Showing posts with label si mati. Show all posts
Showing posts with label si mati. Show all posts


Hari lalu mak ada kata , "Along, mak ada mimpi kenduri ". Mimpi itu hanya alat dan perantara, dan dari ALLAH turun dan jadinya semua perkara.

"Mengurus sedih duka orang lain lebih mudah jika benar cara memujuk. Namun mengurus sedih duka sendiri adalah payah walaupun hakikatnya hati kita bukannya merajuk ".

" Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan) maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka tundakan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka dahulukan."(al-Araf:34)
_________________


Dia dulu - pernah jaga Anem di kampung . Anem dah kata hari kelmarin "esok, balik lewat, ada kelas tambahan".Dan dia lupa. Hari ini, sepanjang 1km , kaki tua itu berjalan kaki menuju ke sekolah dan bertanya pelajar lain, "Anem mana, kenapa dia lambat balik?".Kasihan dia, penat penggemar baju kurung kedah itu mengatur langkah.

Dia dulu - sangat menjaga keselamatan. Pukul 2.30 masuk kelas, secepatnya dia dan sepupu lain bersiap. Pukul 2 , kami sudah berada di seberang jalan sekolah rendah kain hijau itu. Namun menunggu dia mengusir rasa takut semua kenderaan yang menghalang kami melintas, loceng berbunyi setengah jam, baru kami melintas selamat.Ya, dia sangat menjaga kami.

Dia dulu - mata tua tak terlihat jam pukul berapa. Segera mengejut Anem , "lekas, bangkit siap ke sekolah" - namun agak melucukan, kerana baru pukul 2 pagi. "maaflah, wan tak nampak" - katanya perlahan.

Dia dulu - sangat dipengaruhi cucunya untuk meminati Achik dan Nana. Katanya dia suka melihat pasangan serasi itu bernyanyi . Malahan sampai ke sudah, dia tidak mengetahui yang Achik telah pun tiada lagi. Selain Achik, dia juga mengenali Tomok dan Mawi selain Siti.

Dia dulu- gemar bercerita. Di lontarkan ayat bersahaja, namun ada saja yang mencuit rasa. Malahan dia juga pandai sedikit , diizin, dikurnia tuhan tahu sedikit mengubat orang bisul di sini-sana.

Dia dulu - sangat baik bila berniaga . Yang penting biar orang rasa kuih dia benar sedap dan puas. Tak mengapa harga murah. Bahulu yang dia bakar di dapur luar tu mengeluarkan asap. Habis berair mata satu rumah menahan pedih mata. Dia memang pandai membuat pelbagai kuih. Sangat sedap.

Dia dulu - gemar memasak. Paling lazat, adalah sambal nasi lemak. Pernah sekali dia memasak nasi lemak selama seminggu, pagi petang malam kerana menjaga perbelanjaan dapur. Dan sesungguhnya makanan yang sedikit tapi sedap itu tetap mengenyangkan. Alhamdulilah.

Dari dulu- dia sangat memanjakan cucu-cucunya. Walau dia tu tak berapa ada, namun untuk cucu tersayang, katakan apa saja, dibeli, di suanya mana kadar mampunya.

Dia penggemar wajik durian, sampai mak terjangkit sama. Kebanyakkan apa wan suka, itu juga mak suka. Mak anak paling rapat dengan wan. dari Kuala Lumpur ke Jeram, mereka banyak habiskan masa bersama. Bila mak sakit, wan yang menjaga. Bila wan sakit, emak dan adik-beradik lain bergilir pula menjaga. Bila begini sudah ceritanya, pastinya mak paling rasa terkesan.


Tiba waktu klimak hidupnya, dia diduga pula sakit tua, tak dapat berjalan tiba-tiba. Dan waktu itu dia diduga tuhan dengan hilang sedikit demi sedikit nikmat dan rasa. Dari boleh berjalan lajunya, kepada yang terduduk terbaring sahaja. Dari dulu yang sedap masaknya kepada yang dah lupa bagaimana mahu merasa. Tuhan maha penyayang, mahu dia kuat dan itu juga kafarah penebus dosa. Dan wan nampak kuat melalui semuanya.

_________________



Dan hari dingin itu, pada 23 Oktober 2011. Kisah yang tak mahu didengar , jika boleh mahu dilambatkan, tiba juga saatnya. Tak terawal sesaat, tak terlewat sesaat pun. Itu janji tuhan . Kullu nafsin Dzaiqatul maut. Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Dan dia pergi meninggalkan kami. Dengan wajah bersih dan tenang sekali.

Inalillahwainailaihirojiuun.

Sesungguhnya kita Milik Dia dan padaNYA jugalah kita kembali.

Al-fatihah untuk nenda, Raja Jamilah Binti Raja Rastam . Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Semoga selamat dan dipermudahkan di alam sana, dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, Insyaallah, Amin Amin ya rabbal a'lamin...


Kami sangat merindu. Rindu pada kehadiran wan yang menghibur dan membahagiakan kami. Terima kasih untuk semuanya dan semoga wan sudah memaafkan salah silap kami. Kami sayang wan, sayang sangat-sangat. :'(

1938 - 2011 .

Hadith Nabi SAW:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya


Assalamualaikum. Kematian dan Kepergian adalah sesuatu yang pasti. Sesuatu yang datang akan pergi.Namun masa kita, kita belum pasti. Ajal tidak mengenal usia. Belum tentu yang tua akan pergi dulu.  Selagi hidup bermuhasabahlah selalu.

Agak tidak terlambat untuk Anem menitipkan salam takziah kepada keluarga adik Kamalia Kamaruzzaman yang berusia 16 tahun (pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Razak, Selekoh ) yang baru meninggal dunia pada 20 Mac lalu kerana penyakit LEUKIMIA. Serta seorang lagi insan, Qaseh Nuur Xerra bt Adam Kher, yang meninggal dunia beberapa hari kemudian, berusia 24 tahun,student master in Forensic psychology, Australia dan beliau juga adalah peminat setia Khir Rahman.


Kamalia- kisah beliau pernah keluar dalam surat khabar. [utusan : sini dan sini ]


Xerra- Kisah anak yatim piatu yang gagah melawan penyakit seorang diri di Australia mampu menjadi motivasi ramai insan . [Baca ceritanya : klik sini]

Amalan untuk dihadiahkan kepada mereka yang telah pergi [arwah / almarhum ]

-Doakan mereka agar mendapat rahmat dan keampunan
-melaksanakan janji,wasiat dan amanah
-hormati sahabat mereka
-menyambung hubungan persaudaraan
-tunaikan umrah dan haji yang belum terlaksana
-bersedekah dan beramal bagi pihak
-gunakan harta untuk kebajikan
-bayar hutang-hutang mereka.

Etika berkaitan Jenazah dan Takziah :

- Segera menguruskan jenazah dan mengebumikannya
- Tidak menangis dengan suara kuat dan tidak meratapinya
- Disunatkan menghantar jenazah hingga ke kubur
- Memuji si mati dengan menyebut kebaikan-kebaikannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Janganlah kamu mencaci orang yang telah mati kerana mereka telah sampai kepada apa yang telah mereka perbuat ." (Riwayat al-Bukhari)

- Memohon ampun untuk si mati
- Sunat menghiburkan keluarga yang beduka dan memberikan makanan kepada mereka


Nota : Al-fatihah. Kullu Nafsin Zaaiqatul Maut ! Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Inalillah wainailaihi Rajiun. Sesungguhnya kita semua adalah milikNya dan kita pasti akan kembali kepadaNya.







Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top