Ada orang mungkin berat mulut, sukar nak memulakan salam. Ada orang mungkin peramah , tapi jarang mengamalkan salam. Sedih juga. Sebab perkara ini walaupun nampak kecil, namun ia sunnah dan banyak hikmahnya.
Salam walaupun pada mata manusia biasa sahaja. Tapi ukurannya sisi Allah berbeza.
Nabi bersabda: “ Sesungguhnya seutama-utama manusia pada Allah ialah orang yang terlebih dahulu memberi salam dalam kalangan mereka”- [ Riwayat Abu Dawud ]
Salam walaupun nampak remeh, tapi Nabi buat. Malahan dia yang mendahulukan salam apabila berjumpa kanak-kanak. Sedang Nabi itu nabi. Pastinya darjat dia lebih tinggi daripada kita.
Anas bin Malik melintasi sekumpulan kanak-kanak lalu memberi salam kepada mereka. Anas berkata ; “ Rasulullah selalu berbuat demikian.” [ Riwayat Bukhari & Muslim ]
Salam walaupun nampak remeh, namun ia amalan yang terbaik. Rasulullah pernah ditanya; “ Mana satu amalan islam yang terbaik ?”
Lalu jawab Baginda; “ Kamu menjamu orang makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenali mahupun tidak.” - [ Riwayat al-Bukhari ]
Seremeh-remeh salam, pasti akan bawa keberkatan pada diri dan keluarga. Nabi pernah mendidik Sayidina Anas bin Malik, “ Wahai anakku, jika kamu hendak masuk ke tempat keluargamu, maka ucapkanlah salam, nescaya akan berkat atas kamu dan seluruh keluarga rumahmu.” - [ Hadis Riwayat al - Tirmizi ]
Seremeh-remeh salam menjadi strategi untuk masuk syurga. Rasulullah mengajar kita :
“ Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman. Kamu tidak akan benar-benar beriman sehinggalah engkau semua saling menyayangi.
Mahukah kamu kalau aku tunjukkan pada sesuatu, yang jika kamu melakukannya tentu kamu semua akan saling mengasihi ? Sebarkan salam di antara kamu!”
- [ Riwayat Muslim ]
Ucapkanlah salam bukan sekadar bermanis mulut. Jika menyebutnya maksudnya kita mendoakan agar saudara kita selamat sejahtera.
Sabda Nabi, “Al-salam salah satu nama Allah yang diletakkan di bumu, maka sebarkanlah salam antara kamu.” - [ Riwayat al-Bukhari ]
Rasa malu dan sukar nak beri salam, mulakan dengan selalu hulurkan senyum dulu. Pun sunnah dan berpahala juga, Moga semua yang kita buat, Allah redha, insyaAllah.
[ Rujukan : EzyDakwah Majalah Solusi ]
0 yang menasihati:
Post a Comment
Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.