcom
Salam takziah untuk keluarga Allahyarham pencipta, penulis lagu, penerbit album dan pejuang Irama Malaysia, Pak Ngah yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Selasa, 25 September lalu. Innalilahi wa inna ilaihi rojiun. Moga beliau di tempat di kalangan mereka yang beriman.

Hati-hati

Moga kita lebih berhati-hati dalam apa sahaja produk yang kita pakai di wajah atau di mana sahaja, yang kita makan serta minum. Lihat dulu asal bahan dan kesesuaiannya dengan kita (bukan ikut-ikutan). Mana kita boleh jaga, kita jaga baik-baik. 

Moga-moga

Moga Malaysia terus maju jaya sama ada dari segi kewangan, politik, perpaduan mahupun keseluruhannya. Bersyukur dan hargailah untuk rezeki dan nikmat yang ada, untuk yang belum; kita terus usahakan dan perbaiki lagi menuju yang terbaik. Malaysia boleh! Insya-Allah.



0 yang menasihati:

Sebarang pendapat , nasihat atau soalan ?

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.






Anem Arnamee © TERIMA KASIH ♥



click to te top