Showing posts with label diuji tuhan. Show all posts
Showing posts with label diuji tuhan. Show all posts

Diuji bertubi-tubi setelah berdoa untuk dipermudahkan urusan, adakah tanda salah berdoa? 



[Photo by Renato]


Baru-baru ini saya terbaca tulisan di Thread tentang keadaan saudara kita yang diuji bertubi-tubi setelah berdoa kepada Allah.


Kemudian diberi komentar oleh saudara yang lain dengan “mungkin salah berdoa, bahasa tak betul”. 


Jadi isu ada 2 di sini. 


Sama-sama kita bincang insya Allah. 


1- Pertama, isu ujian setelah berdoa. Perlu kita fahami dahulu bahawa dunia memang tempat ujian. Silap jika kita menganggap kita akan aman tanpa ujian. 


Al-Quran menyatakan beberapa dalil terhadap perkara ini: 


ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ


“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya” [al-Mulk: 2]


وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah: 155]


أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” [al-Ankabut: 2] 


Semua dalil ini menunjukkan kepada ujian sememangnya sinonim dengan kehidupan kita di dunia. 


2- Ujian itu antara tanda Allah kasih kepada hambaNya, maka jangan kita bersangka buruk kepada Allah bahawa diuji itu tanda Allah ingin menyukarkan kita semata-mata. Tidak begitu. Nabi ‎ﷺ bersabda: 


إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ


“Jika Allah menyukai suatu kaum, nescaya Allah akan menguji mereka” [HR Tirmizi]


3- Justeru, ujian bukan bererti keburukan secara mutlak. Bahkan sebenarnya kebaikan boleh hadir setelah itu. Hanya sahaja, kita perlu sentiasa kuat untuk bersabar, berusaha untuk bersangka baik terhadap ujian tersebut. Hikmahnya bakal terpancar jua. 


Allah berfirman: 


فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا ٥ إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرٗا ٦


“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” [al-Sharh: 5 - 6]


Jika kita perhatikan, kalimah kesukaran (العسر) itu dalam bentuk kata nama khas iaitu Ism Ma’rifah. Kalimah kemudahan (يسر) pula dalam bentuk kata nama am iaitu Ism Nakirah. 


Kata nama khas biasanya membawa erti sedikit, sebab semakin khusus, semakin sikit. Jika am, maka ertinya banyak. 


Sebagai contoh, hospital. Kalimah umum, banyak. Boleh jadi hospital mana-mana pun di dunia ini. 


Adapun, kalau kita khususkan, terus jadi sedikit. Contohnya, Hospital Kuala Lumpur. Ada satu sahaja. 


Ertinya, kata nama khas membawa kepada erti sedikit, kata nama am pula membawa erti banyak. Ini kaedah secara umum. 


Maka, kesukaran yang ada itu sedikit, kemudahan yang Allah sediakan itu lebih banyak. 


Saya ada huraikan lagi tentang ayat ini dengan lebih panjang dalam buku saya, jemput baca di gambar di bawah. 


4- Apabila kita berdoa, lalu diuji oleh Allah, maka ini mungkin tanda bahawa Allah ingin menjawab doa kita dengan cara memberikan ujian. 


Kerana doa tidak semestinya dijawab dengan 100% cara yang kita kehendaki. Tetapi dijawab dengan cara yang paling baik buat kita. Allah Maha Mengetahui, sementara kita pula serba tidak tahu. 


Nabi ‎ﷺ bersabda: 


‎مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا


‏Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya Kekurangan.” [HR Ahmad]


Maka, jika kita diuji setelah meminta dari Allah, mungkin itulah cara Allah menjawab doa kita. 


“kalau macam tu taknak lah berdoa, takut diuji” 


Berbalik semua kepada konsep ujian pada noktah 1 di atas. Kita tidak akan mampu lari dari ujian. Bahkan mungkin kita tidak tersedar bahawa kenikmatan juga boleh jadi ujian buat kita tanpa kita sedari. 


Jangan disangka bahawa ujian itu kesusahan sahaja, tetapi juga kesenangan. Al-Quran menyatakan sedemikian juga.


5- Berkenaan isu kedua pula iaitu “mungkin salah berdoa, bahasa tak betul”, ini perlu diluruskan. Kerana tiada istilah salah bahasa dalam berdoa. Gunalah bahasa apa sahaja, asalkan doa itu doa yang baik, insya Allah, akan dikabulkan oleh Allah. 


Kurang tepat kita katakan “jangan berdoa murahkan rezeki, tetapi doa dengan lapangkan rezeki”. Tidak ada larangan untuk menggunakan kalimah apa sekali pun, selagi membawa makna yang baik, silakan.

Jika kita ingin melarang, maka perlu dibawakan dalil dan kalam ulama’. Setakat yang kita temui, yang melarang dengan alasan unsur positif begini adalah dari ajaran New Age Movement yang telah disebutkan sebagai menyimpang dari ajaran agama Islam. 


Maka, teruskan berdoa dengan doa yang baik, tidak kisahlah kalimah mana jua. Insya Allah akan dikabulkan oleh Allah dengan cara yang terbaik dari Allah.


6- Sahabat-sahabat yang ingin mengeluarkan pandangan terhadap isu-isu, sama-sama kita menahan diri dan berwaspada jika kita tidak mempunyai sandaran dari sumber agama dan kefahaman ulama’ muktabar. 


Moga bermanfaat. 

Wallahu a’lam. 


#FawaidJawab




Gambar : al uyeah

Rasa terpinggir kadangkala akrab dengan manusia. Sama ada kita yang tersisih atau kita tak sengaja menyisih. Dalam sesebuah komuniti, dalam persahabatan , kekeluargaan , pekerjaan mahupun kehidupan memang satu saat kita akan rasa tidak bertakdir untuk rapat atau lama dengan seseorang atau sesuatu.

" Tuhan sedang lindungi kita. Dia maha tahu atas segala." Pujukan perlahan gadis cantik itu mendiami hati. Dengan wajah polos , dan tutur bicara tersusun berjaya buat selesa. 

Tenang. Elakkan diri untuk terlalu bersoal dan bertanda-tanya. Tuhan takdirkan bertemu pun sudah cukup baik. Bersyukur. Sekurang-kurangnya kita berpeluang untuk kenal dan belajar. Bersangka baik dengan Tuhan adalah kewajipan kita. Mesti ada hikmah yang baik. Jadi terus lalui sahaja hidup dengan apa kita sedang ada, sebab itu lebih utama untuk kita jaga. 

Jadi, jangan sedih sangat bila tidak berpeluang dapat apa yang sangat kita berharap hajat. Kerana Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kalau ada jodoh rapat semula, itu rezeki namanya. Hargailah iya. Sementara itu , berdoalah yang baik-baik , sesungguh-sungguhnya. Moga Allah permudah , insyaAllah.


Mungkin ini juga masanya , kita kena muhasabah dan memperbaiki diri .

" Kadangkala hidup memang begitu " - *gadis cantik  , 2014.

*Terima kasih .


Semua orang akan diuji tuhan, semua orang akan merasai kehilangan. Kesakitan kehilangan orang tersayang. Yang selalu disisi, dihati dan menemani jiwa hari hari. Namun bila sampainya hari tuhan ambil dia semula. Kita akan rasa satu dentuman halilintar yang memecah gunung ganang. Sakit . 

Namun sebenarnya kenangan dengan mereka itu lah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita nan indah dulu. 

Rasullullah saw juga di uji .Pernah kehilangan orang tersayang, dua orang dalam tempoh berdekatan . Namun dia redha dan mengetahui betapa besar nilai ganjaran mereka bersabar & betapa sayang ALLAH kepada beliau.

Kalau rindu sangat, apa kita kena buat ? Paling penting kita kena sedar , yang dia pergi menghadap tuhan DIA, tuhan kita juga. yang kita juga akan temui nanti . Lepas tu, kita kena sibuk-sibukkan diri , pastinya dia tak mahu kita bersedih dan menyalahkan takdir kan ? Jadi kita kena kuat . Jangan terlalu bersedih, kasihanilah roh dia, kesihatan kita juga penting untuk orang lain yang sayang kita di atas muka bumi ni, tau .


Apa pula kita buat bila kehilangan orang tersayang ?

Pertama :

Paling utama ialah kita perlu ingat dan percaya bahawa kematian adalah pasti untuk setiap insan. Sama ada cepat atau lambat, kematian pasti datang. Bila? Di mana? Bagaimana cara atau apa sebabnya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Fa innal mautal lazi tafirruna minhu fainnahu mulaqikum (Maka sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti datang menemui mu).

"kullu nafsin zaaiqatul maut.." setiap jiwa akan merasai mati..

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”



Kedua:

Kita boleh menangis kerana kehilangan tetapi jangan sampai kita tidak merelakan pemergiannya. Tidak merelakan bererti kita melawan takdir Ilahi, nauzubillah.

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” 

Ketiga:

Jangan fikirkan kesusahan yang bakal kita tempuhi di dalam hidup kerana kehilangannya sebaliknya fikirkan bagaimanakah caranya untuk kita meneruskan kehidupan setelah pemergiannya. Ingat! Allah dah janjikan rezeki yang tersendiri untuk setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Kita hanya perlu berusaha, ikhtiar dan tawakkal, insyaAllah ada rezeki yang datang kepada kita.

Keempat:

Tunaikan hasrat si mati. Jika kita mempunyai impian bersama untuk sesuatu, jangan jadikan kematian pasangan kita sebagai alasan untuk kita menguburkan impian tersebut. Sebaliknya kita perlu tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk menunaikan impian dan hasrat aruah. InsyaAllah, rohnya akan turut gembira bila impiannya ditunaikan oleh kita.

Kelima:

Jangan kecewakan roh si mati.
Yang penting, kehidupan selepas kematian itu ada, bermula di alam kubur seterusnya di akhirat setelah berlakunya kiamat. Tiada jaminan selamat daripada siksaan kubur melainkan si mati membawa bersamanya amal soleh.
“Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kamu tangisi boleh berbicara, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kamu sekelian, niscaya kamu akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kamu sendiri”. (Imam Ghozali mengutip atsar Al-Hasan).
---

Akhir sekali, cakap memang mudah, nak buat sangatlah payah. tapi tak gerak , tak buat, macamana semua benda nak jadi lebih baik kan ? Jadi pandanglah kedepan dengan 1001 perasaan yang penuh keredhaan .Yang pergi sudah pun pergi . Kita yang hidup ni, tak tahu bila pula nanti .

                                 Penyembuhan dan pemergian
                                 Tips ubati rasa kecewa dan tekanan

NOTA TAMBAHAN:
Tips hadapi pemergian tersayang ( Muhammad Luqman Makhtar = Solusi 80)

- Yakin ada yang terbaik menanti
- Bandingkan musibah orang lain yang lebih dahsyat (Orang lain juga diduga, malah ada yang lagi diduga dahsyat daripada kita.)
- Jadi insan yang membanggakan (Sibukkan diri, yakinlah kita bukan keseorangan)
- Istighfar apabila terkenang (kenang dan perasaan sedih tak dapat dihalang. Jadi mohonkanlah ampun untuknya). Kerana ingatan kita pada mereka tidak bermusim dan tidak bertempat.
- Jaga baik-baik orang disayanginya (sayang diri kita lebih daripada dia sayang kita). Jika perlu rehat dan bercuti, buatlah.

JANGAN!
-Memendam kesedihan (Menangislah namun hati perlu redha).
-Meratap (perlu belajar menerima).
-Memadam kenangan (Manfaatkanlah kenangan untuk kebaikan).
-Melemahkan orang lain (Jangan sebab kita orang lain juga bersedih. Sama-sama sedih tak apa, namun perlu bangkit).
-Menyalahkan diri (Jangan sesekali tertipu dengan mainan perasaan).
**

BOLEH BACA JUGA : UJIAN INI CUMA SEBENTAR

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Doa untuk jenazah lelaki.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihii wa'fu'anhu."
"Ya Allah, ampunilah dia, dan kasihanilah dia (rahmati) dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia". Amin Allahumma amin.

Doa untuk jenazah perempuan:

“Allahummaghfirlaha warhamha wa ‘afiha wa’fuanha.”
Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memberikan keselamatan (sejahtera) dan memaafkan kesalahannya. Amin Allahumma amin.


BACAAN PENUH:
DOA UNTUK ORANG YANG MENINGGAL DUNIA:




REDHA , REDHA, REDHA.
Semoga kuat , sahabat !


p/s:  Ujian ini adalah tanda ALLAH sayang kita, meningkatkan iman kita dan menghapuskan dosa -dosa kita . Insyaallah, kita boleh. Semoga kita semua kuat menghadapi hari hari muka :).

Juga boleh rujuk : amalan untuk si mati / cara bantu orang yang sudah meninggal dunia (mati)


Artikel ini di tulis pada 2012, namun insan yang dalam gambar utama di atas , Baharudin bin Husain telah kembali ke rahmatullah pada 21 februari 2014 yang lalu. Al-Fatihah.










Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top