Showing posts with label sahabatfillah. Show all posts
Showing posts with label sahabatfillah. Show all posts


Persahabatan yang ikhlas kerana Allah sudah pasti membawa berkat. Antara ciri sahabat sejati adalah memiliki pemikiran yang baik, cinta yang ikhlas, pandai menjaga rahsia serta setia dalam bersahabat. Termasuk ciri Muslim yang soleh untuk dipilih sebagai teman ialah dia tidak iri hati dengan kelebihan temannya, sentiasa rasa bertanggungjawab menjaga kemuliaan sahabatnya daripada dihina atau dicerca.

Ya, penting untuk kita mengusahakan untuk mencari sahabat yang soleh, yang bukan saja baik untuk dirinya malah boleh mengajak orang lain juga berbuat baik. 

Persahabatan menurut Buya Hamka
  • Persahabatan yang jujur itu adalah salah satu daripada tangga kejayaan.
  • Supaya engkau beroleh sahabat, hendaklah engkau sendiri cekap menjadi sahabat orang.
  • Sahabatmu suka kepadamu, tetapi tidaklah tiap-tiap orang yang suka kepadamu itu adalah sahabatmu
  • Kesenangan hidupmu memperbanyakkan teman tetapi pateri persahabatan yang setia adalah pada waktu menempuh kesukaran
  • Yang semulia-mulia kewajipan bersahabat ialah supaya engkau ketahui kehendak dan kemahuan sahabatmu sebelum dikatakannya lantas engkau perkenankan permintaannya sebelum dimintanya.
  • Kalau jadi sahabat orang ramai, tidak boleh jadi sahabat orang seorang
  • Jika engkau memberikan sesuatu kepada sahabatmu, beerti memberi kepada dirimu sendiri
  • Pengubat jerih hidup manusia adalah dua. Pertama; iman kepadaAllah SWT. Kedua; percaya kepada sahabat.
  • Apabila orang telah berasa dirinya besar, dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat setia yang sanggup membukaka matanya
  • Teman yang 'berudang di balik batu' terhadap engkau adalah seumpama anjing di tepi jalan. Perkara yang ditujunya hanyalah tulang yang akan dilemparkan kepadanya, bukan tangan yang melemparkan tulang itu.
Adakah kita sendiri sudah menjadi teman sejati?

- Bersangka baik terhadap teman
- Memuji teman di belakang
- Rasa bertanggungjawab menjaga kemuliaan teman
"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran". (Terjemahan al-Kahfi 18:28)
6 Kategori Sahabat:
  • Yang baik:
- Memahami
- Mendorong
- Menolong

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Terjemahan al-Hujuraat 49:10)

  • Jangan jadi seorang sahabat yang:
- Menjatuhkan
- Mengambil kesempatan
- Pentingkan diri

6 cara bersahabat dalam organisasi atau syarikat pula:

Ketepikan pemikiran sempit dan pentingkan diri, bersilaturahimlah demi agama, bangsa dan negara. Biar sama-sama tenang dan dapat bekerja pun dengan senang.

- Hapuskan jurang
- Setia
- Saling memahami
- Muafakat
- Berkerjasama
- Gigih
"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." (Terjemahan az-Zukhruf 43:67)

Jika ada masalah:

Jika ada masalah perlu: bersangka baik, disconnect to reconnect (Kadangkala kita perlu memutuskan seketika komunikasi secara maya, untuk menyambung kembali komunikasi secara bersemuka).

Elakkan bermusuh. Syaitan suka.
"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia." (Terjemahan al-Israa' 17:53)
- Doakan sahabat selalu, dalam diam juga.
- Bersahabatlah sampai syurga

Doa yang boleh diamalkan untuk mendapat sahabat yang baik: 


 "Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;" (Asy-Syu'araa' 26:83)
Jalan setiap orang berbeza. Hidup sementara, jadi jadilah seorang yang bermanfaat kepada orang lain. Sabarlah selalu dan doalah baik-baik. Selamat menghargai sahabat!

Sumber:
- Terjemahan ayat-ayat Quran dalam artikel ini: surah.my
- "Persahabatan Menurut Buya Hamka", Majalah Solusi 118
- "Tip mencari teman sejati", Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed, Solusi 80
- "Kenali Sahabatmu", Norfatiha Binti Othman. Ruangan Gen-Q, Solusi 73
- "6 Cara bersahabat dalam organisasi" Ruangan Ulfah: Hj. Zainuddin Ali, Solusi 92
- "Membina semula nilai persahabatan",  Azrul Azlan, Ruangan Zikir Fikir - Majalah Solusi 118
Baginda bersabda bermaksud, "Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya, hendaklah dia memberitahu bahawa dia menyayanginya." (Riwayat Abu Dawud)


Saya menulis entri ini dengan rasa rindu yang dalam pada beliau ini. Seorang yang mempunyai senyuman manis, suara merdu dan gelak yang manja. Belum lagi perangai gila-gila yang masuk dengan saya. Persamaan jelas antara kami selain daripada sama-sama bertubuh kecil, adalah kalau orang tak tahu mesti ingat kami ini pendiam. Tapi sebenarnya kami sama-sama kecoh.

Perjalanan persahabatan kami sama seperti kebanyakan yang lain. Ada suka dan duka. Ada gelak dan tangis. Ada jarak jauh dan dekat. Kami mula kenal pada usia kami 6 tahun. Sama-sama kecil comel loteh dulu (sampai sekarang masih comel). Kemudian terbawa ke sekolah rendah, sehinggalah di awal sekolah menengah. Kami rapat sehinggakan masing-masing kenal dan pernah bertemu keluarga masing-masing. Dia yang kerap menghadiri majlis harijadi saya (kebetulan rumah kami pun tidak jauh). Malahan dia juga pernah bermalam di rumah saya. Dia sememangnya menceriakan zaman kanak-kanak saya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

"Tidak sempurna iman salah seorang dari kalian sampai dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri."
Sebelum perpisahan mendewasakan pada sekolah menengah, saya mula merasakan kesedihan yang jarang saya rasakan semasa kecil iaitu ketika saya (waktu itu ada peperiksaan langkau kelas; PTS), syukurnya (alhamdulillah) saya berjaya melepasinya dan layak melompat dari darjah tiga ke lima. Ketika itu di sekolah rendah agama Jeram Batu 20;

  “Betulkan ustaz dia kena pergi? Boleh tak kalau dia tak pergi?” Ya, soalan sahabat saya yang baru memasuki darjah empat itu mengoyakkan hati saya. Sehingga saya terlupa saya perlu gembira kerana kejayaan dalam peperiksaan itu. Saya bukan pergi sekolah lain pun, cuma perlu menukar darjah. Waku itu Tuhan sahaja tahu rasa takut tidak dapat tangkap atau mengikuti kelas baharu kerana tertinggal satu darjah (bagi saya) atau sedih teramat kerana berjauhan dari sahabat baik yang amat saya sayangi. Namun kami masih seronok kerana masih dapat melihat wajah. Malahan adakalanya kami melambai-lambai satu sama lain dari kejauhan. Manis bukan? Hehe. Ya saya tahu itu.

Hari berganti hari. Akhirnya saya perlu pergi ke sekolah menengah. Hati sedih juga perlu meninggalkan sekolah awal. Tidak terlihat lagi sahabat saya di mata nanti. Saya akan jadi senior! Namun walaupun ditakdirkan kami tidak bersekolah menengah yang sama, malah dia nun jauh di Kuala Selangor, kami masih kekal berhubung dan saling menyinggah rumah. Hari raya kadangkala jumpa juga. Dan waktu itu ada juga saling berhubung menggunakan telefon rumah. Kiranya ada sahaja cerita kami dan ia tidakkan habis. Percaya masih kekal di hati.


Tahu tak apa paling seronok? Kami saling berbalas surat ketika saya ditakdirkan berpindah ke Rawang, kemudian ke Selayang; bersama keluarga (emak dan adik) mengikut abah yang bertukar tempat kerja. Dia menjadi sahabat pena yang sangat setia. Dia mengirimkan gambar, kata-kata dan perkembangan. Setiap kali surat beliau sampai, saya sangat teruja! Ya, saya masih menyimpan surat-surat perempuan manis ini.

Kemudian adalah kami berjumpa di Kuala Lumpur dan hal-hal besangkutan lain (ada juga temuduga terbuka kami pergi bersama-sama), dan saya tak akan lupa betapa waktu itu kami masing-masing sudah dewasa. Saling berpunya namun belum berpelaminan. Sahabat saya sudah besar! Siapa sangka cepat benar masa berlalu. Zaman kecil nakal saling kejar, kini saling malu-malu alah cerita tentang pasangan di sisi.

"Friendship is the hardest thing in the world to explain. It's not something you learn in school. But if you haven't learned the meaning of friendship, you really haven't learned anything."

― Muhammad Ali

Masa berlalu, dipendekkan cerita, saya dan emak menghadiri majlis perkahwinannya. Melihat sahabat saya melangkah ke alam perkahwinan adalah satu kebahagiaan yang tidak terperi. Lama kemudian mendengar dia bakal melahirkan, Tuhan sahaja tahu rasa syukur saya.

Kemudian ada juga kami datang ke rumahnya (di kampung kami). Kemudian abah saya meninggal dunia, dua tahun kemudian abah beliau pula). Keduanya pergi tanpa sakit serius, dan tiba-tiba. Kami saling berkongsi duka dan kekuatan.

Untuk Roszana Binti Kasim yang saya sayang; jika awak baca ini saya nak awak tahu, saya rindu saat kita naik basikal waktu kecil pergi beraya sama-sama. Saat kita berbual deep deep waktu malam dekat KL dulu dan saat kita saling berutus surat macam baru berkenalan; saya sayang awak sangat sahabat. Terima kasih kerana menjadi sahabat baik yang selalu bertahan dan mendoakan. Maaf jika saya ada kurang di mana-mana. Semoga awak terus bahagia di samping keluarga tersayang. Kuatlah seperti selalunya, manislah seperti apa adanya.

Yang selalu sayang awak — Anem.



p/s: Semasa sekolah dulu, dia ada tukar-tukar nama, saya pun dah tak berapa ingat (Izah dia, Isya saya macam tu rasanya). Malahan kami juga berkongsi sahabat pena yang sama. Tapi sebelum ada nama comel begitu, masa darjah dua kami ada kawan yang sangat comel, Ira (tak silap nama dia), pergi dahulu meninggalkan kami buat selamanya. Sejak itulah saya semakin sayang dekat Roszana; Ros atau Nana saya panggil ini. Sekali sahabat, sampai bila-bila sahabat! Insya-Allah.

Ada jodoh, kita jumpa nanti tau! Insya-Allah.

Dia menyedarkan kita bahawa ukhwah fillah  itu , tidak perlu kenal lama pun boleh terasa dekatnya. Tak pernah berjumpa pun, boleh terasa betapa indahnya.


Pagi tu seperti biasa, kelihatan seorang insan yang rajin berkongsi baca tasbih zikir dekat susur masa twitter. Kemudian ditegurnya seorang-seorang kawannya dengan mesra. Beberapa ketika dia akan retweet tweet islamik untuk dikongsi bersama . Itulah dia @mylurve91 atau sebenarnya Nur Hidayah Binti Abu Marshah.

Saya mengenali dia kerana ditakdir Tuhan, kami menulis dalam lembar sama buku puisi seratus mulut keluaran bukstor bersama 98 sahabat lain. Dia begitulah, ikhlas dan dengan senang berkawan sesiapa. Tiada buruk sangka dan menerima apa adanya. Demikianlah betapa sehingga kini masih ramai yang merindui kebaikannya.


Seorang yang peramah - sangat gemar mengusik dan paling tidak senang jika kawan lain kelihatan sedih . Dia akan tegur, bergurau, mensi atau paling tidak, ajak kawannya berkongsi . Dan dia suka pesan begini , kalau nampak smiley sedih " :'( " -

"Aipp, tamo sedih-sedih. Kenapa ni ?". Sungguh dia mahu rasa sekali rasa sedih kita. Allahu.

Peribadinya pula, pemalu, sukar mengadu susah , seorang yang tenang menghadapi masalah dan menyerahkan keberantungan sepenuhnya kepada Allah, membuatkan dia kelihatan kuat dalam menghadapi jua dugaan yang menerpa.

Seorang yang sangat rajin memberi tazkirah, berkongsi intipati usrah -, sangat menjaga aurat , solat ( di awal waktu ) dan berkongsi sama perasaan seluruh ummah.

Malahan dia juga sangat merasai tempiasnya kehilangan MH370 , gusarnya, sedihnya memang ketara. Dan perbualan terakhir kami di mesej twitter juga ada berkaitan itu . Dan satu yang saya rasa indah  dan syukur, di akhir kalam , Allah izinkan saya sempat menuturkan rasa terima kasih di atas perbualan kami pada malam hari itu. Dan dia sempat menitip pesan ' jaga iman, jaga hati, jaga diri '. Kenangan dan nasihat awak akan terus bersemadi dalam hati semua kami yang mengenali. Insyaallah . Terima kasih sungguh-sungguh dari hati.

Al-Fatihah

Buat awak yang kadangkala akak usik dengan panggilan 'Yayang' (Yaya) -sungguh awak banyak mengajar kami tentang ukhwah yang ikhlas kerana Allah. Semoga tenang bersemadi di sana. Semoga dipermudahkan semuanya. Dan semoga keluarga Hidayah juga akan terus dipermudah , insyaallah.
--
Ya Allah, ampunkan dosa-dosa Hidayah, moga beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Insyaallah, Ameen ya Rabbal A'lamin.


"Sayang awak kerana Allah, adik". Send
- "Sayang akak juga kerana Allah". Received.
 
Rindu :')









Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top