Showing posts with label konsisten. Show all posts
Showing posts with label konsisten. Show all posts



Semua kita boleh berubah dan berhijrah. Tapi nak kekal dengan perubahan tersebut (istiqamah atau konsisten) itu yang sukar. Namun dengan usaha dan doa-doa, insya-Allah kita boleh melaluinya. Tiada apa yang mustahil dengan kehendak Allah. Cuma perlu masa sedikit. Di sini saya kongsikan analogi saya sendiri berkaitan istiqamah.

------ Situasinya begini;

Suatu hari kita mahu berpindah ke tempat yang kita rasa lebih baik, kita pun bertukar dari bas lama ke bas baru.

Masuk-masuk saja, orang dalam bas pandang kita semacam; sebab tak pernah nampak. Ada yang tahu kita dari kawasan mana, dia berbisik-bisik sambil melihat-lihat kita. Ada juga yang baik sudi menghulurkan senyum tapi kita pula yang berasa malu hendak menegur. Dan sebahagian yang lain buat hal sendiri sahaja.

Tak kisahlah apa pun. Kita pun duduk; kembali buat kerja kita, sementara tiba di destinasi. Adalah beberapa dugaan, bas kena tukar tayar. Jalan tak rata. Terpaksa brek mengejut. Hujan lebat; perlu perlahankan kenderaan. Kita bertahan saja dengan doa-doa, sebab kita dalam bas dengan sebahagian manusia yang kita percaya.

Tapi sebahagian manusia lain dalam bas itu masih tidak reti diam, tidak jemu untuk terus kacau emosi kita melalui pandangan dan kata-kata.

Sampai satu keadaan, kita jadi terlalu emosi. Jika kita tidak mampu terus bertahan dalam bas tersebut, terpaksalah suruh bas itu berhenti dan turunkan kita di mana-mana; kemudian kenalah jalan kaki ke destinasi. Mungkin perlu ihsan orang yang entah siapa-siapa untuk menumpang atau silap cara, terpaksa patah balik ke belakang sebab tak larat nak terus berjalan. Mungkin ada bas yang tidak tiba pada hari itu, tapi perlu dimulakan semula. Demikianlah sebuah perjalanan.

Tapi kalau kita cuba bertahan sikit lagi; usahakan cara terbaik untuk diri kita, insyaAllah pasti tiba juga ke depan. 

Itulah ibaratnya istiqamah ni. Jarak destinasi kita dekat; cuma dugaan tu buat kita rasa jauh dan berat. InsyaAllah akhirnya 'bas' kita itu akan sampai juga. Apa-apa usaha dan sabar dulu ya? Terus!



Nabi s.a.w. bersabda:
"Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 SEMOGA BERJAYA, INSYA-ALLAH! :)



 Sumber gambar : pinterest & animatedimages




Kita masuk syurga sebab Allah suka, Allah redha. Jadi lakukan apa yang disukai-Nya. Antaranya yang dikongsikan melalui Ezy Dakwah adalah seperti berikut.

- Amal sedikit yang konsisten
Nabi berpesan : “ Luaskan dan rapat-rapatkan saf. Ketahuilah tiada seorang pun yang akan berjaya masuk syurga disebabkan amalannya! Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah yang konsisten walaupun sedikit. ( Riwayat al-Bukhari)
Kita tak masuk syurga dengan amal, melainkan dengan rahmat Allah. Mungkin kita derma beberapa sen setiap kali ke surau, atau telefon ibu ayah kita selalu sangat disukai Allah. Atau mungkin sentiasa merapatkan saf ketika solat berjemaah sebagaimana anjuran Nabi dalam hadis tersebut.

- Amalan Fardu
Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi. “Tiada amalan yang hamba-Ku lakukan untuk mendekati-Ku, yang lebih aku suka daripada amalan yang telah Aku fardukan ke atasnya.” ( Riwayat al-Bukhari)
Maka janganlah kita giat melakukan kebaikan demi mengharapkan Allah reda tetapi amalan fardu terabai.

- Solat Tepat Masa
Sudah tentu amalan fardu, paling utama ialah solat fardu lima waktu. Maka laksanakannya dengan terbaik. Dan sudah tentu caranya dengan solat berjemaah pada awal waktu.
Nabi pernah ditanya: ‘Apakah amalan yang paling disukai Allah.”
“Solat tepat masanya.”
“Kemudian?”
“Berbuat baik kepada ibu bapa.”
(Riwayat al-Bukhari)
- Berbuat baik kepada ibu bapa
Untuk berjaya di dunia dan di akhirat, hubungan dengan Allah dan sesama manusia mesti seiring. Tidak ke mana-mana juga jika kita sibuk beribadah tetapi tanggungjawab sosial diabaikan. Sudah tentu insan paling utama untuk diberi khidmat ibu bapa.

Paling penting mencintai Allah, maknanya kita melakukan sesuatu amalan dalam keadaan penuh penghayatan, bukan sekadar rutin harian yang tidak terasa kesan di jiwa lagi.

Seorang sahabat bertanya;
“Bilakah kiamat?”

Baginda bertanya kepadanya;
“Apakah yang kamu persiapkan untuknya?”

‘Wahai Rasulullah , aku tidaklah persiapkan banyak puasa, solat mahupun sedekah. Tetapi aku mencintai Allah dan rasulNya.”

“Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” ( Riwayat al-Bukhari)


Jadi jom buat apa yang Allah suka, selagi Dia izinkan kita hidup di dunia. Moga istiqamah!








Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top