Adventurous! Novel interaktif ini bukanlah sebuah novel seram / hantu yang begitu menakutkan, namun kisah misteri yang dikaitkan dengan mimpi seorang gadis bernama Yana sebenarnya lebih kepada mendatangkan rasa seronok dan teruja.
Sangat mengingatkan saya pada projek akhir tahun semasa saya menuntut dulu, saya buat filem interaktif (Adrenalin judulnya). Konsep interaktif ini adalah interaksi khalayak dengan karya kita. Mereka boleh memilih. Pemilihan watak berbeza akan membawa keputusan kesudahan / jalan cerita berbeza.
Boleh bayang tak anda dapat kelebihan tahu tentang kisah lalu orang lain berdasarkan mimpi? Dan orang itu dah tak ada. Haa. Itu yang menariknya watak Yana dalam novel Misteri Mimi Yana tulisan Salleh Kausari ini.
Kisah persahabatan, kekeluargaan, dendam, paranormal dan tanggungjawab, ya! Begitu banyak elemen ditekankan dalam kisah ini. Malahan apabila membaca buku tentang kekaraban dan perjalanan Yana dan sahabat-sahabatnya, saya rasa seperti tak mahu berhenti membaca dan terbayang banyak adegan mendebarkan dalam kepala. Seperti filem. Penulisan Salleh Kausari begitu mudah difahami namun unsur suspend tetap menonjol. Paling penting pengajaran tetap ada melalui novel ini.
Saya suka cara penulis letak kelebihan Yana, tetap ada kekurangan kerana Tuhanlah Yang Maha Sempurna.
Antara petikan menarik melalui novel ini:
"Sebenarnya apa yang berlaku ni buat aku sedar. Bahawa hidup ini adalah satu perjalanan yang unik bagi setiap orang. Apa yang berlaku kepada kita ada hikmah yang tersembunyi. Semua adalah ujian untuk menguji kesabaran dan ketabahan kita." - Qila.
"Hidup ini memang penuh dengan cabaran. Setiap apa kita lakukan pasti ada yang payah. Fokus pada apa inginkan dalam hidup. Anggap halangan sebagai cabaran dan gunakan kelebihan yang kita ada sebaik-baiknya." - Angela, polis perempuan Interpol.
"Tak ada istilah gagal sebenarnya. Walaupun kita tidak berjaya seperti apa yang kita inginkan, usaha kita sudah jadi pengalaman yang berharga. Mesti ada natijah di sebalik apa yang kita lalui." - Inspektor Zulfadhli.
"Di hadapan Yana sekarang, ada tiga pintu yang membawa Yana kepada tiga hasil yang berbeza. Satu pintu kegagalan. Satu pintu tidak merubah apa-apa. Satu pintu lagi adalah kejayaan. Tetapi hanya dua keputusan saja, iaitu betul dan salah. Kesilapan adalah apabila Yana berdiri tak bergerak-gerak kerana takut buat pilihan yang salah. Kerana dalam kegagalan pun, sebenarnya ada kejayaan yang mematangkan hidup kita." - nasihat Dato' Mustaffa kepada anaknya.
"Dendam adalah ombak gila yang akan memusnahkan apa yang kau ada. Dendam juga racun yang akan membunuh naluri kau dan menghitamkan jiwa kau. Lepaskan dendam yang tersimpan. Jangan biar ia memakan diri kau. Biarlah memori hitam ini mendorong kau untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, demi masa depan kau. Kau mesti buktikan kau mampu lalui semua ini dengan tabah dan cekal. Aku tahu kau seorang yang kuat semangat." Yana pesan ke Qila.
"Di dunia ini, setiap kesusahan dan kepayahan akan mematangkan diri kita sendiri. Kutukan dan ejekan akan menjadikan kita kuat dan lebih bersemangat memghadapi hidup." - kata Yana kepada Enigma.
"Jodoh ini macam burung tercedera yang kita bela. Selepas kita ubati luka dan kita beri makan sekenyang-kenyangnya, kita lepaskan. Sekiranya memang ditakdirkan untuk kita, lambat-laun kalau betul jodoh kita, dia akan kembali untuk menemani kita." - kata Zalifah kepada abangnya.
Kesempurnaan bukan dalam menjalani kehidupan yang serba sempurna, tetapi dalam kesabaran kita menerima ketidaksempurnaan yang dikurniakan Tuhan.
Walau apapun keputusan yang kita buat, ada takdir yang tersurat dan tersirat. Di dalam kesilapan yang kita buat melalui pilihan yang salah, ada pengalaman dan pengajaran yang akan mematangkan kita. Di sebalik kejayaan yang kita tempa melalui pilihan yang kita sangkakan betul, ada tanggungjawab dan tuntutan yang harus kita tunaikan.
Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pilihan-pilihan yang misteri, sebagaimana misterinya mimpi-mimpi Yana.
Ya, sugguh tak rugi apabila membacanya. Banyak perkara yang boleh kita belajar. Insya-Allah.
Ya, sugguh tak rugi apabila membacanya. Banyak perkara yang boleh kita belajar. Insya-Allah.
Pautan:
Facebook rasmi Mister Mimpi Yana - Misteri Mimpi Yana
Facebook penulis, Salleh Kausari - Novel dan Karya Salleh Kausari
Goodreads Misteri Mimpi Yana - Misteri Mimpi Yana
Blog penulis: https://skausari.blogspot.com
0 yang menasihati:
Post a Comment
Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.