Showing posts with label belangsukawa. Show all posts
Showing posts with label belangsukawa. Show all posts

Ku Cari Damai Abadi ialah sebuah sajak yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).




Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,

Untuk hidup kaya,

Aku cari bukan wang berjuta-juta,

Untuk hidup bergaya,

Aku cari bukan kawan-kawan,

Untuk hidup sekadar berfoya-foya,

Aku cari mana dia Al-Ghazali,

Aku cari mana dia Al-Shafie,

Kita bongkar rahsia kitab suci,

Cari pedoman

Kita bongkar rahsia sunnah nabi

Cari panduan

Aku hidup kerana Dia Rabbi

Dialah teman

Dialah wali

Dia mencukupi

Aku hidup bererti

Menikmati damai abadi


Oleh:- DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI


Ku Cari Damai Abadi - nyanyian Dato' Ramli Sarip


Al-Fatihah buat Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah meninggalkan kita pada 14 April 2025 yang lalu pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam.

Al-Fatihah buat Tun Abdullah Ahmad Badawi. Moga ALLAH SWT mengampuni dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin.


Sumber:

https://www.sinarharian.com.my/article/722933/berita/nasional/belasungkawa-tun-abdullah-ahmad-badawi

https://penyair.wordpress.com/2007/02/09/ku-cari-damai-abadi-abdullah-ahmad-badawi/


Gambar: 

Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi






 "Kemerdekaan bererti setiap usus perut rakyat berisi nasi, vitamin dan zat besi."

Berlegar-legar kenangan dan cerita baik-baik yang dikongsikan rakan-rakan penulis, penggiat seni malah menteri tentang beliau ini. 

Saya mengenali beliau dari jauh sebagai seorang penyair sejati yang aktif sejak bertahun lalu, selain tahu beliau juga seorang penulis yang berani serta pelakon yang dikenali. 

Terkejut dengan pemergiannya, saya mengambil sedikit masa membelek beberapa artikel di internet mengenai beliau. 

*****

Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenarnya, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini, selepas seminggu menyambut ulang tahun ke-66.

Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh isterinya (Zurina Zakariya) menerusi laman Facebook Pyanhabib malam tadi. 

“Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. Kembali kepada pencipta-Nya. Maafkan kesalahannya, doakan yang baik-baik untuknya,” katanya

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

"Bagi saya menulis ini sebagai terapi kepada diri sendiri. Tidak pernah terlintas untuk menerima apa-apa anugerah," katanya.

Selain dikenali sebagai pemuisi dan pelakon, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 20 tahun dan penyunting selama 10 tahun.

Dalam dunia penulisan, Pyanhabib telah melahirkan beberapa buah karya, antaranya termasuklah Balada Pyanhabib (2012), Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib (2015) dan terakhir, Politikus Tikus. Tikus (2017).

(Bacaan lain: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/klwbc-2020-mengenal-pyanhabib-lelaki-sunyi-yang-berani-256451) 

Selain aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976, Allahyarham juga terbabit dalam pementasan teater dan lakonan filem.

Antara filem lakonannya termasuklah Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

Dalam dunia lakonan filem, beliau amat dikenali sebagai Osman Tikus dalam filem arahan Nasir Jani, Kembara Seniman Jalanan (1986).

Beliau juga pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-7 menerusi filem Tsu Feh Sofiah arahan Datuk Rahim Razali - tetapi beliau bertindak memulangkan kembali trofi terbabit. 

(Boleh baca: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/01/filem-kembara-seniman-jalanan-1986.html) 

Sajak Pyanhabib dalam Filem Rozana Cinta 87

Scene Pyanhabib dalam Filem Rock Oo

Osman Tikus dan M. Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan

2024: Saudara Pyanhabib akan muncul dalam filem pendek untuk promosi Konsert Dato' M. N45ir Cipta


*****

Al-Fatihah untuk seorang legenda, anak seni, atuk, ayah, abang dan suami serta sahabat yang setia dan baik ini. Dikenali sebagai seorang yang mudah didekati, merendah diri, bersahaja, kreatif, berani dan sentiasa menyokong kawan-kawan, kehilangan beliau sangat dirasai ramai orang. 

Takziah buat keluarga, moga seniman Pyanhabib ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. 


Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. 

Allahuma maghfirlahu warhamhu.


- Terima kasih Tuan untuk semua pesan, serta karya-karyanya.

AL-FATIHAH. 

- "Brader, kita mesti terus hidup." - Pyanhabib



Sumber gambar:

Pelbagai, antaranya:-

https://www.utusan.com.my


Sumber artikel:

https://www.bharian.com.my

https://selangorkini.my

https://dewansastera.jendeladbp.my

https://www.bharian.com.my/

https://www.hmetro.com.my









Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Semalam (17 Disember) pelantun suara untuk lagu-lagu malar segar seperti Mimpi Yang Tak Sudah, Berdiri Seorang Perindu, Meneka Dalam Kesamaran - Ibnor Riza telah meninggalkan kita semua akibat sakit kanser Limfoma.

Lagu-lagunya adalah lagu kegemaran mak dan arwah abah. Sampai saya pun terikut suka. Suaranya mudah dikenali dan segak. 

11 Oktober 1961- 17 Disember 2023



🎶 - Playlist lagu-lagu Ibnor Riza


*****


Hari ini kita telah dikejutkan dengan pemergian Datuk M. Daud Kilau. Legenda yang digelar Raja Gelek Malaysia ini terkenal dengan kreativiti dan persalinannya (sulaman yang dijahitnya sendiri). Juga merupakan penyanyi kegemaran adik saya & sekampung dengan arwah abah. 

10 Julai 1938 - 18 Disember 2023




Takziah buat keluarga Ibnor Riza dan keluarga Datuk M. Daud Kilau. Innalillahi wainna ilaihi rajiuun, Allahum maghfirlahuma warhamhuma. 


🎶 - Show Datuk Sri Siti Nurhaliza + Datuk M. Daud Kilau



*****

Sumber:

https://ms.wikipedia.org/wiki/Ibnor_Riza

https://www.sinarharian.com.my/

https://bebasnews.my

https://ms.wikipedia.org/wiki/M._Daud_Kilau

Photo by Mutefekkirane م: https://www.pexels.com/photo/praying-man-in-mosque-18360569/









Hari lalu mak ada kata , "Along, mak ada mimpi kenduri ". Mimpi itu hanya alat dan perantara, dan dari ALLAH turun dan jadinya semua perkara.

"Mengurus sedih duka orang lain lebih mudah jika benar cara memujuk. Namun mengurus sedih duka sendiri adalah payah walaupun hakikatnya hati kita bukannya merajuk ".

" Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan) maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka tundakan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka dahulukan."(al-Araf:34)
_________________


Dia dulu - pernah jaga Anem di kampung . Anem dah kata hari kelmarin "esok, balik lewat, ada kelas tambahan".Dan dia lupa. Hari ini, sepanjang 1km , kaki tua itu berjalan kaki menuju ke sekolah dan bertanya pelajar lain, "Anem mana, kenapa dia lambat balik?".Kasihan dia, penat penggemar baju kurung kedah itu mengatur langkah.

Dia dulu - sangat menjaga keselamatan. Pukul 2.30 masuk kelas, secepatnya dia dan sepupu lain bersiap. Pukul 2 , kami sudah berada di seberang jalan sekolah rendah kain hijau itu. Namun menunggu dia mengusir rasa takut semua kenderaan yang menghalang kami melintas, loceng berbunyi setengah jam, baru kami melintas selamat.Ya, dia sangat menjaga kami.

Dia dulu - mata tua tak terlihat jam pukul berapa. Segera mengejut Anem , "lekas, bangkit siap ke sekolah" - namun agak melucukan, kerana baru pukul 2 pagi. "maaflah, wan tak nampak" - katanya perlahan.

Dia dulu - sangat dipengaruhi cucunya untuk meminati Achik dan Nana. Katanya dia suka melihat pasangan serasi itu bernyanyi . Malahan sampai ke sudah, dia tidak mengetahui yang Achik telah pun tiada lagi. Selain Achik, dia juga mengenali Tomok dan Mawi selain Siti.

Dia dulu- gemar bercerita. Di lontarkan ayat bersahaja, namun ada saja yang mencuit rasa. Malahan dia juga pandai sedikit , diizin, dikurnia tuhan tahu sedikit mengubat orang bisul di sini-sana.

Dia dulu - sangat baik bila berniaga . Yang penting biar orang rasa kuih dia benar sedap dan puas. Tak mengapa harga murah. Bahulu yang dia bakar di dapur luar tu mengeluarkan asap. Habis berair mata satu rumah menahan pedih mata. Dia memang pandai membuat pelbagai kuih. Sangat sedap.

Dia dulu - gemar memasak. Paling lazat, adalah sambal nasi lemak. Pernah sekali dia memasak nasi lemak selama seminggu, pagi petang malam kerana menjaga perbelanjaan dapur. Dan sesungguhnya makanan yang sedikit tapi sedap itu tetap mengenyangkan. Alhamdulilah.

Dari dulu- dia sangat memanjakan cucu-cucunya. Walau dia tu tak berapa ada, namun untuk cucu tersayang, katakan apa saja, dibeli, di suanya mana kadar mampunya.

Dia penggemar wajik durian, sampai mak terjangkit sama. Kebanyakkan apa wan suka, itu juga mak suka. Mak anak paling rapat dengan wan. dari Kuala Lumpur ke Jeram, mereka banyak habiskan masa bersama. Bila mak sakit, wan yang menjaga. Bila wan sakit, emak dan adik-beradik lain bergilir pula menjaga. Bila begini sudah ceritanya, pastinya mak paling rasa terkesan.


Tiba waktu klimak hidupnya, dia diduga pula sakit tua, tak dapat berjalan tiba-tiba. Dan waktu itu dia diduga tuhan dengan hilang sedikit demi sedikit nikmat dan rasa. Dari boleh berjalan lajunya, kepada yang terduduk terbaring sahaja. Dari dulu yang sedap masaknya kepada yang dah lupa bagaimana mahu merasa. Tuhan maha penyayang, mahu dia kuat dan itu juga kafarah penebus dosa. Dan wan nampak kuat melalui semuanya.

_________________



Dan hari dingin itu, pada 23 Oktober 2011. Kisah yang tak mahu didengar , jika boleh mahu dilambatkan, tiba juga saatnya. Tak terawal sesaat, tak terlewat sesaat pun. Itu janji tuhan . Kullu nafsin Dzaiqatul maut. Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Dan dia pergi meninggalkan kami. Dengan wajah bersih dan tenang sekali.

Inalillahwainailaihirojiuun.

Sesungguhnya kita Milik Dia dan padaNYA jugalah kita kembali.

Al-fatihah untuk nenda, Raja Jamilah Binti Raja Rastam . Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Semoga selamat dan dipermudahkan di alam sana, dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, Insyaallah, Amin Amin ya rabbal a'lamin...


Kami sangat merindu. Rindu pada kehadiran wan yang menghibur dan membahagiakan kami. Terima kasih untuk semuanya dan semoga wan sudah memaafkan salah silap kami. Kami sayang wan, sayang sangat-sangat. :'(

1938 - 2011 .

Hadith Nabi SAW:

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya








Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top