4 Nasihat Buat Penggemar Politik Tanah Air
Bahang politik dalam kalangan masyarakat kita tampak tidak menghilang. Bahkan memang ada yang akan terus bergiat walaupun tidak pada musim pilihanraya.
Maka setakat pembacaan saya di twitter dan Facebook, maka ini nasihat saya.
Nasihat saya akan coretkan ini bukanlah bererti saya ini suci dari dosa, tidak punya kecenderungan. Saya juga manusia, ada kecenderungan. Cuma saya tidak tunjukkan di mana-mana medium sahaja kerana bimbang mesej dakwah dijauhi jika saya bertindak cenderung kepada parti politik.
1- Bertaqwalah kepada Allah. Berpolitiklah dengan tujuan meraih redha Allah. Jika ini yang diletakkan di depan, maka kita akan takut untuk buat maksiat dan dosa. Kita tidak mudah berkata kesat, berkata dusta atau fitnah dalam politik.
Kerana kita tahu bahawa kita berpolitik kerana Allah. Melainkan kita berpolitik kerana inginkan jawatan atau inginkan individu tertentu, maka ini jauh dari niat yang baik.
2- Ingatlah tiada manusia yang maksum. Saya melihat tulisan-tulisan di media sosial, sehingga seolah tiada penghujung.
Yang saya maksudkan adalah puji yang terlampau sehingga seolah tiada silap langsung, tidak kurang juga kritik dan kutuk melampau sehingga seolah tiada kebaikan langsung.
Adakah benar pendirian begini? Wallahi ini jauh dari kebenaran.
Tiada siapa yang maksum melainkan para anbiya' dan rasul ﷺ. Maka jangan sesekali kita letakkan seseorang dan takwilkan kesilapan pemimpin seolah mustahil dia melakukan kesilapan.
Tiada siapa juga yang tidak punya kebaikan sedikit pun. Saya lihat pemimpin ada kebaikannya tersendiri, walau sedikit. Tinggal lagi kita ingin akuinya atau tidak.
Jika ada kebaikan tetapi kita tidak akuinya, maka kita telah berdusta kepada diri sendiri dan berlaku tidak adil.
Apabila kita sebutkan tentang perkara ini, termasuk sekali penyokong parti. Jangan terlalu angkuh sehingga menganggap parti yang kita sayangi itu tiada kesilapan dan parti orang lain tiada kebaikan walau sedikit.
Parti bukan agama.
3- Apakah yang kita dapat? Saban hari, kita mengumpul keburukan orang itu dan ini, menjajanya. Adakah perbuatan kita itu mampu bahagiakan kita di akhirat jika Allah tarik nyawa kita sekarang?
Adakah perbuatan kita itu mampu menguntungkan perpaduan di negara yang kita sayangi ini?
Adakah ia mampu memajukan ekonomi dan minda rakyat?
Saya tidak tahu, tetapi saya lihat semua jawapannya adalah tidak.
4- Jauhi ekstrimisme. Ekstrimisme ini bukanlah dari sudut terlalu kiri sahaja, tetapi juga terlalu kanan. Jangan kita sangkakan bahawa parti orang lain dilihat ekstrim itu menghalalkan tindakan kita yang juga ekstrim dari sudut yang berbeza.
"Terpaling woke", adakah kita benar-benar mengikut manhaj Islam sebetulnya?
"Terpaling Islam", adakah kita benar-benar Islam dengan cara wasatiy seperti al-Quran dan Sunnah ajarkan?
Saya melihat kedua label ini dalam kancah politik, kebanyakannya dikeluarkan dengan rasa emosi, bukan ilmiah dan fakta.
Ubatnya, terimalah perbezaan pandangan. Ingat, parti bukan agama atau pegangan.
Berbeza pandangan dalam sudut pandang politik adalah dibenarkan.
Tidak sokong parti A, tidak bererti kita menolak kemajuan.
Tidak sokong parti B, tidak bererti kita tidak cintakan watan dan ras.
Tidak sokong parti C, tidak bererti kita tidak cintakan agama.
Ini semua perlu kita cerna dengan baik. Tidak perlu tuding jari kepada orang lain, cukup muhasabah diri kita.
Jika benar mahu matang dalam politik.
Sekali lagi saya sebutkan, dalam kubur kita ditanya "siapa Tuhanmu", bukan "apa partimu".
Maka apa yang kita berkelahi di media sosial ini, adakah Tuhan meredhainya?
Sama-sama kita baiki diri.
Wallahu a'lam.
*****
Ustaz Muzuza
Telegram: https://t.me/TheGardenofAlQuran
0 yang menasihati:
Post a Comment
Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.