Adab dan hukum boikot dalam islam

Gambar: sumber


Tentang boikot dalam Islam

Saya mengikuti isu boikot di negara kita, namun terdapat beberapa kekeliruan dari sudut hukum dan akhlak dałam memboikot. 


1- Boikot dalam konteks hari ini, sebenarnya adalah sangat dituntut, ini semua untuk membantu dan membangunkan semangat saudara kita di Palestin. Boikot adalah berkait dengan jihad dari sudut ekonomi.

Namun begitu, kita perlu laksanakan dengan Ilmu, bukan semata semangat.


2- Asal hukum bagi isu boikot ini adalah Fardhu Kifayah iaitu dituntut kepada semua namun gugur kewajiban apabila ada sebahagian yang melaksanakannya. 

Hukum Fardhu Kifayah ini boleh bertukar menjadi Fardhu Ain dengan beberapa faktor seperti: 

a- pemerintah mengeluarkan arahan berdasarkan maslahah rakyat. Kaedah fiqh menyebut: 

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Urusan pemerintah terhadap rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah" 

b- musuh telah mula menceroboh negara/wilayah

Maka, jika belum sampai ke tahap ini, tidak tepat jika kita menganggap orang lain itu semuanya berdosa dan tidak cakna kerana berselisih pandangan ttg boikot.

Namun begitu, tidak kita nafikan sama sekali bahawa boikot tetap sangat dianjurkan dan dituntut untuk membela nasib saudara kita dan menekan pihak musuh. Bukankah kita yang berkemampuan menahan sedikit dari kemahuan kita, untuk membantu saudara kita di Palestin, itu lebih baik dan perlu diutamakan.


3- Jika ada produk yang sangat diperlukan atau mendatangkan mudarat jika tidak digunakan oleh umat Islam, maka tidak menjadi kesalahan untuk digunakan. 


4 - Kekeliruan juga berlaku kepada boikot produk makanan. Ada yang menganggap seolah makan makanan dari syarikat yang diboikot seolah memakan makanan yang haram, ini tidak tepat sama sekali.

Renungi semula ayat 87 dari surah al-Ma'idah.

Imam al-Tabari dan Imam al-Baghawi menyatakan sebab turunnya ayat ini adalah apabila ada 10 orang sahabat Nabi ﷺ yang berkumpul di rumah Uthman bin Mazh'un lalu bersepakat tidak mahu makan daging/makanan lazat 

- tidak mahu bernikah 


Mereka juga berkata: 

ما أردنا إلا الخير

"Kami tidak mahukan yang lain melainkan kebaikan" 

Lalu turun ayat 87 surah al-Ma'idah tadi menyatakan bahawa selagi tiada hukum haram, maka jangan kita mengharamkannya.

Maka, perlu dibezakan antara perbuatan boikot dan mengharamkan makanan itu sendiri. Sekali lagi, walaupun tidak haram memakannya, ini bukan bermaksud boikot itu tidak perlu. Boikot masih perlu kita sama-sama untuk sokong.


5.  Boikot terhadap pempengaruh atau selebriti. Saya juga melihat ada kempen #Blockout2024 yang dilancarkan oleh masyarakat dunia. Kempen ini sebenarnya positif dan ada nilai teguran tegas kerana kealpaan sebahagian selebriti yang seolah menganggap tiada apa berlaku, tidak tahu apa yang berlaku di Palestin sehingga keliru antara konflik, perang dan penghapusan etnik/manusia beramai-ramai. Ini adalah penghapusan dan pembantaian beramai-ramai, bukanlah sebuah peperangan kerana satu pihak berkuasa penuh, satu pihak lagi dibantai sehabisnya.


Ini satu 'wake-up call' yang sangat besar impaknya. 

Namun apabila sampai ke suatu tahap bahawa menganggap orang yang memakai atau menggunakan, walau sudah lama digunakan, lalu dicaci maki, ada juga yang melabelkan kafir juga, ini sudah melampaui batas.


Tanpa kita sedari, kita melakukan dosa dalam tujuan kita ingin melakukan kebaikan. 

Dosa yang dimaksudkan adalah mengkafirkan dan mencaci maki saudara seagama sendiri. Walhal kedua-dua perkara ini dilarang secara sarih/jelas dari al-Quran.

Maka jangan tertipu dengan jarum halus Iblis yang menyebabkan kita masuk ke lorong dosa yang lain dengan anggapan "oh ini untuk perjuangan", walhal kita sedang tertipu.


Imam al-Tahawi menyebutkan: 

ولا نكفر أحدا من أهل القبلة 

"kita tidak mengkafirkan seseorang dari ahli kiblat" [al-Aqidah al-Tahawiyyah]


6.  Pastikan juga maklumat sebelum kita melancarkan boikot. Kerana silap langkah dalam boikot boleh menyebabkan kita menganiaya pihak sendiri seperti perniagaan Muslim. Ambillah nasihat dari Imam Al-Thabari ketika mentafsirkan ayat tabayyun pada Surah al-Hujurat menyebutkan :


أمهلوا حتى تعرفوا صحته 

“bertenang sehingga kamu ketahui kesahihannya” [Tafsir al-Tabari 21/348]

Apa sahaja berita, jangan terus telan bulat-bulat, selidik dahulu.


7- Tuntasnya, usaha boikot ini adalah sangat bagus untuk menekan pihak musuh serta membantutkan usaha mereka untuk berbuat keganasan kepada saudara kita. Serulah manusia untuk memboikot barangan Israel, ini adalah penting untuk kesejahteraan bumi al-Quds dan rakyat seisinya.

Namun, perlu ada disiplin dan caranya, bukan boikot dengan berkiblatkan nafsu dan kebencian semata-mata, lalu orang yang tidak bersalah turut menjadi mangsa kepada kebencian yang tidak berhala.


8- Boikot ini suatu bentuk jihad, maka perlu dilaksanakan dengan ilmu, bukan semata semangat. Jangan langgar sahaja, buat dengan prinsip dan aturan yang betul. 


9- Boikot ini suatu bentuk jihad, maka perlu dilakukan dengan adab dan akhlak, bukan menganggap semua orang jahat selain kita yang memboikot. Jihad ini salah satu bentuk manifestasi taqwa. 


Abdullah Ibn Umar RA berkata : 

التقوى أن لا ترى نفسك خيرا من أحد

"Taqwa itu apabila kamu tidak melihat dirimu lebih baik dari sesiapa"  [Tafsir al-Baghawi 1/60]


Wallahu a'lam.


Rujuk: 

1- Taudhih al-Hukmi: Boikot menurut perspektif Islam (Jabatan Fatwa Negeri Selangor)

2- Hukum Boikot Barangan Israel Berdasarkan Kepada FIqh al-Jihad 

3- Al-Mawsu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah


Terima kasih kepada sahabat dan asatizah yang sudi bimbing dan baca dahulu tulisan ini sebelum dilancarkan kepada awam. 

@fakhrifadzli 

@BinAbdRahman_ 

Ustaz Mustafa

Afiq Asri dan selainnya 


Moga Allah memberkati semua.


Disiarkan dengan keizinan:

--- Ustaz Muzuza

https://twitter.com/Muzuzxck/status/1791124513817764219?s=19


Telegram Ustaz - 

https://t.me/TheGardenofAlQuran








0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2024 © TERIMA KASIH ♥



click to te top