Zakat: hukum, hikmah dan syarat wajib



Maksud zakat dari segi bahasa adalah kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

Dari Segi Syarak
Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Hukum Zakat
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.

Hikmah Disyariatkan Zakat
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:
  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.
Dalil wajib zakat

1. “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)

2. “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)

3. “Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)

SYARAT WAJIB ZAKAT

i. ISLAM
Pemilik harta mestilah seseorang yang beragama Islam kerana zakat disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat kerana zakat adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan kepatuhan diri sebagai seorang hamba.

ii. MERDEKA
Bebas daripada cengkaman penghambaan. Isu hamba tidak timbul pada masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan oleh para ulama sebagai salah satu syarat wajib berzakat.

iii. MILIK SEMPURNA
Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atasnya melainkan dirinya sendiri. Dengan pemilikan sempurna, sesuatu harta tidak tertakluk kepada hak pihak lain. Pemiliknya mampu mengendalikan harta tersebut secara bebas dan keuntungan daripadanya juga kembali kepada pemiliknya. Maka, tidak wajib zakat kepada harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya. Syarat pemilikan sempurna diambil daripada dalil-dalil berkenaan zakat yang menyandarkan perkataan harta kepada pemiliknya sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat)” [Surah al-Taubah (9): 103]

iv. CUKUP NISAB
Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab yakni paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat. Umumnya, setiap kategori harta mempunyai kadar nisabnya yang tersendiri. Misalnya bagi Zakat Pendapatan, Perniagaan, Wang Simpanan, Saham dan Emas, nisabnya adalah nilaian 20 mithqal (85 gram emas). Manakala nisab bagi Zakat Pertanian adalah 5 wasaq (atau awsuq). Bagi nisab Zakat Ternakan adalah berpandukan ukuran ketetapan yang telah dinyatakan dalam nas hadis.

v. CUKUP HAUL
Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari. Pada asalnya, asas perkiraan haul adalah mengikut tahun Hijrah, namun oleh kerana kebiasaan (uruf) pada hari ini penggunaan tahun masihi mengatasi penggunaan tahun Hijrah, maka praktis pengiraan zakat lebih tertumpu kepada kalendar tahun masihi.

Haul menjadi syarat dan penyelaras dalam sistem zakat. Pensyaratan haul terhadap sesetengah harta adalah pendapat jumhur ulama dan sebahagian mereka menukilkan ijmak. Namun ulama telah menetapkan bahawa pensyaratan haul tidak meliputi seluruh sistem zakat di mana ia disyaratkan kepada beberapa jenis zakat seperti Emas, Perniagaan dan Ternakan. Manakala Zakat Pendapatan, Pertanian dan Rikaz tidak disyaratkan haul.

vi. BERKEMBANG (AL-NAMA’)
Harta yang akan dikenakan zakat mestilah harta yang berkembang atau berpontensi untuk berkembang. Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya. Secara praktis, ulama sejak zaman-berzaman tidak mewajibkan zakat terhadap haiwan yang dijadikan kenderaan, rumah kediaman, perabot rumah, alat-alat pekerjaan, dan lain-lain yang sifatnya tidak berkembang kerana ia dijadikan semata-mata untuk kegunaan peribadi. Syarat ini sebenarnya selari dengan makna asal perkataan ‘zakat’ dalam bahasa Arab yang memberi maksud bertambah dan berkembang. Syarat ini diambil daripada nas hadis Rasulullah SAW (yang bermaksud):

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Tidak ada kewajipan zakat atas seorang Muslim pada hambanya dan tidak pula pada kudanya.” (HR Bukhari & Muslim)

Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.

8 GOLONGAN ASNAF (LAYAK TERIMA ZAKAT)

1. Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

2. Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

3. Amil
Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.

4. Muallaf
Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) ianya dibahagi kepada dua iaitu : a) Beragama Islam + Baru memeluk agama Islam + Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya. + Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya. + Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh. b) Bukan beragama Islam + Boleh dipujuk supaya masuk Islam. + Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.

5. Al-Riqab
Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

6. Al-Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.

7. Fisabiillah
Mana-mana orang atau pihak yamg melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

8. Ibnu Sabil
Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan

Jenis-jenis Zakat:
  •  Zakat Fitrah
  •  Zakat Harta

* Boleh baca tentang perbezaan Zakat Fitrah dan Zakat Harta di: http://mathbeautifulmind.blogspot.com
  •  Zakat Pendapatan
  •  Zakat Perniagaan
  •  Zakat Wang Simpanan
  •  Zakat Emas/Perak
  •  Zakat Saham
  •  Zakat KWSP
  •  Zakat Pertanian
  •  Zakat Penternakan
  •  Zakat Ma’adin, Kunuz & Rikaz
Berikut merupakan  cara bayar yang disediakan oleh PPZ-MAIWP
  • Kaunter PPZ-MAIWP
  • Portal PPZ-MAIWP
  • Kaunter Van Bergerak
  • Skim Potongan Gaji (Skim Thohir)
  • Bank (Kaunter, Perbankan Internet, Mesin ATM)
  • Firma Mata & Firma Audit
  • MYEG
  • KIRIMAN POS
  • Kaunter Pejabat Pos di Seluruh Wilayah Persekutuan
  • Cek Post-Dated
  • Koperasi Angkasa
  • “Trustee” Terpilih
BAYAR ZAKAT ONLINE

- Melalui Zakat Selangor: https://fpx.zakatselangor.com.my/
- Rujuk cara bayar zakat melalui bank, tapi kena ambil tahu rate di tempat kita dulu: cara-bayar-zakat-fitrah-online
Untuk maklumat lanjut boleh terus menghubungi di talian zakat 1-300-88-5757
Antara rujukan:


0 yang menasihati:

Post a Comment

Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.








Anem Arnamee 2024 © TERIMA KASIH ♥



click to te top