Showing posts with label baharudin husain. Show all posts
Showing posts with label baharudin husain. Show all posts


Along tengoklah sampai habis, nanti beritahu abah." Ayat abah sewaktu perlawanan badminton masih lagi berbaki. Katanya debaran menonton badminton ini lain macam. Buat jantungnya libang libur. 

Bila hari ayah? - Hari ayah / hari bapa diraikan setiap hari ahad ketiga bulan Jun.

Untuk bola sepak pula, kalau ada perlawanan pasukan Perak, Selangor atau Malaysia atau apa-apa perlawanan besar, itu antara kegemaran untuk kami tonton atau paling tidak, saya akan update ke abah. Mak pula, kami akan suruh dia teka-teka saja siapa menang. 😁

Sehingga kini, saya masih menonton permainan sukan badminton dan bola sepak, seakan menonton sekali dengan abah. Semangat dan minatnya masih wujud walaupun beliau dah tiada.

Jika ke stadium, yang saya masih ingat, dia pernah bawa kami sekeluarga tonton hoki Malaysia vs Singapura - yeah! Malaysia menang waktu itu. Teruja ya, apatah lagi bertembung dengan pemain hoki negara yang dah lepas bertembung baru saya perasan kami ada berselisih sebenarnya!

Itulah kenangan. Tak boleh beli, dan jual pun takkan mampu. Untuk semua yang masih ada tersayang, hargailah sebelum semuanya hilang terbang.

(Ini tentang sukan sahaja, beribu lagi kenangan yang segar dan tersimpan dalam ingatan. Al-Fatihah, Abah. Moga ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.



Setiap hari ulang tahun saya, abah pasti berikan saya dan adik sesuatu. Walau apa bentuk sekalipun. Paling selalu ada; kek. Jadi apabila dizinkan Tuhan, saya mula bekerja, giliran saya pula mahu belikan abah sesuatu (walaupun dia tidak pernah minta apa-apa).

Jadi beberapa hari sebelum hari lahirnya, saya meminta emak meneman serta memilih hadiah untuk abah. Antara cadangan dalam kepala, saya mahu membelinya baju. Dan emak pastinya lebih mengetahui citarasa suaminya. Lantas kami memilih beberapa helai, dan akhirnya kami sepakat memilih baju mengikut warna kegemarannya; iaitu biru.

Malam hari lahirnya (23 Julai), saya pun melihat dia sedang menyiapkan kerjanya, dengan malu-malu saya menghulurkan baju itu pada dia.

“Selamat hari jadi, bah.”
Mukanya penuh rasa tak sangka. Dia ambil. Lantas mengucapkan terima kasih.

“Mesti mahalkan ni, long?”
“Biasa ja bah.” Saya senyum. Diambilnya, lantas dilihat-lihat dengan teliti. Dan setelah itu baju itu menjadi salah satu baju kegemarannya. Kerap dia pakai jika ingin pergi ke mana-mana.


***
Satu hari.

Menurut mak, Abah mahu keluar rumah semula hari tu, ada urusan. Kebiasaannya Abah seorang yang teliti orangnya. Dia tidak akan memakai sesuatu baju terlalu lama dalam tempoh sehari. Namun hari itu abah mahu kekal memakai baju yang sama. Dia kelihatan penat dan tidak berapa sihat (sempat emak mengurutnya sebelum keluar rumah), namun dia tetap bersungguh untuk keluar dan menyiapkan semua tugasannya.

Dan pada hari itu juga, abah menghembuskan nafas terakhir di hospital. Pada mulanya dia pengsan ketika berurusan di bank (urusan itu belum sempat pun selesai) sebelum dihantar ke sana. Sejuk katanya walaupun dirinya berpeluh (seperti diceritakan oleh beberapa kakitangan). Dia pergi ke sana dengan memakai baju biru itu. Baju kegemarannya. Juga baju pemberian anaknya. Baju yang akhirnya terpaksa dipotong doktor untuk diperiksa jantungnya. Sudahnya tiada lagu baju biru itu untuk kami sebagai kenangan buat ditatap peluk.

***
Kini, walaupun abah telah pergi, namun abah sentiasa hidup dalam hati along, hati mak dan hati adik. Hati kami semua. Semoga terus dirahmati dan dosa abah diampuni.
“Kita ini adalah seorang pengembara yang sedang berjalan dan akan sampai ke penghujungnya.” – Baharudin Husain; dalam kenangan. 

Terima kasih untuk semuanya, abah. Moga terus dirahmati Tuhan.


2011, 2012, 2013 - dan bermula dari 1987 skripnya masih sama, buat Ayahanda tercinta.


Dewasa sudah jejaka hitam manis ini. Tahun yang penuh perubahan dilalui. Dari bandar ke kampung halaman sendiri. Anem selaku anak yang belajar dulu dalam bidang seni, dengan ilmu yang seikat dan rasa rendah diri , menulis nukilan secebis puisi .


Buat Abah : 23 Julai

Sesekali diam kerut wajah itu.
Dilihat mengharap sesuatu
Dalam usia baru, dia terus laju,
Mencari membanting buat yang di kasih rindu

Dia dilihat memewah anak nombor satu,
Dia dilihat memanja si bongsu ,
Dia dilihat suami yang jitu,
Membahagia- memberi erti selalu

Buat abah yang along hormati
Semoga bahagia duniawi ukhrawi
Terima kasih kerana sentiasa memahami
Bila waktu kami perlu dan tercari-cari

Selamat bergenap umur diri
Semoga panjang umur abah lagi
Diharap along dapat lebih beri erti nanti
Tak harap banyak, mahu jadi anak yang terus mengharumi

Abah - Tabahlah berjuang ! Kami ada, dan akan terus sayang !

I Love You, Abah = My dad and ayah !:)

UPDATE : 
Masa tulis puisi ni dahulu, dia masih sihat seperti biasa. 
Namun suatu hari, tiba-tiba dia pergi kembali kepada Pemiliknya.
Mohon semua, sedekahkan al-fatihah untuk beliau,
di dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Hanya Tuhan mampu membalas segala jasa baik kalian.



--







Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top