Kelebihan membaca al-Quran

 

Kelebihan membaca al-Quran | Melalui sisipan Hadiah Dakwah Solusi Siri 05, Majalah Solusi berkongsikan kelebihan serta uniknya kitab al-Quran. Berikut saya kongsikan penulisan tersebut:
  •  Allah angkat dan puji orang yang mengajar al-Quran
Mengajarkan al-Quran menuntut kesabaran, langkah demi langkah dan kebijaksanaan. Itu belum lagi berdepan pelbagai teknik dan karenah pelajar. Sebab itu Allah angkat dan puji orang yang mengajar al-Quran. Nabi s.a.w pernah bersabda, "Sebaik-baik kamu adalah golongan yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." (Riwayat al-Bukhari)
  • Penawar; pengubat hati fizikal dan rohani
Kalimah yang bergetar dalam jiwa daripada kitab yang paling mulia ini juga mampu mengubat pelbagai penyakit fizikal dan rohani.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua."- (Al-Israa' 17:82)
  • Al-Quran sebagai syafaat
Rasulullah s.a.w bersabda: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari akhirat kelak sebagai syafaat bagi orang yang membacanya." (Riwayat Muslim).

Bertuahnya bagi mereka yang sentiasa membaca al-Quran.
  • 10 kali ganda
Kelebihan membaca al-Quran juga dapat difahami melalui hadis Nabi saw yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud. Sabda Nabi s.a.w:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” - Riwayat al-Tirmizi (2910). *Beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan. Wallahu’alam.

Masya-Allah. Betapa pemurahnya Allah.

Rujukan: *IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-276 : HADIS SEBAIK-BAIK UMATKU ADALAH YANG MEMBACA AL-QURAN
  • Kandungan al- Quran tidak akan berubah
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."- (Al-Hijr 15:9)

Janji Allah yang akan memelihara kitab-Nya itu pasti. Al-Quran tetap terpelihara sampai bila-bila. 
  • Bayangkan. Dua ganjaran jika gagap / tidak mahir membacanya
Dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran. - (Riwayat Muslim (798) & Ibn Majah (3779))

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran.[1]**

Rujukan: **AL-KAFI #562: TAKUT HENDAK MEMBACA AL-QURAN
 [1]Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, (6/85)
Dengan ini, jom kita bermotivasi dengan membaca al-Quran tanpa henti, tanpa alasan. Banyak ganjarannya.
Rujukan lain:
*Gambar utama (pixabay)
*Terjemahan ayat-ayat al-Quran



0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2024 © TERIMA KASIH ♥



click to te top