Pernah tertanya-tanya tak kenapa banyak majlis orang Melayu mesti ada pulut kuning? Khatam Qur'an, khatan anak,kahwin semua ada pulut kuning. Mari kita baca perkongsian saudara Mohammad Faeez Harith (@H_Bakkaniy) di twitter ini.
1) Pulut kuning dari segi sejarahnya mempunyai sedikit pengaruh Hindu-Buddha, kerana wujudnya hidangan pulut kuning sebagai hidangan ritual sembahan bagi dewa-dewi dalam berberapa negara Asia,termasuklah India, China, Laos, Vietnam dan lain-lain.
2) Kerana itu pasca kedatangan Islam ke tanah Melayu sekalipun, saki-baki unsur animisme-paganisme-Hindu-Buddha dalam acara menyediakan pulut kuning bagi ritual tertentu masih wujud, seperti menyediakan ancak atau jamuan untuk jin tertentu yang dipercayai sebagai penunggu.
Penyediaan ancak pada hukumnya tanpa syak,adalah suatu perbuatan yang syirik,berdosa besar lagi haram hukumnya.
3) Pun begitu,memakan pulut kuning secara asalnya tidaklah dihukumkan haram, selagi bahan-bahan yang digunakan untuk menanak pulut kuning tidak berasal dari bahan yang haram.
4) Kerana itulah para ulama' terdahulu semisal Wali Songo di kepulauan Jawa serta tokoh-tokoh ulama' penasihat Raja telah mengasimilasikan adat perjamuan pulut kuning ini dengan memasukkan elemen-elemen Islam bagi menggantikan amalan-amalan syirik tersebut.
5) Pulut kuning yang pada asalnya dihidangkan untuk penunggu, dijadikan jamuan Istana untuk rakyat jelata sebagai simbolik perkenan Raja,memandangkan pulut merupakan salah satu komoditi yang lebih mahal berbanding beras biasa,ditambah warna kuning kunyit sebagai identiti Raja.
6) Maka adat yang diperkenalkan istana akhirnya berakar dan diikuti rakyat jelata kerana falsafah pulut yang saling melekat di tangan itu menggambarkan keakraban hubungan sesama masyarakat. Kerana itulah pulut kuning akhirnya menjadi makanan istimewa dalam pelbagai keraian.
7) Bahkan hidangan pulut kuning juga dianggap sebagai 'upah' bagi pesilat yang mempersembahkan tari silat mereka dalam keraian pernikahan, kerana itulah terkadang silat aliran tari juga disebut sebagai 'Silat Pulut'.
8) Kini selera masyarakat juga berubah dan pulut kuning tidak lagi menjadi makanan yang bernilai dan istimewa sepertimana dahulu maka ia perlahan-lahan hilang dari keraian Melayu, diganti dengan juadah yang lain.
*****
Rujukan;
i. Aishah@Eshah Haji Mohamed, Sulong Mohamad & Haziyah Hussain, 2010. Makanan Hantaran dalam Perkahwinan Melayu Kelantan: Adat dan Interpretasi. Jurnal e-Bangi: Volume 5, Number 1, 103-115. Bangi: UKM.
ii. Aidil Wijaya. 2011, The meanings of pulut kuning for Melayu Society in Hamparan Perak. Medan: Universitas Sumatera.
iii. Rakaman dokumentari Majalah Seni Beladiri bersama Cikgu Mazlan
iv. Penceritaan lisan berberapa orang guru-guru tua
0 yang menasihati:
Post a Comment
Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.