Pilihan. Kadangkala sesuatu itu sangat jelas untuk dipilih. Tak perlu diterangkan sampai naik jerih. Dah dewasa dari bertatih , dah dikata kita yang sendiri memilih jalan hitam atau putih. Bila hati kata mahu, takdir akan ikut setuju. Tapi bila kita buntu dan tak tahu, maka jawapannya sendirilah tahu, tetap sama jadi begitu dan terus begitu.

Kawan Anem pernah juga tegur, sampai Anem rasa butir bicaranya seakan diatur-atur , mahu kita terliur dengar ayatnya yang ada segala macam baur.

Dan tatkala hakikatnya diri ni bukan baik sangat ...

Lengan yang seksi.

"Suka singsing baju, jangan, nanti nampak lengan." - Sebuah perkenalan, esok lusa dia bertanya tentang penutup tangan, stokin yang disarung dilengan, handsock diberi gelaran. Diikutkan Anem memang sekadar dengar sekilas, sedangkan kawan tu ikhlas, mahu lihat kita pakai beralas. Ya, tahu tangan itu aurat, perempuan, wanita dalam islam, aurat adalah semua kecuali muka dan tapak tangan. Namun tipu, hati jahat kata rimas, konon panas, dah berlengan kira ada asas, berbanding daripada yang tak berlengan nampak semua bawah atas. Lepas berfikir bukan sehari dua, Anem pun pakai juga, bukan untuk dia, tapi untuk Tuhan yang esa.

Stokin itu sarung kaki.


"Eh! Memang suka pakai stokin ya? Kalau akaklah, tak nak, buat apa? Nanti kaki berbau," Tegur Kak L yang merupakan pekerja lama di pejabat masa Anem di sebuah negeri dulu. Mahu tidak mahu itulah ayat dia yang kudengar selalu. Sampai naik berbulu. Jika kakiku yang kurang sedap dihidu, beritahu. Namun katanya tidak, bukan sebab itu. Tapi dia kurang selesa melihat kadangkala berbaju kurung namun tetap aku begitu. Nampak tak karporat katanya. Faham. Dia cuma tak selesa. Apapun,  jika tersalah gaya, yang salah pemakai, bukan peraturan dan hukum-hakamnya .*Maaf.

Shawl oh shawl.

Tak adil nak petik nama sesiapa di atas kebangkitan fenomena awek bertudung shawl ke apa. Sebab setiap orang hanya mahu menjadi dirinya dan disuka. Cukuplah ramai dah mula suka pakai sebab agama dan selesa. Tapi berlapis - lipat pusing bukan itu Anem punya cara. Memang bukan fashionista. Tapi masalahnya jarang gila kadangkala. Dalam nampak telinga. Anem pun kadangkala tak terarah gaya. Takut diperasan sesiapa. Akhirnya Anem fikir patut ada tudung dalam sebagai penutup kepala. Kiranya kalau nak bershawl -selendang bagai, cari yang tidak jarang (transparent) tatkala menyarungnya. Wargh! Baru lah cara ! Jangan lupa tutup dada ! :)

Ketat sendat selera remaja.


Tipu kata dulu tak ada beli baju yang ikut badan yang konon perasan ramping macam Nasha Aziz yang popular itu. Nampaklah gaya remaja yang muda dan seiring kawan di hari lalu. Mahu kelihatan cantik, berpotongan dan diperhati kawan dilaluan - bisik dalam kalbu. Tapi untuk apa begitu? Takkan dah tua berkematu masih mahu menadah kata orang-orang yang lalu, mahu mengemis puji-pujian untuk hidup dan dimahu? Tutup bukan suruh bungkus, tahu ? Anem Anem, pakaian begitu mampu meransang dalam suasana yang tidak kita tahu. Jadi, lebih baik cari baju masih cantik namun tetap cerdik untuk diri tu!

Membebel, biar sendiri sedar diri di bulan mulia ni. Semoga jadi lebih baiklah lepas ni nanti. Insya-Allah - ini kena doa tiap hari.

Anem oh Anem..
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]



Biarlah nampak ralat, malah ada dihujani pelbagai kata kesat pada orang tak berminat. Namun satu yang tersirat, buat orang yang tak berapa nak larat, tak mampu keluarkan duit berkerat-kerat, nak menaiki kapal terbang yang ringan tapi nampak sebenarnya berat, Rancangan realiti tv bagi Anem, tak kisahlah apa pun, membuatkan Anem semakin terasa bahawa negeri Sabah, negeri Sarawak itu macam dekat.

Untuk pergi ke sana, macam suatu yang agak mustahil untuk masa-masa sekarang, malah pendedahan melalui subjek sejarah, mujur juga ada televisyen, internet dan juga saluran satelit berbayar, untuk tahu tentang perkembangan dan kelebihan negeri di borneo itu membuatkan Anem rasa wujudnya rancangan macam ni, Anem dapat tengok malah lebih dari itu dengar dan belajar tentang bahasa dan budaya negeri sahabat-sahabat Anem .

Mungkin, jika kita masuk PLKN, selalu berpindah, atau berkemampuan, ia tidaklah menjadi satu kelainan, tapi bagi Anem semenjak mengenali Linda Nanuwil, Anem mula makin sayang dengan negeri Sabah. Malah Hafiz AF buat Anem rasa Sarawak berada di tidak jauh, hanya di sebelah. Daripada semua yang dikata tidak baiknya program realti tv, cukuplah Anem sebut satu sisi baiknya - mengenali negeri-negeri di Malaysia dari hati, adalah sangat indah.

Kita adalah satu - percayalah dengan setiap style fanatik dari peminat rancangan realiti tv itu, walau tersimpan 1001 rasa tidak puas hati bila pemenangnya bukan yang diundi, tapi percayalah wujud rasa sayang dalam hati bahawa marah tak puas hati bukanlah benci- namun hanya ayat luahan hati. Habis rasa sedih sementara, berganti rasa sayang tak terhingga. Kan dah cakap, benci jangan benci sangat. Sayang, jangan sayang sangat, kan?



Anem bersyukur, malah bangga menjadi rakyat Malaysia.Tak kiralah, bangsa apapun, kita tetap manusia yang ada berlainan citarasa. Hormatilah jiwa-jiwa semua.

Dan berkebetulan pula kini bukan ada rancangan hiburan saja, peminat pun sudah makin bijak menilai bakat, bukan terlalu memandang kenegerian, Anem cuma nak cakap, dunia teknologi dan kemodenan benar-benar merubah kita semua, insya-Allah kepada yang lebih baik.

Aish. Kamek rindu Akademi Fantasia pulak bha ni. ops


Negara kita telah dikejutkan dengan pencerobohan di Lahad Datu sepanjang minggu ini. Hari ini 2 Mac kelihatan keadaan semakin tenang . Manakala sebelum ini, Anggota yang terbunuh ialah dari skuad Komando 69, iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor. Tiga anggota yang cedera ialah Koperal Azman Ampong, Koperal Mohd Tarmizi Hashim dirawat di Hospital Lahad Datu, manakala Konstabel Mohammad Qaiyum’aiqal Zolkifli yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.



Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina;

9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.

12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal. Ismail berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.

14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.



16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18 Feb - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.

24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

Alfatihah. Terima kasih pejuang wira negara .



#prayforlahaddatu . Semoga semua kembali aman, insyaallah :)


Sumber berita : bernama , sumber gambar : bharian & hmetro 
boleh rujuk juga malaysiamilitarypower.blogspot








Anem Arnamee 2025 © TERIMA KASIH ♥



click to te top