Jangan menghina masa lampau seseorang

 


Jangan Menghina Masa Lampau


Ramai dari kita yang ingin bertaubat lalu menyepikan diri kerana takut, segan atau malu dengan masa lampau. Bimbang masyarakat mengherdik.

Maka dalam tulisan ini, saya ingin kemukakan apakah langkah yang perlu kita lakukan untuk menyantuni orang yang bertaubat, atau diri kita sendiri.

Semua orang ada waktu lampau yang mungkin tidak manis untuk dikenang. Hatta tokoh-tokoh hebat semisal al-Fudhail bin Iyadh dan ramai lagi juga jika kita baca kisah mereka, ada perkara sedemikian.

Namun itu tidak menghalang mereka untuk menjadi tokoh yang sangat hebat dalam akhlak dan ilmu.

Tidaklah kita nyatakan bahawa kita perlu berbangga dengan dosa yang lampau, tetapi janganlah kita takut jika kita punya masa lampau yang tidak manis.

Saya sangat suka dengan apa yang Nabi ﷺ sebutkan tentang seorang wanita yang telah berdosa dalam hidupnya iaitu zina, lalu dia bertaubat.

Apakah Nabi ﷺ sebutkan tentangnya?

لقد تابت توبة لو قسمت بين سبعين من أهل المدينة لوسعتهم

"Dia (wanita itu) telah bertaubat dengan satu taubat yang mana jika dibahagikan kepada 70 ahli Madinah, nescaya mencukupi" (HR Muslim)

Hebat.

Ingat, Nabi ﷺ menyebutkan ahli Madinah ketika zaman itu, bukan zaman kita ini. Bererti ahli Madinah ketika itu adalah sebaik-baik umat dan ahli Madinah, tetapi taubat wanita itu sehingga ke tahap itu.

Apa yang kita ingin nyatakan di sini adalah taubat kita itu mampu menjadi pemangkin kepada kekuatan jiwa kita, kita membina pertalian kepada rahmat Allah.

Maka jangan terlalu berasa 'down'.

Benar, masa lampau bukan senang dilupakan dan dihapuskan, tetapi kita boleh menjadikannya sudut besar dalam hati kita untuk menjadi kuat dan tabah.

Begitu juga kita yang mungkin tidak mempunyai masa lampau yang pahit, santuni mereka yang baru berhijrah dengan baik.

Jangan kita berikan intonasi seolah kita orang paling baik, orang lain tak mampu jadi baik.

Jangan tutup suatu pintu yang Allah bukakan iaitu pintu taubat.

Saya ada sebutkan dalam buku saya, Mencari Jalan Pulang. Sahabat-sahabat boleh dapatkan segera.

Moga bermanfaat.
#MencariJalanPulang


Sumber: Ustaz Muzuza


0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2024 © TERIMA KASIH ♥



click to te top