Showing posts with label ustaz fahmi rusli. Show all posts
Showing posts with label ustaz fahmi rusli. Show all posts

Kalau kita nampak apa sahaja kebahagiaan yang seseorang kongsikan di media sosial, ada baiknya kita budayakan dua sifat terpuji berikut:





Pertama : Bergembira dengan kegembiraan dirinya.


Kedua : Mendoakan kebaikan buatnya.


Contohnya, saat melihat seseorang kongsikan kebahagiaan mendapatkan sesuatu yang baharu seperti kereta, rumah, dll di media sosial, kita doakan :


“Ya Allah, berkatilah rezekinya”.


Melihat kegembiraan yang dizahirkan oleh pasangan suami isteri, kita doakan :


“Ya Allah, jaga dan peliharalah kedua pasangan ini”.


Antara faedah yang terhasil daripada sifat terpuji ini :


Pertama : Membuang dan menghilang perasaan hasad dalam diri kita. Nikmat tersebut hakikatnya merupakan ketetapan dan kurniaan Allah SWT buat dirinya.


Kedua : Kebahagiaan tersebut mudah-mudahan turut kita dapatkan. Mendoakan kebaikan seseorang tanpa pengetahuannya, menghasilkan kebaikan yang sama buat diri kita.

 

Rasulullah SAW bersabda :


‎مَن دَعَا لأَخِيهِ بظَهْرِ الغَيْبِ، قالَ المَلَكُ المُوَكَّلُ بهِ: آمِينَ، وَلَكَ بمِثْلٍ


Terjemahan : Sesiapa yang mendoakan kebaikan buat saudara muslimnya tanpa pengetahuan dirinya, malaikat yang diwakilkan membawanya akan berkata : “Āmīn, untuk kamu juga sama seperti yang kamu doakan”.


Riwayat Muslim (2732)


Buat mereka yang suka kongsikan kenikmatan dan kebahagiaan di media sosial pula, dua sifat tersebut hakikatnya berada di luar kawalan kita kerana ia anjuran kepada orang yang melihat. Adapun kita, jika kita khuatir perkongsian tersebut lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, maka yang berada di dalam kawalan kita adalah mengelakkan perkongsian kenikmatan dan kebahagiaan. Dalam sebuah riwayat ada menyebutkan :


‎فإنَّ كلَّ ذي نعمةٍ محسُود


Terjemahan : Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu adalah orang yang didengki. 


✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli



KELEBIHAN BESAR 10 HARI AWAL ZULHIJJAH



Rasulullah SAW memberikan gambaran tentang keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah. Disebutkan dalam sebuah hadis:



مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ. قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ



Rasulullah bersabda: “Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik berbanding amalan pada 10 hari ini (10 hari awal Zulhijjah).”



Para sahabat bertanya: “Jihad juga tidak?”


Jawab Baginda: “Jihad juga tidak, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya lalu dia syahid dan tidak kembali lagi.”


(Sahih al-Bukhari, no. 969)


*****


Antara amalan-amalan yang boleh dibuat di bulan Zulhijjah



Apa kelebihan bulan Zulhijjah?

1- Bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan daripada 4 bulan haram. Iaitu Muharram, Rajab, Zul Qa’dah, Zulhijjah.

Bulan haram maksudnya bulan yang amat mulia.

‎2- Selain itu, 10 hari terawal bulan Zulhijjah mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ia merupakan seafdal-afdal hari dalam dunia.

‎Kata Nabi S.A.W :

ِ‎أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أيامُ العَشر

‎Seafdal afdal hari dalam dunia adalah 10 hari terawal Zulhijjah.

Riwayat Al Munziri, Al Targhib wal Tarhib (2/190).

‎3- Allah S.W.T sendiri bersumpah dengan 10 hari terawal bulan Zulhijjah berdasarkan firman-Nya :

‎وَالْفَجْرِ وَليَالٍ عَشر

‎Maksudnya : Demi fajar, dan demi malam yang sepuluh.

‎Kata Ibnu Abbas dan ‘A’isyah : Malam yang sepuluh merujuk kepada 10 hari terawal Zulhijjah.

Para ulama kata : Allah yang Maha Agung, sama sekali tidak akan bersumpah melainkan dengan suatu yang agung juga.

Ini menggambarkan besarnya kemuliaan 10 hari terawal Zulhijjah di sisi Allah.

4- Amalan yang paling Allah sukai, adalah amalan yang dilakukan dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda : 

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ ‏.‏ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْر

Maksudnya : Tidak ada mana-mana hari yang amalan soleh di dalamnya lebih Allah sukai berbanding amalan pada hari-hari ini. (iaitu pada 10 hari terawal Zulhijjah).

Riwayat Abu Daud (2438).

5- Justeru kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam 10 hari terawal ini.

6- Antara amalan yang dianjurkan ialah berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Rasulullah S.A.W bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya : Berpuasa hari Arafah aku berharap agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Riwayat Muslim (1162)

‎7- Selain itu, dituntut perbanyakkan doa pada hari Arafah. Berdasarkan hadis : 

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ 

Maksudnya : Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.

Riwayat Al-Tirmizi (3585).

‎8- Banyakkan juga Zikrullah seperti firman Allah : 

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ

‎Maksudnya : Dan hendaklah mereka menyebut-nyebut nama Allah pada hari-hari ma’lumāt (10 hari terawal bulan Zulhijjah).

Surah Al-Hajj (28).

9- Pada Hari Raya korban, sembelihan korban hukumnya sunat muakkad untuk kita lakukan. Diikuti dengan sembelihan pada tiga hari tasyriq sesudahnya iaitu 11, 12, 13 Zulhijjah.

‎10- Pada hari tasyriq pula, kita dituntut perbanyakkan zikrullah berdasarkan firman Allah :

 وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ

Maksudnya : Dan sebutlah nama Allah pada hari-hari ma’dūdāt (iaitu hari-hari tasyriq).

Surah Al Baqarah (203).

‎Maka perbanyakkanlah zikir seperti :

‏الله أكبر الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله الله أكبر الله أكبر 
ولله الحمد

Semoga bermanfaat.

Kredit: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


****

https://t.me/MyHadithTime/2658?single

Rebut peluang beramal soleh pada 10 hari awal bulan Zulhijjah. Sangat besar ganjarannya.


Semoga Allah menerima amalan kita.



https://t.me/MyHadithTime




Saya (Ustaz Fahmi Rusli) memulakan tanda pagar (hashtag) #MasyarakatPerluTahu bagi membetulkan beberapa salah faham dalam isu agama yang masih bertebaran. 






 1- #MasyarakatPerluTahu bahawa seorang suami tidak menanggung dosa isteri. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung dosa anak gadisnya.

2- #MasyarakatPerluTahu bahawa doa yang mustajab itu ada pada setiap sujud solat. Ia tidak terkhusus kepada sujud terakhir sahaja.

Rakan-rakan juga boleh tambah menggunakan tanda pagar yang sama. Jika saya setuju dan rasakan sesuai, saya akan masukkan dalam senarai bebenang ini.

3- #MasyarakatPerluTahu bahawa bacaan Al-Fatihah di dalam solat perlu dibaca dengan suara yang didengari oleh telinga sendiri. Bukan baca Al-Fatihah dalam hati.

4- #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan silaturrahim merujuk kepada hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat sahaja. Kawan-kawan atau jiran tetangga tidak termasuk dalam rahim.

5- #MasyarakatPerluTahu bahawa bukan menjadi satu syarat untuk jawapan istikharah yang kita lakukan itu, diperoleh menerusi mimpi. Bahkan, selama kita dilapangkan dada dan dipermudahkan untuk membuat sesuatu urusan dan keputusan, itulah petunjuk dari istikharah yang dilakukan.

6- #MasyarakatPerluTahu bahawa menjulurkan / menghadapkan kaki ke arah kiblat itu bukanlah suatu yang dilarang di sisi syarak. Ia tidaklah haram dan tidak pula makruh. Bahkan hukumnya adalah harus.

7- #MasyarakatPerluTahu bahawa amalan sunat adalah amalan yang dituntut untuk dibuat. Bukan dijadikan alasan : “Alah, tak buat pun tak apa, kan sunat sahaja”. Sedangkan tuntutan syarak itu hukumnya dua, iaitu wajib dan sunat. Terima kasih sahabat saya Ustaz

8- #MasyarakatPerluTahu bahawa TIADA DALIL yang jelas bahawa digalakkan hubungan seks antara suami isteri pada malam Jumaat. Yang ajaibnya, gol. LGBT pun saban minggu nak dapat ‘fadilat’ malam jumaat. Bahkan Imam Al-Nawawi kata, pendapat tersebut adalah lemah atau batil.

9- #MasyarakatPerluTahu bahawa sebutan yang betul adalah “bukan mahram”. Manakala sebutan “bukan muhrim” dalam konteks tersebut, tidak betul.

Mahram - orang yang haram kita berkahwin dengannya. Bukan mahram - halal berkahwin dengannya.

Muhrim - Orang yang sedang berihram.

10- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak ada iktikad atau kepercayaan berkenaan KARMA di dalam agama Islam.

11- #MasyarakatPerluTahu bahawa maksud fitnah dalam ayat : Dan fitnah lebih besar dari membunuh, adalah : Syirik.

Iaitu dosa syirik lebih besar berbanding dosa membunuh.

Ia bukan fitnah yang difahami masyarakat iaitu : Mengatakan sesuatu kepada seseorang, apa yang dia tak buat.

12- #MasyarakatPerluTahu bahawa Al-Quran fungsinya sebagai panduan hidup. Ia bukan diturunkan sebagai “spells” yang apabila dibaca surah tertentu, jadi kaya. Baca ayat tertentu, jadi cantik & kacak.

Boleh rujuk Al-Baqarah ayat (2), & (185) untuk faham sebab Al-Quran diturunkan.

13- #MasyarakatPerluTahu bahawa ‘Ayat 1000 Dinar’ bukan bermaksud apabila dibaca, digantung di rumah @ kedai, maka seseorang itu jadi kaya. Tidak sama sekali. Intipati ayat itu suruh supaya kita bertakwa. Apabila kita bertakwa, rezeki akan datang dari jalan yang tak disangka.

14- #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan rezeki itu tidak terhad kepada harta benda @ material semata. Sebaliknya, kesihatan yang baik, makanan yang halal, masa yang terisi dengan manfaat, zuriat yang baik, harta yang berkat, semua ini termasuk dalam rezeki

15- #MasyarakatPerluTahu bahawa BOLEH membaca Al-Quran meski aurat terdedah. BOLEH baca Al Quran dalam keadaan berbaring. BOLEH baca Al Quran tanpa menghadap kiblat. BOLEH baca Al Quran tanpa wuduk sekiranya membacanya tanpa memegang mushaf.

16- #MasyarakatPerluTahu bahawa TIDAK TERDAPAT sebarang riwayat yang sahih berkenaan larangan bercakap semasa makan. Ia dibolehkan sebenarnya. Bahkan sebahagian ulama mengatakan hukum bercakap ketika makan adalah mustahab (sunat) khususnya untuk memuliakan para tetamu.

17- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak disyaratkan solat sunat taubat untuk menjadikan taubat seseorang itu diterima. Selama seseorang itu menyesal, berhenti melakukan dosa, dan tidak mengulanginya kembali, maka dia telah menepati ciri-ciri taubat nasuha (التوبة النصوح)

18- #MasyarakatPerluTahu bahawa maksud anak yatim adalah : Anak yang KEMATIAN BAPA dan dia belum mencapai usia BALIGH. Kalau umur dah 20 30 tahun, kemudian ayah meninggal dunia, maka ini sudah tidak dinamakan sebagai anak yatim. 

19- #MasyarakatPerluTahu bahawa Allah S.W.T apabila mengkehendaki sesuatu, Dia tidak menyebut “Kun Fayakūn” akan tetapi yang Allah sebut adalah “Kun” sahaja. Kun bermaksud : “Jadilah”.

20- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak ada dalil spesifik yang menyatakan bahawa sedekah subuh memiliki kelebihan khusus berbanding sedekah pada waktu-waktu yang lain.

21- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak terdapat sebarang dalil daripada Al-Quran atau hadis-hadis sahih yang menyebutkan Nabi Yusuf A.S berkahwin dengan Zulaikha.

22- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak terdapat sebarang hadis yang sahih berkenaan doa semasa melihat cermin. Hadis doa Nabi SAW : اللهم أحسنت خلقي فأحسن خلقي Ini adalah hadis sahih, tanpa diikat dengan membacanya ketika melihat cermin.

23.

Ramai tak yang perasan ? Biasanya apabila dibaca ayat Al-Kursi semasa zikir sesudah solat, bacaannya dimula dengan :

وإلهكم إله واحد لا إله إلا هو الرحمن الرحيم

Kemudian baru diikuti dengan bacaan الله لا إله إلا هو الحي القيوم seolah dua ayat ini berturutan.

Sedangkan tidak. 

Ayat pertama itu merupakan ayat 163 surah Al-Baqarah. Manakala ayat Al-Kursi merujuk kepada ayat ke- 255 surah Al-Baqarah sahaja. Justeru, apabila kita dianjurkan membaca ayat Al Kursi selepas solat dan sebelum tidur, maka yang dimaksudkan ialah bacaan ayat ke- 255 tersebut. 

24.

Biasa tak dengar bacaan istighfar dengan lenggok nasyid, iaitu :

أستغفر الله العظيم ، الذي لا إله إلا

Kemudian berhenti seketika. Seterusnya baru disambung dengan sebutan :

هو الحي القيوم وأتوب إليه

Waqf / berhenti pada إلا, menyebabkan lari maknanya. Lihat terjemahan ini 👇🏻

Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang mana Tidak ada Tuhan melainkan.

Kemudian pembacanya berhenti. Kan lari makna tu.

Setelah itu baru sambung dengan terjemahan : Dia lah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus Tadbir dan aku bertaubat kepada-Nya.

Maka sebutan zikir jika nak waqf / berhenti pada kalimah yang tepat ialah :

أستغفر الله العظيم ، الذي لا إله إلا هو

Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang mana tidak ada Tuhan melainkan Dia.

Kemudian baru sambung : الحي القيوم وأتوب إليه | Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus Tadbir, dan aku bertaubat kepada-Nya.

Semoga bermanfaat

-----













Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top