Showing posts with label pendapat. Show all posts
Showing posts with label pendapat. Show all posts

Sebagai peminat drama melayu, saya suka tengok orang ramai beri ulasan terhadap drama-drama melayu. 

Kalau dalam #LelakiItu banyak disentuh dan dibincangkan bab munahakat, tanggungjawab dan keturunan (sebelum ada scenes yang sensasi, yang tak perlu ada pun sebenarnya).

Dalam #Khunsa diperbincangkan bab biologi dan jantina serta kewujudan jantina ketiga yang memang wujud.

Terbaru, orang bincang bab rujuk pula melalui drama Andai Tiada Dia. Walaupun ramai emosi dengan watak Intan dan Haikal, namun tetap ada ilmu baik yang boleh diambil.

Jika di app Tonton, drama Salju Rindu di Bumi Auckland pun mendapat perhatian dan pujian ramai.

Lara Kasih yang membawa tema dua darjat hidup di kampung pun, sangat menarik jalan ceritanya. 

Begitu juga melalui drama Senyawa melalui Iqiyi yang menampilkan lakonan hebat Trisha Ooi, Shah Jaszle, dan Siti Hariesa - membawakan isu ibu tumpang. Itu pun isu yang jarang ditampilkan.

Kalau nak lagi moden, fresh, drama di Viu pun tak kurang menariknya seperti From Saga With Love yang sangat chill dan colorful vibes-nya.

Ramai cakap drama kita makin bagus. Sebenarnya dah lama bagus, terutama kalau selalu tengok drama #PanggungRTM (termasuk yang adaptasi novel, puisi dan cerpen). Itu belum lagi slot drama di TV AlHijrah dan Astro Originals (terutamanya drama slot Project). Itu juga sangat bagus kualitinya. 

Sekarang dah makin meluas dan ramai tengok drama Malaysia (termasuk orang dari luar negara, negara jiran - mereka pun suka), alhamdulillah. Permulaan yang baik untuk sokong karya tempatan.

Sentiasa ada ruang untuk memperbaiki. Selalu ada hal yang baik untuk permulaan hal indah yang panjang. 


Perkongsian dan luahan peribadi

Anem Arnamee. 


Photo by Huỳnh Đạt: https://www.pexels.com/photo/black-crt-tv-2251206/




Tidak semua orang diberi memori yang baik untuk mengingat jalan. Namun ada juga yang mahir dalam mencari jalan walaupun tidak pernah pergi ke sesuatu tempat itu. Dan dalam era teknologi sekarang, tiada kesukaran dalam hal arah pandu ini; terutama jika anda seorang yang pelupa atau sukar mahu bertanya. Yang penting tahu ke mana (ada alamat) mahu dituju.

Bantuan orang lain 
"Orang lain" itu selalunya bukan orang lain sangat pun. Sama ada mereka yang selalu mengingat jalan, atau pernah dan tahu arah jalan itu terdiri daripada ibu bapa, suami atau isteri, adik-beradik, kawan kita mahupun seseorang yang boleh membantu kita. Mereka ini diberi kelebihan untuk ingat. Dan sebahagian kita memang pelupa jalan (yang akan menyebabkan kurang mahir), memang sangat memerlukan bantuan mereka, atau mungkin ada juga yang malas mengingat sebab tahu ada orang akan bantu dia.

Google maps
Google maps adalah antara yang popular pada awal-awal penyediaan perkhidmatan peta dan arah dalam internet. Kita bukan saja boleh menganggarkan jarak ke sesuatu tempat namun lebih daripada itu kita juga dapat mengetahui hotel, bank atau pejabat terdekat dengan lokasi tujuan kita. Atau berapa jarak jika mengggunakan kenderaan atau jalan berbeza. Menjadi pilihan pada yang hendak mudah, kerana selalunya siap sedia ada dalam telefon pintar dan memang senang diakses dalam internet. Dan pilihan ramai pengguna komputer.


Waze
Kegemaran ramai pengguna kenderaan. Agak comel. Bukan sahaja memiliki suara serta bahasa yang boleh dipilih sebagai pemandu arah, malah boleh dipasang menggunakan suara kita sendiri. Selain berguna untuk kita melihat kesesakan arah jalan tersebut (bergantung pada ramai yang log in aplikasi sama), terdapat banyak kelebihan lain; kena install dulu, baru tahu.


GPS kenderaan
Ini lagi mudah, beli dan pasang sahaja di kenderaan, ada suara pandu arah (yang boleh dipilih bahasa), dengan hanya meletakkan (taip dan simpan) alamat, dia boleh terus memandu arah kita menuju tempatnya. Namun kita masih boleh mengikut arah jalan lain dan dia akan automatik menunjukkan arah semula berdasarkan jalan kita itu. Ya, itu yang menariknya GPS pada kenderaan ini.

Cara guna GPS? Ini bergantung pada manual yang anda dapat ketika membeli, dan orang yang jual akan terangkan pada anda, yang ini tak tahu, boleh tanya terus!

Jadi, mana satu pilihan anda? Anda sememangnya suka mencari atau jenis mudah mengingat? Atau mungkin juga jenis try and error, kaki terjah? Apapun memandulah dengan berhati-hati, ingat orang tersayang. Serta jagalah diri baik-baik.



Filem berdasarkan kisah benar memang cepat menangkap perhatian. Semasa saya menulis entri ini, di Malaysia sedang ditayangkan filem You Mean The World To Me (berdasarkah kisah hidup seorang pengarah menyelusuri semula kehidupan lalunya) serta baru-baru ini ada ditayangkan filem Adiwiraku (kisah benar susah-payah guru dan anak murid di kampung dalam mencapai impian).

Banyak sebenarnya filem kisah realiti yang menarik sama ada dari Amerika, Eropah, India mahupun negara asia lain dan negara timur tengah. Namun filem yang saya ingin perkatakan kali ini adalah filem yang agak tragis, sedih dan penuh emosi serta berjaya menggugah hati ramai penonton. Kerana apa?

Kerana kita seolah tidak dapat menerima alasan logik kenapa peristiwa berkenaan perlu berlaku. Sedangkan hakikatnya ia boleh dielak.

1. Filem Silenced (Korea) - Video @ youtube

Saya mendengar kehebatan cerita ini sudah lama. Namun baru dapat menontonnya di TV9. Dengan pelbagai adegan yang penuh tidak sangka saya dengarkan, rasa teruja untuk menontonnya pasti ada.



Sinopsis: Silence (The Crubicle): kisah benar pedophilia yang berlaku pada 2005 (dijadikan novel, kemudian diangkat sebagai sebuah filem pada 2011) di Sekolah OKU, daerah Gwang-Ju Korea Selatan. Anak-anak ini pekak dan bisu, jadi perkara salah yang dilakukan oleh pengetua mereka (yang kelihatan baik pada mata ramai), diambil mudah dan dilepas tangan. Tidak mendapat pembelaan sehinggalah cerita ini dikisahkan semula.

Aspek kemanusiaan: Kisah ini penuh dengan rasa geram penonton, marah dan tangis. Banyak perkara yang begitu mendukacitakan. Wajarkan seorang pembela menjadi pemusnah? Dan gagalnya suara kurang upaya dalam menentang kuasa besar dalam hidup. Apatah lagi dikaburi dengan perkara-perkara luar yang tidak jujur.

Dari kaca mata penonton filem: Kisah ini boleh ditonton oleh penonton yang bersikap natural atau memang jenis boleh tenang. Jika jenis terbayang (terbawa-bawa), atau mudah terganggu, elok elakkan saja. Namun saya merasakan filem ini begitu kuat dengan rasa semulajadi dan penghayatan para pelakonnya. Seolah-olah pelakonnya tidak berlakon. Sangat real! 

Kejayaan filem ini:  "Kisah nyata, selepas kisah ni diangkat menjadi filem ‘Silenced’, kes ni mula mendapat liputan antarabangsa dan perbicaraan yang tertangguh sekian lama diangkat ke mahkamah semula. Dulu, kes ni ditutup." - (Sumber: Thevocket)

2. Filem Sunk Into The Womb (Jepun) - Video @ youtube

Filem ini saya tonton di astro. Dalam sibuk orang perkatakan tentang Silenced, ada pula mencadangkan menonton filem ini. Katanya lebih sedih dan penuh ketidakjangkaan.


Sinopsis: Sebuah filem berdasarkan kisah benar yang berlaku di Osaka, Jepun. Mengisahkan seorang isteri dan ibu yang bertanggungjawab dan penyayang diabai suami. Kemudian perlu mencari kerja, dan akhirnya menjalani kehidupan bebas. Ada dua anak kecil. Kemudian dia meninggalkan kedua anak itu. Agak lama, sehingga keduanya kelaparan. Dan ada yang mati. Namun tindakan ibunya setelah pulang, lebih mengejutkan.

Aspek kemanusiaan: Filem ini penuh tanda tanya dan rasa tidak senang. Ada hak manusia yang tidak terpenuhi. Dan dilepaskan dengan cara salah. Tekanan setiap manusia berbeza dan cara menyelesaikannya perlu betul dan paling penting, dicari. Jangan kerana rasa sendiri, kita berbuat sesuatu yang tidak wajar pada diri, mahupun orang di sekeliling. Apapun, sewajarnya perlu kembali kepada Tuhan.

Dari kaca mata penonton filem: Filem ini bagus naratifnya. Dan tidak ada ramai pelakon. Banyak diperlihatkan keletah anak, dan gambaran rumah yang ditinggalkan orang dewasa, filem ini begitu perlahan (banyak guna stationary camera shot). Buat yang jenis menghayati dan tak suka filem jenis laju, ia sesuai untuk ditonton.

*****

Apapun, realiti keadaan yang begitu mendesak dan didorong tuntutan nafsu yang begitu kuat hari ini kadangkala membuatkan keadaan menjadi diluar kawalan, apa yang kita harus lakukan adalah sebolehnya berhati-hati, menjaga diri, mengawal serta mencegah. Moga baik-baik untuk semua kita. Insya-Allah.


Dalam apa juga perkara kita perlu bersederhana. Tidak meletakkan kekaguman bukan pada tempatnya. Namun tidaklah pula memandang orang dengan begitu rendah. Kita semua ada kelebihan masing-masing yang sebenarnya adalah amanah yang diberi Tuhan. Dan kelebihan bagi seseorang penceramah pastinya ilmunya dan caranya tersendiri. Tidak perlu jauh, di Malaysia sahaja kesemua pendakwah mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik minat ramai mendengarkan mereka.

Gambar: Tokoh Maal Hijrah 1435/2013M peringkat Antarabangsa, Dr. Zakir Abdul Karim Naik (kiri) bersama tokoh Maal Hijrah 1435/2013M peringkat kebangsaan Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. - Foto Bernama
Dalam dakwah, biar cara kita buat orang semakin mendekati dan menghormati agama. Bukan buat orang membenci dan menjauhi.

Bagi saya, kita perlu belajar. Namun bukan terlalu taksub dan ilmu itu untuk diambil, difikir dan jika baik; untuk diamalkan.

Berbalik kepada isu asal entri ini, iaitu mengenai Doktor Zakir Naik. Soalan sahabat saya tempoh hari saya diamkan seketika. Tapi tidak lama, kerana jawapannya ada semenjak isu yang berkaitan dengannya tersebar-luas.

Dia tanya, apa pandangan saya tentang Doktor Zakir Naik?

“Dia seorang pendakwah yang sangat terbuka dan bijak. Dia mengkaji semua agama. Dan tidak takut jika penganut agama lain bertanya soalan tentang agama islam. Dia ada jawapannya (insya-Allah).” Jawab saya, agak umum dan mungkin sedikit peribadi.

Oh ya, siapa Doktor Zakir Naik?

Seorang yang berkelulusan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Maharashtra.
Seorang ulama India, penulis dan da’i ahli perbandingan agama yang kerap menyampaikan dakwah melalui debat dan ceramah di seluruh dunia.

Sebagai seorang yang membaca serta menguasai banyak kitab pelbagai agama (antaranya Al-Quran, menguasai kitab Weda, Tripitaka, Bhagavad gita, Injil / Bible serta menghafaz Shahih Bukhari Muslim), juga menggunakan duit sendiri untuk menjelajah beberapa negara untuk berdakwah dan berbicara (debat) mengenai agama, dia begitu dikagumi di seluruh dunia. Bahkan dengan izin Allah, dia berjaya menggerakkan hati ribuan penganut Hindu di India dan ada yang menjadi mualaf. Malahan turut disenaraikan sebagai di antara 100 most powerful Indians pada tahun 2010 oleh indianexpress.

HIKMAH

Hikmah daripada apa yang berlaku di Malaysia baru-baru ini cukup besar sebenarnya. Orang akan lebih melihat, akan datang dan terlibat dalam perkara ini. Khususnya dalam mengenali siapa Doktor Zakir Naik dan tentang agama islam. Insya-Allah.

Dalam dunia ni, mungkin ada sesetengah kita yang takut apa kita tidak tahu tapi dengan masa dan kefahaman, insya-Allah ramai akan lebih sedar tentang sesuatu yang sebenarnya mungkin baik untuk kita. Dan itu Tuhan lebih tahu.

Apa pun saya yakin, jika kita jaga agama Allah, Allah akan menjaga kita. Insya-Allah.

Kembali kepada permulaan tadi, dalam mengajak kepada kebaikan, dalam meminati seseorang sekalipun, biarlah sederhana. Buat kerana Tuhan. Moga-moga untuk semua yang kita buat, Allah redha.

Untuk semuanya; alhamdulillah.


*Orang kata, tulis dan katalah dengan ilmu. Saya banyak sangat kurangnya. Jadi saya cuma memperkatakan tentang ini secara keseluruhan sebagai diri saya sendiri melalui pembacaan dan pemerhatian saya. Jika ada tambahan, pandangan sendiri atau pembetulan, sangat dialu-alukan. Terima kasih.









Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top