Kenangan Zaman Sekolah: Bola Jaring & Kakak Angkat



"Sayang bola! Sayang bola!" Laungan ini dalam perlawanan bola jaring mengingatkan saya pada sebuah kenangan. Zaman sekolah. Hampir semua kita ini ada kenangan manis, lucu, sedih dan gila-gila. Masa muda dan remaja banyak perkara yang kita terjah dan teruja melakukannya tanpa memikirkan sebab dan akibat. Namun itu semua kenangan yang mendewasakan. 

Zaman sekolah menengah; yang mana tengah rancak 'berangkat-angkat'. Sejak dahulu saya memang sangat meminati Siti Nordiana (Nana). Jadi, semasa saya diberi peluang mewakili sekolah dalam acara badminton, saya begitu mahu mendekati pemain bola jaring sekolah seorang ini (persis Nana waktu remaja wajahnya) cukup saya gelarkannya Kak A. Muka dia buat saya rasa Nana dekat sahaja (tak dapat jumpa Nana, muka macam dia pun okay. Haha. Punyalah minat). Dan Kak A ni memang cekap dalam setiap perlawanan. Bersemangat!

Entah bagaimana tidak lama selepas itu, berlaku sedikit salah faham. Saya terkena tempiasnya. Saya dimarahi oleh Kak A. Mungkin ada salah saya juga. Sejak itu dia dingin dengan saya. Kami dah tak saling bercakap. Sebagai "adiknya" ketika itu, saya kecewalah sedikit. Musnah rasa seronok nak ada kakak atlet yang muka macam artis (mungkin niat asal saya tak begitu ikhlas sewaktu mahu kenal dengan dia dahulu). Padan muka saya.

Namun benarlah yang dikata, setiap kehilangan akan diganti dengan perkara yang lain; yang pastinya lebih baik. Ya. Ada seorang kakak (Kak Z) yang muka persis Misha Omar nak berkawan pula dengan saya. Allah. Punyalah seronok rasa nak terbang, almaklumlah budak lagi waktu tu. Mestilah seronok ada kakak angkat baru (Hahaha. Lucu pula bila ingat balik). Cantik tau kak Z ni. Bijak pula tu. Dan alhamdulillah kini setelah bertahun-tahun, kami masih lagi kekal berhubung.

Kak Z ni masa sekolah sangat cemerlang dalam pelajaran, dan kini saya lihat dia begitu cemerlang dalam kehidupan; kerjaya dan keluarganya (kini dia mempunyai ramai anak-anak yang comel). Alhamdulillah. Jangan tak tahu, dia juga pemain bola jaring sekolah (satu team dengan kak A) dahulu dan aktif orangnya.

Begitulah. Tuhan tak beri apa kita nak, tapi Dia beri apa yang kita perlu. Kak Z bukan saja menginspirasi orangnya dan ada membantu saya dalam pelajaran, namun beri saya nasihat yang sampai sekarang saya ingat;
"Hidup ni jangan manja sangat dengan orang. Jangan harapkan orang untuk selalu ada. Kita kena belajar berdikari." - Kak Z.
Untuk Kak A; maaf untuk semua perkara lalu, buat Kak Z; terima kasih untuk semuanya dan buat kawan-kawan kakak berdua, moga terus berjaya dalam apapun yang kalian lakukan! Doa saya sentiasa ada untuk kakak semua.

Sekian cerita tentang kenangan. Jauh pula terimbaunya. Sekali lagi tahniah untuk pasukan bola jaring Malaysia. Seronok lihat pasukan kita main. Laju dan penuh semangat. Tahniah juga untuk semua atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Sea KL 2017 kali ini.

Alhamdulillah ala kulli nikmah. Malaysia memang boleh! Insya-Allah. ❤ 🏀


Anem, ex-SAMJ
21 Ogos 2017.
Kenangan ini ditulis sehari selepas kemenangan Malaysia dalam sukan bola jaring dan ragbi di Sukan Sea yang lalu.



*Baru berkesempatan nak kongsi. Asalnya nak kongsi di status FB tapi tak jadi.
*Cerita tentang zaman sekolah ini: ini antara kenangan dulu-dulu yang lucu ramai tak boleh lupa.

1 yang menasihati

  1. Sama la, dulu berantai-rantai generasi kak angkat adik angkat ni, kelakar pun ada. Tapi itulah sweet memory sampai bila-bila .. :)

    ReplyDelete

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2024 © TERIMA KASIH ♥



click to te top