Bermula 1 April 2022, kita akan mula beralih ke fasa endemik dengan pembukaan sempadan negara, pemansuhan penjarakan fizikal untuk solat jemaah, pemansuhan had waktu operasi premis niaga dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun pelitup muka masih perlu terus dipakai.
Endemik bermaksud virus masih wujud tetapi merebak pada tahap yang lebih rendah dan wabak masih boleh berlaku.
Penyakit yang endemik masih memerlukan program kawalan penyakit yang mantap untuk mengurangkan jangkitan, mengurangkan morbiditi dan mengurangkan kematian.
Fasa peralihan ke endemik akan menyaksikan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang akan meningkatkan mobiliti masyarakat. Dengan peningkatan mobiliti, risiko jangkitan COVID-19 juga akan meningkat terutamanya bagi kumpulan individu dengan komorbiditi, warga emas dan juga kanak-kanak yang belum divaksinasi.
Seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri, bermula 1 April nanti, sempadan negara akan dibuka, kedai-kedai makan sudah boleh beroperasi sehingga lewat malam dan saf solat jemaah juga sudah tidak ada lagi penjarakan.
Bagi memastikan kesemua aktiviti ini dapat disertai dan dilakukan dengan selamat, pastikan anda telah menerima vaksinasi dos penggalak bagi yang layak dan pastikan juga anak-anak anda mendapat perlindungan yang optimum daripada jangkitan COVID-19.
Data bagi setiap 100,000 populasi menunjukkan kadar kematian warga emas akibat COVID-19, terutamanya bagi yang belum menerima vaksinasi lengkap ataupun yang belum menerima dos penggalak, adalah jauh lebih tinggi berbanding kumpulan umur yang lain dan juga berbanding mereka yang telah menerima dos penggalak.
Lindungilah diri sendiri dan lindungilah keluarga serta seluruh komuniti dengan mendapatkan dos penggalak. Vaksinasi mampu melindungi diri dan individu berisiko tinggi termasuk warga emas daripada jangkitan serius COVID-19.
Semoga kita dapat menjalani fasa peralihan ke endemik dan menyambut bulan Ramadan penuh mulia dengan keberkatan dan selamat.
0 yang menasihati:
Post a Comment
Untuk kesudian membaca dan memberi berkata-kata - saya berterima kasih.