Buku Life Goes On - Siti Nordiana | Kadangkala kita terlalu melihat sesuatu yang indah hari ini, sehingga tidak terfikir sebelum itu ia telah terlebih dahulu melalui banyak hal-hal duka. Begitulah juga kisahnya mengenai artis seorang ini; Siti Nordiana. Menerusi buku
Life Goes On, kita bukan sahaja mengetahui sebahagian perjalanan hidupnya sehingga dapat bertahan selama 18 tahun dalam industri seni, malah kita juga dapat merasakan emosi yang dibawa bersama. Perasaan gembira, terkejut, bangga, sedih dan sayang penulis berjaya mencukupkan rencah sebuah buku (saya pernah baca buku kisah tentang Nana dan Achik juga sebelum ini (2004), namun ternyata perkongsian Nana melalui buku
Life Goes On ini kelihatan berbeza; lebih peribadi (dekat), matang dan sarat emosi).
"Tidak mudah untuk mencatatkan kisah, ada seribu emosi yang bermain-main." - m.s. 174
Buku terbitan
Must Read ini bermula dengan berkisah tentang cita-cita, perjalanan hidupnya di masa remaja serta dugaan alam berumahtangga. Turut ditulis adalah perkara yang dekat dengan ramai sebahagian kita iaitu sokongan keluarga, pertemuan, persahabatan serta yang paling menyentuh; kehilangan. Sama ada kepergian seseorang yang masih hidup mahupun yang telah tiada lagi di dunia. Kedua-duanya pernah beliau rasai. Bagaimana semangat beliau untuk kembali bangkit turut diceritakan menerusi naskah ini.
"Kematian membawa kita kepada erti kehilangan. Kematian membuka hati untuk menilai sebuah perhubungan. Sesungguhnya kematian bukan sekadar sebuah tangisan. Di celahnya adalah didikan demi didikan." - Siti Nordiana, Life Goes On
|
Nana dan Rayyan |
Kata-kata tidak enak, layanan yang tidak seperti diharap, serta kisah bagaimana beliau bermula semula serta akhirnya berjaya benar-benar menginspirasi. Paling tidak pun, buku ini berjaya meyakinkan kita, dengan usaha dan semangat tidak putus asa, tiada apa pun yang mustahil. Kejayaan tetap datang pada waktu yang tepat, pada mereka yang bersungguh dan tidak mensia-siakan peluang. Insya-Allah.
"Matikah kita dengan cacian manusia? Lumpuhkah kita dengan hinaan? Teman, kau hanya perlu bijak mengemudi perasaan." - m.s. 125
|
Isi kandungan |
Antara bab yang menarik perhatian saya (daripada 24 bab) adalah:
- Bab Life Goes On - "Setiap satu yang menyakitkan itu, ada sesuatu yang menanti di depan sana."
- Perginya seorang sahabat (Ya, dia ada cerita tentang arwah Achik)
- Demi rayyan (Rayyan, anak lelaki kesayangannya)
- Hampir
give up
- Peluang kedua (
Tentang Gegar Vaganza)
- Honey (Nana mula aktif berlakon!)
- Jatuh Bangun
"Nak jadi orang berjaya, kenalah rajin berusaha" - Ayah Nana, Encik Alias (m.s. 7)
Nampak ringkas sahaja ucapan ini bukan? Namun dalam keadaan kita hilang cara dan yang memberi semangat pula adalah orang yang percaya dan dekat dengan kita, makna perkataan ini sangat besar sebenarnya. Lihatlah bagaimana ayat ini membawa seorang Nana sehingga ke tahap seperti kita lihat hari ini. Sokongan serta semangat ibu bapa beliau sangat kuat. Sejak kecil, mereka berdualah menjadi penyokong nombor satu Nana. Jadi kita tahu daripada mana selama ini beliau memperoleh semangat dan tekad yang tinggi.
Antara Quotes (kata-kata menarik) lain dalam buku ini:
"Saya melihat apa yang berlaku bukannya hanya atas usaha saya seorang sahaja."- m.s. 19
"Takdir yang mengecewakan itu tidak pernah sia-sia. Allah hanya mahu kita belajar, pergantungan itu biarlah hanya kepada Dia, bukan kepada manusia." - m.s. 70
"Sehebat mana kau betarung, sejauh mana kau mendayung jika kata-Nya; "kun fayakun", maka siapalah engkau untuk menolak segala yang disusun."- m.s. 79
"Rezeki itu milik Tuhan. Yakin dan percaya dengan usaha, tawakal dan doa. Kau pasti menjemput rezeki daripada-Nya."- m.s. - 105
Buku ini jelas dengan mesej untuk membawa manfaat. Seperti kata Nana baru-baru ini; buku ini adalah sebuah perkongsian pengalaman dan tiba masa untuk beliau memberi semula sesuatu kepada masyarakat (untuk orang yang mahu lebih mengenali beliau terutamanya) selain mahu orang lain juga tidak mudah berputus asa dalam hidup. Insya-Allah.
Akhir kata,"selamat menempuh ujian demi ujian, semoga pengakhirannya satu kebahagiaan." - Honey
Tahniah dan terima kasih buat Nana (serta semua yang terlibat) untuk penghasilan sebuah buku yang baik. Selain daripada intipatinya adalah tentang kehidupan Siti Nordiana sendiri, bagi saya reka letak
quotes bergambar dan kata-kata dalam buku ini juga menarik.
Instagram:
@SitiNordiana
Instagram penerbit buku:
@bukumustread
4 yang menasihati
Masih jual lagi ke buku life goes on dgn pelangi jiwa achik Dan Nana???Tau tak Mana nak cari??
ReplyDeleteBuku Life Goes On boleh rujuk hashtag dekat instagram kadang ada orang jual. Tapi kalau Pelangi Jiwa tu tak pasti. Lama dah kan
ReplyDeleteKredit to ghostwriter Life Goes On.....berjaya membawa cerita nana dengan baik
ReplyDeleteuntuk membeli buku life goes on, boleh ke shopee kami (kedai buku must read) :)
ReplyDeleteUntuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.