Kronologi kes Zara Qairina Mahathir | Justice For Zara

Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.


Berikut adalah kronologi berkaitan kes ini:


16 Julai:

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada 3 pagi. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

17 Julai:

Zara Qairina disahkan meninggal dunia dan kemudiannya dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.

18 Julai:

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan.

21 Julai:

Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya. Wanita itu mendedahkan kali terakhir melihat anak tunggalnya adalah semasa program gotong-royong sekolah pada 12 Julai.

28 Julai:

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut. Beliau menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.

30 Julai:

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu, sama ada oleh dirinya atau isteri, Cikgu Rosnih Nasir iaitu bekas pengetua sekolah yang berkhidmat dari 20 Mac hingga 22 November 2024, sebelum bersara. Beliau menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan di Parlimen sebagai tidak berasas dan merosakkan reputasi.

31 Julai:

Polis mengesahkan mereka berada di peringkat akhir siasatan. Pesuruhjaya Jauteh Dikun berkata kertas siasatan diserahkan kepada Bukit Aman untuk semakan akhir sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Seramai 60 individu direkod keterangan.

1 Ogos:

Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan. Peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.

6 Ogos:

Peguam yang mewakili ibu mangsa menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, yang boleh menyebabkan tekanan kepada keluarga dan mungkin membawa kepada akibat jenayah.

AGC memulangkan laporan siasatan awal kepada pihak polis dengan arahan melengkapkan siasatan. AGC menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi imej kanak-kanak yang didakwa terbabit kes itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi amaran bahawa penyebaran kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan siasatan dan menafikan keadilan.

7 Ogos:

Ibu Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara dirinya dan arwah anak perempuannya, kepada polis untuk membantu siasatan.

Kementerian Pendidikan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran hantaran dan video yang mengelirukan berkaitan kes itu, dengan alasan kebimbangan terhadap potensi gangguan awam yang ditujukan kepada guru dan pelajar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk memastikan siasatan teliti. SKMM turut memberi amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.

Ibu Zara Qairina memberi keterangan di balai polis Sipitang.

Kementerian Pendidikan memberi jaminan kepada ibu bapa mengenai komitmen meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, dengan menyatakan bahawa 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini kekal menjadi pilihan utama keluarga.

8 Ogos:

AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

9 Ogos:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.

Prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Proses menggali semula mayat Zara Qairina bagi prosedur bedah siasat dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol.

Penggalian semula kubur mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada 7.31 malam.

Jenazah Zara Qairina Mahathir dibawa ke Hospital Queen Elizabeth dan tiba pada 10.30 malam.

10 Ogos:

Proses bedah siasat bermula pada kira-kira 11 pagi.

Empat pakar patologi menjalankan bedah siasat termasuk pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Peguam, tiga polis turut memerhati proses bedah siasat Zara Qairina.

Peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina menafikan jeritan meminta tolong dalam sebuah video yang tular di media sosial adalah suara arwah.

Peguam turut menafikan ada membuat kutipan sumbangan bagi membiayai yuran guaman.

Prosedur bedah siasat selesai sebelum jam 8 malam. 

11 Ogos:

Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selamat dikebumikan semula di tanah perkuburan sama jam 1.15 pagi.

Pengebumian semula jenazah Zara dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang mengambil masa selama setengah jam selepas prosedur bedah siasat dilakukan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE), selama lapan jam, semalam.

Selepas prosedur bedah siasat selesai, kenderaan yang membawa jenazah Zara meninggalkan HQE pada jam 9.20 malam dan tiba di tanah perkuburan di sini jam 12.41 tengah malam.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang orang ramai termasuk keluarga dan kenalan Zara menunggu di sekitar kawasan perkuburan sehingga pengebumian selesai.

Klik untuk lebih jelas

Berkaitan Laporan Bedah Siasat Zara Qairina

Peguam, Shahlan Jufri berkata, Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial, seperti dakwaan ada 'tangan-tangan' tertentu, semua itu tiada.

"Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai, termasuk dengan semua prosedur yang diperlukan," katanya ditemui pemberita di pekarangan HQE, di sini, malam tadi.

Katanya, setelah proses bedah siasat siap, laporannya akan disediakan oleh pasukan forensik dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.

Mengenai berapa lama laporan itu boleh disiapkan, beliau berkata, perkara itu tidak dapat ditentukan dengan tepat, namun paling lewat boleh sampai dua bulan.

"Kalau tanya proses itu berapa lama, saya tidak tahu dengan tepat. Biasanya, paling cepat atau paling minimum mungkin dalam tempoh tertentu, tetapi paling lambat mungkin dua bulan.

"Ini kerana ia membabitkan beberapa orang pakar dan semua pakar ini akan berbincang sebelum memuktamadkan post-mortem report itu," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan bedah siasat, Shahlan berkata, beliau melihat sendiri doktor memeriksa jenazah arwah Zara secara menyeluruh.

"Di dalam bilik forensik, doktor itu saya tengok macam mana dia (jenazah arwah) diperiksa, diperiksa secara menyeluruh.

"Beberapa orang anggota polis juga masuk, tetapi yang masuk ke dalam bilik bedah hanya saya dengan pasukan forensik. Sebab memang itu keinginan keluarga arwah Zara.

"Saya berada di situ dari jam 11 pagi sampai jam 7.30 malam tadi. Kalau tanya berapa lama periksa post-mortem bagi keluarga, saya tidak pasti sebab bergantung kepada pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata, proses bedah siasat jenazah arwah Zara dijalankan empat orang pakar, termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun.

Katanya, mereka dibantu jurufoto forensik dan jurufoto polis.

Selepas selesai bedah siasat, jenazah arwah Zara dihantar semula ke Sipitang untuk dikebumikan semula di lokasi yang sama.







Al-Fatihah buat Zara Qairina. Moga kes ini dapat pembelaan sewajarnya dan moga Allahyarham Zara Qairina ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.


Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1431501/tiada-tangan-ghaib-ganggu-bedah-siasat-zara-qairina-laporan-paling

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/08/1250406/kronologi-kes-zara-qairina

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1431509/jenazah-zara-qairina-selamat-dikebumikan-semula





0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2025 © TERIMA KASIH ♥



click to te top