Salam. Hai. Saya Anem Arnamee. Terima kasih sudi datang, membaca mahupun berkongsi artikel blog ini. Maaf jika ada kekurangan & teguran amat dialu-alukan. Moga yang baik-baik selalu untuk kalian semua. Insya-Allah.

- Jika anda mahu sebarang kolaborasi/pengiklanan (review/ruang iklan) di blog ini boleh rujuk page ini.
- Jika ada pertanyaan lain, boleh mesej di facebook ANEM ARNAMEE atau e-melkan ke arnamee (at) gmail.com.

Peristiwa pembunuhan Al-Husain (cucu Rasulullah) pada Hari Asyura - 10 Muharram

 
Peristiwa Asyura' & Pembunuhan Sayyiduna Al-Husain r.a Menurut Riwayat Sahih di Di Sisi Ahli Sunnah. 


Setiap kali tiba Hari Asyura kita akan mengenang peristiwa pembunuhan cucu baginda Rasulullah SAW, Al-Husain bin Ali r.a. Ini adalah peristiwa yang mewarnai sejarah Umat Islam.
Al-Husain r.a telah dibunuh pada 10 Muharram 61 Hijrah di Karbala, Iraq. Sebelum dilanjutkan dengan kisah pembunuhan beliau kita kena kembali ke peristiwa baiah Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah menggantikan ayah beliau, Muawiyyah r.a yang mengandungi konteks yang penting.

Selepas kesyahidan Ali bin Abi Talib r.a penduduk Kufah telah memberikan baiah kepada Al-Hasan. Kemudian berlaku peristiwa pendamaian antara Al-Hasan & Muawiyah yang mana beliau telah melepaskan baiah tersebut & menyerahkannya kepada Muawiyah. Berlaku keamanan dan kesatuan.

Al-Hasan wafat pada tahun 49h ketika pemerintahan Muawiyah. Pada tahun 56h Muawiyah telah mengubah corak pemilihan khalifah daripada sistem syura kepada pewarisan keluarga dengan mengarahkan agar anak beliau Yazid dibaiah. Perkara ini tidak dipersetujui oleh Al-Husain.

Al-Husain & Abdullah bin Zubair tidak bersetuju dengan cara ini maka mereka keluar meninggalkan Madinah & pergi ke Mekah & enggan berbaiah kepada Yazid. Manakala para sahabat yang lain memberikan baiah kepada Yazid untuk menjaga kestabilan & keamanan negara Islam.

Pandangan Ahli Sunnah tentang baiah terhadap Yazid: Baiah kepada Yazid bin Muawyiah adalah sah menurut syariah tetapi ia dikritik pada dua sudut : Pertama : baiah ini adalah bid'ah (perkara baru) yang bercanggah dengan amalan sedia ada iaitu dengan menjadikan khilafah pewarisan terhadap anak - menjadi sistem beraja. Sebelum itu pada zaman Nabi SAW & Abu Bakar mereka mencadangkan nama khalifah & kemudian majlis syura menentukannya. Pada zaman Uthman beliau mencadangkan 6 nama & majlis syura menentukannya. Pada zaman Ali beliau tidak cadangkan apa apa nama. Al-Hasan dibaiah & kemudian beliau menyerahkannya kepada Muawiyah. Tetapi Muawiyah telah menukar sistem syura ini menjadi sistem beraja yang diwariskan kepada anaknya.

Kedua : Ada ramai lagi orang yang lebih layak berbanding Yazid. Masih ada lagi sahabat Nabi seperti Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Abbas, Al-Husain dan lain lain yang lebih layak. Maka Muawiyah telah meninggalkan pemilihan terhadap mereka yang lebih afdal. Adapun baiah tersebut adalah sah di sisi syarak. Ahli Sunnah mengiktiraf keabsahan baiah kepada Yazid.

Pandangan Syiah tentang baiah kepada Yazid : Syiah hanya menerima khilafah dan kepemimpinan daripada keturunan Ali bin Abi Talib sahaja. Mereka bukan sahaja tidak menerima baiah terhadap Yazid sahaja tetapi tidak menerima baiah terhadap Abu Bakar, Umar, Uthman & Muawiyah.

Ahli Sunnah menerima keabsahan pemerintahan Yazid bin Muawiyah tetapi mengkritik sistem pewarisan yang telah dimulakan oleh Muawiyah. Yazid ialah khalifah yang sah dilantik mengikut hukum syarak. Para sahabat memberikan baiah kepada beliau melainkan Al-Husain & Ibn Zubair.

Berita bahawa Al-Husain tidak berbaiah kepada Yazid sampai kepada penduduk Kufah, Iraq. Mereka tidak mahukan Yazid mahupun Muawiyah. Mereka menghantar surat surat kepada Al-Husain dengan mengatakan bahawa mereka berbaiah kepada beliau & tidak inginkan sesiapa selain beliau.

Surat surat yang dihantar amatlah banyak. Diriwayatkan lebih 500 surat dihantar oleh penduduk Kufah kepada Al-Husain. Kesemuanya meminta agar beliau datang ke Kufah untuk dibaiah menjadi khalifah. Maka beliau mengutuskan sepupu beliau Muslim bin Aqil untuk meninjau perkara itu.

Muslim bin Aqil ketika berada di Kufah telah bertanya orang ramai tentang sokongan terhadap Al-Husain. Orang ramai datang berbaiah kepada beliau mewakili Al-Husain di rumah Hani' bin Urwah. Pemerintah Kufah ialah Nu'man bin Bashir dan beliau tidak menghalang baiah tersebut.

Berita tentang baiah Al-Husain di Kufah & tindakan Nu'man bin Bashir yang tidak menghalang baiah tersebut telah sampai kepada Yazid di Sham. Maka beliau mengarahkan agar Nu'man dipecat & tempatnya digantikan oleh Ubaidullah bin Ziyad yang merupakan pemerintah Basrah.

Ubaidullah bin Ziyad pergi ke Kufah untuk menyiasat perkara tersebut. Beliau mendapati perkara tersebut adalah serius & penduduk Kufah sedang menanti kedatangan Al-Husain. Beliau menangkap Hani' & bertanyakan lokasi Muslim bin Aqil tetapi Hani' enggan memberitahunya.

Berita penangkapan Hani' telah sampai kepada Muslim bin Aqil. Beliau keluar bersama 4000 penduduk Kufah dan mengepung istana Ubaidullah bin Ziyad. Ubaidullah telah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada mereka yang bersama dengan Muslim jika mereka meninggalkan beliau.

Ubaidullah juga memberikan ugutan tentang kedatangan tentera dari Sham jika mereka ingin terus menentang. 4000 jumlah tentera telah berkurang menjadi 30 orang. Tidak terbenam matahari melainkan Muslim telah keseorangan. Penduduk Kufah telah mengkhianati beliau.

Ketika berlindung di sebuah rumah, Muslim bin Aqil telah ditangkap & dibawa ke istana Ubaidullah bin Ziyad. Ubaidullah ingin menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Muslim & beliau telah diberi peluang untuk meninggalkan wasiat. Muslim memanggil Umar bin Saad dan meminta agar disampaikan pesanan kepada Al-Husain bahawa semuanya telah berakhir & penduduk Kufah telah mengkhianati beliau. Muslim menulis kepada Al-Husain : 

"Kembalilah kepada keluargamu dan jangan sampai tertipu dengan penduduk Kufah. Sesungguhnya penduduk Kufah telah berbohong kepadamu & kepadaku. Tidak ada kepercayaan terhadap orang yang berbohong."

Muslim bin Aqil dibunuh pada 8 Zulhijjah & Al-Husain telah bertolak pergi ke Kufah sehari sebelum itu. Surat yang diutuskan masih lagi dalam perjalanan untuk sampai kepada beliau.

Ramai dalam kalangan sahabat nabi telah menghalang Al-Husain daripada pergi ke Kufah. Mereka ialah Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin Al-As, Abu Said Al-Khudri, Abdullah bin Al-Zubair & saudara sebapa beliau Muhammad bin Hanafiah.

Mereka semua cuba menghalang beliau & memperingatkan tentang tipu daya penduduk Kufah. Abu Said Al-Khudri memberitahu bahawa Ali bin Talib pernah berkata yang penduduk Kufah tidak setia, tidak ada keazaman, kesabaran & kekuatan. Al-Husain tetap pergi kerana yakin dengan sokongan.

Dalam perjalanan menuju Kufah surat dari Muslim bin Aqil telah sampai kepada Al-Husain. Beliau ingin kembali berpatah balik ke Mekah selepas mengetahui apa yang telah berlaku tetapi anak anak Muslim berkeras untuk pergi membalas dendam maka beliau meneruskan perjalanan.

Ubaidullah bin Ziyad mengetahui kedatangan Al-Husain maka beliau mengutuskan Al-Hurr bin Yazid bersama 1000 tentera untuk menghalang Al-Husain. Mereka bertemu di sebuah tempat bernama Al-Qadisiyyah dan kemudian beliau meneruskan perjalanan ke Iraq.

Al-Husain sampai ke sebuah tempat. Beliau bertanya nama tempat tersebut. Mereka berkata tempat tersebut dinamakan Karbala. Beliau berkata, karb (kesusahan) & bala' (ujian). Baki tentera Ubaidullah yang dipimpin oleh Umar bin Saad seramai 4000 tentera juga sampai di sini.

Ketika melihat jumlah tentera yang ramai Al-Husain memberikan pilihan kepada Umar sama ada membiarkan beliau pulang ke Mekah atau pergi ke mana mana bandar atau pergi ke Sham untuk bertemu dengan Yazid. Umar bersetuju dengan cadangan tersebut & beliau mengutuskan orang kepada Ubaidullah bin Ziyad. Pada mulanya Ubaidullah bersetuju dengan mana mana pilihan Al-Husain tetapi salah seorang yang rapat dengan beliau iaitu Shamr bin Zi Al-Jaushan mencadangkan agar Al-Husain menyerah diri kepada Ubaidullah. Beliau mengubah pandangan kepada cadangan Shamr.

Ubaidullah telah menghantar Shamr untuk menggantikan tempat Umar bin Saad memimpin pasukan tentera. Ketika berita tentang perintah agar menyerah kepada Ubaidullah sampai kepada Al-Husain beliau menolak perkara tersebut. Peperangan sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Pada 10 Muharram tahun 61 hijrah berlaku pertempuran di antara Al-Husain yang bersama beliau 73 orang tentera & Shamr bin Zi Al-Jaushan yang bersama beliau 5000 tentera. Jumlah yang tidak setara. Tetapi mereka yang bersama Al-Husain adalah seperti singa dalam melindungi cucu Rasulullah SAW ini. Satu persatu mereka yang bersama Al-Husain dibunuh sehinggalah tinggal beliau sahaja berseorangan. Tidak ada seorang pun yang berani untuk membunuh beliau kerana bimbang tangan mereka bergelumang dengan darah cucu Rasulullah SAW.

Sehinggalah datang Shamr bin Zi Al-Jaushan mengarahkan mereka membunuh Al-Husain maka terkorbanlah Al-Husain sebagai syahid. Diriwayatkan bahawa orang yang membunuh Al-Husain lelaki bernama Sinan bin Anas Al-Nakhaie & memancung kepala beliau. Diriwayatkan Shamr yang membunuhnya.

Kepala Al-Husain dibawa ke Kufah kepada Ubaidullah bin Ziyad & beliau menguis tanah ke mulut Al-Husain dengan kayu & memasukkannya ke dalam mulut Al-Husain. Anas bin Malik r.a melihat kejadian tersebut & berkata, "sungguh buruk perbuatanmu. Aku melihat mulut yang engkau masukkan tanah itu pernah dikucup oleh Rasulullah SAW." Pada peristiwa perang tersebut 18 orang daripada ahli bait Rasulullah SAW telah terkorban dalam jumlah tentera yang tidak setanding itu. Sesungguhnya peristiwa ini amatlah menyedihkan Umat Islam.

Ubaidullah bin Ziyad yang mengarahkan pembunuhan Al-Husain menerima balasan yang dasyat di dunia. Beliau telah dipenggal oleh Al-Mukhtar bin Ubaid sebagai balas dendam terhadap Al-Husain. Ketika kepala beliau disusun di luar masjid tiba tiba datang seekor ular dan masuk melalui lubang hidungnya dan berada lama di dalamnya. Kemudian ular tersebut keluar dan menghilang. Kemudian datang lagi ular yang lain dan perkara yang sama berulang 3 kali. Ini balasan dunia buat beliau terima kerana telah membunuh cucu baginda SAW.

Perbuatan Al-Husain pergi ke Kufah pada hakikatnya tidak membawa apa apa kebaikan. Jika beliau tetap kekal di Mekah pasti mudarat besar akan dapat dielak. Tetapi ketentuan Allah SWT menetapkan beliau akan pergi ke Kufah & berlaku peristiwa ini. Semua berlaku dengan izinNya.

Adakah Yazid bin Muawiyah mengarahkan pembunuhan Al-Husain? Kata Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah : "Sepakat ahli riwayat mengatakan bahawa Yazid bin Muawiyah tidak mengarahkan pembunuhan Al-Husain. Beliau hanya mengutuskan surat kepada Ubaidullah bin Ziyad untuk menghalang

Al-Husain daripada kekuasaan di Iraq. Ketika sampai berita pembunuhan Al-Husain beliau menzahirkan rasa sedih dan menangis. Bahkan beliau memuliakan ahli keluarga Al-Husain dan membenarkan mereka pulang ke tempat mereka." 

 Wallahua'alam.

Ringkasan daripada kitab :

Hiqbah min Al-Tarikh karya Sheikh Dr Uthman Al-Khamis. 


Juga daripada artikel :



Tweet asal: Dengan keizinan


Sabda Nabi SAW : “Bukan dari kalangan kami orang yang menampar pipi & mengoyakkan baju (kerana ratapan).” - HR Bukhari. 


1 yang menasihati

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee © TERIMA KASIH ♥



click to te top