Salam. Hai. Saya Anem Arnamee. Terima kasih sudi datang, membaca mahupun berkongsi artikel blog ini. Maaf jika ada kekurangan & teguran amat dialu-alukan. Moga yang baik-baik selalu untuk kalian semua. Insya-Allah.

- Jika anda mahu sebarang kolaborasi/pengiklanan (review/ruang iklan) di blog ini boleh rujuk page ini.
- Jika ada pertanyaan lain, boleh mesej di facebook ANEM ARNAMEE atau e-melkan ke arnamee (at) gmail.com.

Amalan dan golongan pemberi syafaat di akhirat


Melalui Majalah Solusi isu 73, perkongsian Ustaz Muhammad Luqman Makhtar serta juga sisipan Ezy Dakwah 35-37 (juga dalam Majalah Solusi), ada berkongsikan tentang amalan dan golongan pemberi syafaat di akhirat ini (pautan rujukan lain juga disiarkan di akhir artikel).

Apa itu syafaat?
*Syafaat dari sudut bahasa adalah lawan bagi witir iaitu menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah pula adalah menjadi perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudharat iaitu pemberi syafaat akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudharat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaat juga bermaksud memohon perlindungan bagi orang lain. [Lihat: Mukhtasar al-fiqh al-Islami, 1/767]

Syafaat milik mutlak Allah 
Sifat pemaaf Allah sangat hebat. Kalau di dunia adanya taubat, di akhirat satu-satunya harapan ialah syafaat.

Di akhirat kelak Allah berfirman: "Para malaikat sudah memberi syafaat. Para nabi sudah memberi syafaat. Para orang beriman sudah memberi syafaat. Kini tiada siapa lagi yang belum melainkan Yang Paling Penyayang daripada yang penyayang." Lalu Allah mengambil segenggam daripada meraka maka dikeluarkanlah sebilangan ahlinya yang tidak pernah beramal kebaikan sedikitpun.

Ulama merumuskan bahawa syafaat hanya berlaku dengan memenuhi 3 syarat berikut:

1.Allah reda pihak yang ingin memberi syafaat

"Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredai perkataannya." (Terjemahan Taha 20:109) 

Syafaat ada dua: Umum (Diberikan oleh mana-mana hamba yang diredai Allah, ada syafaat daripada malaikat, para nabi, syuhada, mukmin bahkan amalan diri sendiri. Syaafaat mereka berbentuk Allah bebaskan orang tertentu daripada neraka). Khusus (Jenis-jenis syafaat yang diberikan oleh Nabi SAW seorang sahaja)

2. Allah reda pihak yang akan menerima syaafaat

"(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya." (Terjemahanan-Najm 53:26) 

-- Syafaat hanya untuk ahli tauhid 
-- Pelaku syirik haram syafaat
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Terjemahan An-Nisaa' 4:48)
-- Kafir haram (tidak akn dapat) syafaat
"Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini". Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
(Terjemahan Al-Muddaththir 74:46-48)
-- Sekalipun khalilullah (teman rapat Allah maksudnya, gelaran buat Nabi ibrahim)

3. Allah izinkan pihak yang memberi syafaat memohon syafaat
"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?" (Terjemahan Yunus 10:3)

Syafaat Nabi 

Kita akan melihat betapa istimewa kedudukan Baginda di sisi Allah apabila membincangkan soal syafaat:

Syafaat bersumberkan kasih Nabi

“Mudah-mudahan peruntukan untuk temanmu ini (merujuk kepada Baginda sendiri) di sisi Allah adalah lebih baik daripada kerajaan Sulaiman. Sesungguhnya Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun melainkan diperuntukkan satu doa. Maka ada antara Nabi yang menggunakannya untuk dunia lalu diberikan. Ada juga yang menggunakannya sebagai doa kebinasaan atas kaumnya tatkala mereka ingkar justeru mereka hancur. Maka Allah juga memperuntukkan untukku doa namun aku simpan dahulu di sisi Allah untuk digunakan sebagai syafa'at buat umatku pada hari kiamat.”
-  Hadis Riwayat al-Hakim

Jenis-jenis syafaat Nabi

- Syafaat teragung (syafaat Nabi yang meminta Allah memulakan proses hisab di padang Mahsyar)
- Syafaat untuk masuk syurga (Khas buat ahli syurga)
- Syafaat untuk Abu Talib (Syaafaat untuk bapa saudara kesayangan Baginda)
- Syafaat untuk ahli neraka (membebaskan ahli tauhid dalam kalangan umatnya daripada ahli neraka; ada yang asalnya akan masuk neraka tapi tidak jadi, ada yang sudah masuk, dikeluarkan semula lalu dimasukkan ke syurga)

Tips mendapatkan syafaat:
  • Doa selepas azan
  • Perbanyakkan selawat
"Sesungguhnya orang yang paling berhak terhadapku (mendapat syafaat) pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat untukku." (Riwayat al-Tirmizi)
  • Perbanyakkan solat sunat
Amalan dan golongan pemberi syafaat di akhirat

Pemberi syafaat di akhirat pula ialah orang tengah antara kita dengan Allah. Dia akan bercakap, memohon dan membela kita di hadapan Allah agar kita selamat dan akhirnya berjaya bergelar ahli syurga.
  • 1- Membaca al-Quran
“Bacalah al-Quran. Sesungguhnya pada hari kiamat kelak al-Quran akan menjadi pemberi syafa'at kepada teman-temannya.” - Hadis Riwayat Muslim.

Selain itu, Rasulullah SAW juga menceritakan tentang kelebihan membaca Surah al-Mulk:-
“Sesungguhnya ada satu Surah al-Quran, ayatnya memohon syafa'at buat seseorang hinggalah dia diampuni .Itulah Surah Tabarakallazi biyadihilmulk – Surah al-Mulk.” Hadis Riwayat al-Tirmizi.
  • 2- Ulama
“Tiga golongan yang akan memberi syafa'at pada hari kiamat nanti; para Nabi, kemudian ulama', kemudian para syuhada’.  Hadis Riwayat Ibn Majah.
  • 3 -Berpuasa
Ia seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:-
“Puasa dan al-Quran akan memohon syafa'at untuk hamba pada hari Kiamat.
Puasa berkata:-
“Ya Tuhan, aku menghalangnya daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka perkenankan syafa'atku untuknya.”
Al-Quran pula berkata:-
“Aku menghalangnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankan syafa'atku untuknya.”

---- Hadis Riwayat Ahmad
  • 4 - Berjihad lalu Syahid
6 keistimewaan orang syahid

- Dia diampuni terus sebaik titisan darah pertamanya;

- Dapat melihat tempatnya di dalam syurga;

- Dipelihara daripada terkena azab kubur; dan aman daripada terlibat dalam kepanikan terdahsyat (mahsyar)

- Dipakaikan atas kepalanya mahkota ditatah delima yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya;

- Diperisterikan dengan 72 bidadari;

- Diperkenankan syafaatnya untuk 70 orang sanak saudaranya." (Riwayat al-Tirmizi)

  • 5 - Orang Soleh
“Sungguh akan ada yang masuk syurga dengan syafa'at seorang sahaja yang bukan Nabi pun, ramainya seperti dua perkampungan atau salah satu perkampungan suku Rabi’ah dan Mudhar.”- Hadis Riwayat Ahmad
  • 6 - Kaum Muslimin
“Tidak ada satu jenazah yang disolatkan oleh kaum Muslimin seramai 100 orang yang semuanya memohon syafa'at untuknya melainkan diperkenankan syafa'at mereka untuknya.”- Hadis Riwayat Muslim.
  • 7 - Jiran
“Tiada seorang pun Muslim yang meninggal dunia lalu empat orang ahli keluarga jiran-jirannya yang terdekat mengakui kebaikannya melainkan Allah akan menyeru:-

‘Aku terima kebaikannya yang kamu ketahui dan Aku ampunkan keburukannya yang kamu tidak ketahui.- Hadith Riwayat Ahmad
  • 8 - Menolong orang 
Dalam riwayat lain (hadis Rasulullah SAW), pada hari Kiamat nanti akan diaturkan ahli syurga dalam saf-saf. Lalu seorang ahli neraka terserempak dengan salah seorang ahli syurga tersebut. Ahli neraka itu pun berkata:- “Wahai saudara, tidakkah aku ingat suatu hari kamu meminta air lalu aku memberikan kepadamu?” Maka ahli syurga itu memohon syafa'at untuknya. 
Ada situasi lain, ahli neraka berkata: “Wahai saudara, tidakkah kamu ingat dahulu kamu pernah memohon sesuatu sekian daripadaku lalu aku bawakan untuk kamu?” Hadis Riwayat Ibn Majah.
  • 9 - Anak-anak
- Janin keguguran

Sabda Rasulullah SAW:-

“Demi yang nyawaku di tangan-Nya, sesungguhnya janin akan mengheret ibunya dengan tali pusat memasuki syurga sekiranya si ibu itu terhalang.”  Hadis Riwayat Ibn Majah

- Anak yang mati kecil 

Dahulu ada seorang sahabat yang sering menemui Nabi SAW sambil membawa anak lelakinya. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW menyedari ketiadaan budak itu.

Baginda SAW bertanya kepada sahabat yang lain:-
‘Apa cerita anak si dia?’
Mereka menjawab:-
“Wahai Rasulullah, anaknya telah meninggal dunia.”

Lantas Nabi SAW menemui ayah kepada budak itu, lalu bersabda:-
“Adakah kamu suka nanti, tiada mana-mana pintu syurga yang kamu akan masuk melainkan kamu mendapatinya (anak lelaki kamu) sedang menunggu kamu?”

Seorang sahabat lain yang mendengar terus bertanya:-
“Adakah hal itu khusus untuknya sahaja, atau untuk kami juga?”

Rasulullah SAW menjawab kembali:-
“Bahkan untuk kamu semua.”- Hadis Riwayat Ahmad

- Istighfar anak

Rasulullah SAW bersabda:-
“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba soleh di dalam syurga. Maka dia bertanya:-

“Ya Tuhan, dari mana datang semua ini untukku?”

Allah SWT menjawab:-
“Hasil istighfar anakmu.”- Hadis Riwayat Ahmad
  • 10 - Malaikat
Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-“Maka Allah menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dengan rahmatnya. Kemudian diizinkan malaikat, para Nabi dan syuhada’ untuk memohon syafa'at lalu mereka memohonnya dan dikeluarkan (daripada neraka orang yang diizinkan permohonan syafa'at untuknya itu).”- Hadis Riwayat Ahmad.






0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee © TERIMA KASIH ♥



click to te top