Showing posts with label catatan. Show all posts
Showing posts with label catatan. Show all posts

 


Saya selalu rasa banyak benda mustahil dalam hidup untuk saya gapai. Dengan situasi semasa dan kemampuan diri, apalah sangat yang saya mampu capai. Jadi saya selalu melihat impian saya melalui kaca mata orang lain. Saya rasa seronok. Tumpang gembira. Melihat tempat yang cantik, kejayaan serta kebahagiaan orang lain.

Moga rasa seronok saya untuk orang lain ini menjadi ladang pahala dan doa yang tak disangka-sangka (dengan harapan, insya-Allah).

Siapa sangka, persetujuan Nadzrah dan Kakaknya; Eira untuk menerima jemputan perkahwinan kawan kami (Khairani), buat impian saya menjadi nyata. Dapatlah kami berjalan dari Perak - Negeri Sembilan - Melaka dan seterusnya sampailah ke Johor. Kira hadiah birthday besar dah ini. Terus terimbas kenangan sewaktu Arwah Abah bawa kami sekeluarga berjalan (bersama Mak, adik & saya) satu semenanjung dahulu. Rindu.


Selamat pengantin baru, Khai & Atsa

Berkesempatan jumpa sahabat online lebih 10 tahun Ann & Yiyin

Disertakan saya sertakan antara gambar-gambar menarik kami bermusafir. Masya-Allah Alhamdulillah.


Kami singgah di RnR semasa bergerak pulang

Boleh nampak Puteri Harbour dari atas Suites ini

Tempat pernikahan & persandingan; Bizmilla

Perjalanan di waktu siang 🌞 

Perjalanan waktu malam ✨

Sempat kami singgah Masjid Sri Sendayan

Terima kasih tak terhingga dari hati saya buat dua manusia kiriman Tuhan ini. Terharu saya dengan segalanya. Sentiasa bersabar dengan karenah dan permintaan saya. Tiada apa mampu saya balas, hanya doa dan ucapan - moga kalian berdua sentiasa dipermudahkan urusan, dimurahkan rezeki, sentiasa bertemu manusia baik dan selalu bertembung dengan traffic light hijau. Ameen 🤲🏻

Anem dengan Eira & Nadzrah

Moga dua beradik ini sentiasa dipeluk rahmat Tuhan. Sayang kalian! Lillahitaala. Jaga diri baik-baik ya, jaga kesihatan selalu ada rezeki, jumpa lagi kita. Insya-Allah.

Fi hifzillah. Fi amanillah.

Jumpa lagi, Johor. 🔵🔴


Di kesempatan ini sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat merpati dua sejoli; Khairani dan Atsa. Terima kasih sebab kahwin - dan jemput! Dapat saya berjalan, dan jumpa kawan-kawan. Alhamdulillah. Moga bahagia hingga ke syurga!!


Doa untuk pengantin baru


Kenangan 19/04/2025 - 21/04/2025.


Jumpa lagi semua, Insya-Allah.

Sekian dulu. Terima kasih sudi membaca.

- Anem Arnamee 



Malini (kucing jantan kami)

2021-2024 Dalam kenangan



Mal ncem ini sakit berbulan dah sebab luka-luka. Jenis suka jalan-jalan keluar rumah. Kuat dia berjuang melawan dan bertahan. Bayangkan hingga akhir hayat, masih ada selera makan. Cuba hargai apa kami beri dan usahakan. Masih teringin nak keluar rumah - walaupun keadaan fizikalnya dah tak larat (makin kurus). 

Kucing kami yang manja berekor pendek omey ini suka temankan saya tidur, suka suasana sejuk, pernah tidur dengan mak dan adik juga. Betul. Sangat manja! Walaupun nampak garang di kalangan kucing luar tau. Hehe. 



Dengar dan faham cakap mak. 

Baik dengan abang Afiznya. 


Dia anak kepada Mek (ibu kucing yang tiba-tiba menghilang; Mek yang faham cakap mak itu ada dengan kami sejak 10 tahun lepas). Kini anaknya Mal pula pergi - selamanya. 

Kegemaran Mal makan ikan mentah dan ayam (mentah dan goreng). Suka juga minum susu dan roti pandan! 

Mal akan excited tiap kali saya pegang gunting di singki, atau emak pegang plastik balik dari mana-mana. Sambut, berdiri, tahu ada something untuk dia. Budak bijak!! 

Alhamdulillah dia pergi keadaannya bersih seperti selalunya dan tenang.

Mal kucing baik dan taat, kami halalkan semuanya. Moga Tuhan juga ampunkan kami untuk kurang lebih ketika bersama Mal. Sayang Mal sangat. Tak ada dah kucing jantan yang suka merajuk dekat rumah ini. Cute betul. Hehe. Apa pun, Mal dah tak rasa sakit lagi dah. Moga Mal tenang di sisi ilahi.



Jangan lupakan kami ya! Kini hanya ada adik angkat Mal - Noya (Naura di rumah ini). Banyak juga dia ikut perangai Mal - tidur dengan kami, suka main, suka menjenguk tingkap dan makan mentah. Banyak Mal ajar dia yang. Lepas rindu sikit (walaupun makin rindu). [Taip ini dengan rasa sebak dan rindu yang menebal - terimbau semua kenangan indah kami]. Alhamdulillah berpeluang kenal Mal. Terima kasih Tuhan, bagi pinjam Mal. 

Yang selalu rindu Mal Mal lini omeyyy anak iaa - Anem 💖🥺

Tulisan ini telah lama ada di Wattpad saya - dalam salah satu bab Catatan Sederhana. Namun sempena hari kelahirannya hari ini, saya menyalin kembali dan meletakkannya di blog saya pula.


Kadangkala orang tak faham pun minat kita. Tapi mereka datang dengan rasa menerima yang berbeza. Dan tentang seorang ini yang Tuhan hantar kepada saya, saya sangat bersyukur.

Dia tidak kelihatan seperti biasanya saya lihat. Bukan. Dia bukan pelik, tapi dia tesendiri; kelihatan begitu jujur apa adanya namun terkawal. Bijak namun tidak berlagak.

Seorang yang sangat meminati bola sepak (dan sukan lain juga) namun amat gemar membaca. Seorang yang berhati lembut namun tegas.

Seorang yang kuat untuk bangkit dan sangat tekad dalam apa sahaja yang dia buat. Seringkali menjadikan kekurangan sebagai kelebihan, membuatkan dia begitu menyerlah.

Dia; kakak yang saya hanya panggil nama sahaja. Kerana terlewat tahu umur namun saya malu mahu mengundur (perlulah mengaku). Tapi bukan jauh sangat, rasanya dia pun tak kisah. Dia jenis cool! - Walaupun nampak garang. Ops. Sorry. Hehehe.

Buat Kakak Siti Nur (nama ini saya letak di wattpad sebelum ini - saya panggil dia Sha dan nama di internet dia Cheryna), terima kasih untuk selalu ada walaupun awak sendiri tidak menyedarinya. Apatah lagi untuk kewujudan luahan di sini. Namun doa sentiasa bersama.

Kakak, moga nanti kita berpeluang lagi berjumpa. Insya-Allah.

Hari ini 13 Oktober - Selamat hari lahir Kekanda saya. Moga terus dipanjangkan usia dalam keberkatan dan dilimpahi rezeki serta kejayaan bersama bonda dan keluarga tersayang. 

*Signifikasi guna gambar ini - sebagai ingatan lokasi awal kita berjumpa.

Untuk bertahun perkenalan kita, moga kita bersahabat berpuluh tahun lagi sehingga ke syurga. Insya-Allah. ♥️




Kalau cakap pasal buli di media sosial, saya paling tak lupa kes dapat DM orang marah-marah. Bayangkan orang terjah dengan kata-kata yang kita pun tak pernah terfikirkan (namun beliau dah minta maaf kemudiannya, sebab katanya cuma salah faham).

Mungkin bagi sesetengah kita mengutuk dan perli orang di internet adalah benda kecil dan normal. Namun sebenarnya ia membawa kepada sesuatu yang lebih teruk. Boleh mengganggu emosi orang selain kita tahu hal menyakiti orang ini boleh membawa kepada dosa. Hanya boleh dimaafkan oleh mangsa berkenaan.

Kita sebagai islam sedar, kifarah itu pasti (orang itu tak tahu sekalipun, Allah tahu). Setiap perkara yang kita buat, baik atau buruk akan ada balasannya. Kalau tak ke kita, balasannya tertimpa pada orang yang kita sayang. Jadi, dengan rasa bertuhan mari kita mulakan tulis baik-baik dan kongsi hal-hal baik dulu sebelum terlalu jauh memberi komen hal tak wajar dan yang tak kita betul tahu.

Berkatalah baik, jika tak boleh diam. 




Dengan adanya media sosial, semakin banyak perkongsian, pendapat dan luahan yang dapat kita baca. Perkembangan semasa begitu cepat tersebar. Terpulang pada kita mahu percaya atau tidak. Mahu terima atau enggan. Kebelakangan ini tiga perkara ini begitu diperkatakan. Jadi saya memilih ruangan ini untuk memperkatakannya sedikit sahaja.

Drama Andainya Takdir di TV3

Saya rasa ramai menontontonnya. Sehingga menjadi bual mulut (percakapan) ramai dan trending di twitter. Adaptasi kisah benar, dan dilakonankan dengan penuh jiwa oleh para pelakonnya, cerita yang mengisahkan lelaki yang mempunyai cemburu melampau dan suka cari sendiri alasan pasangannya curang yang sebenarnya tiada (dinamakan: othello syndrome), dan isteri yang bertahan walaupun begitu teruk dibelasah kerana rasa sayang dan percaya masih ada harapan (dinamakan: stockholm syndrome). Lebih menarik emosi penonton adalah orang di sekitar watak itu. Sikap yang terlalu menyibuk hal orang sehingga tak perasan hal sendiri. Dan budaya menghasut (batu api) dan mengumpat yang mampu menggugat masyarakat sebenarnya. Kisah ini begitu realiti dan asli. Mungkin kerana itu ia berjaya menarik ramai mengikuti perkembangannya.

Antara pelakon dalam cerita ini adalah Syukri Yahaya, Nina Iskandar, Balqis, Sheila Mambo dan ramai lagi.

Klik untuk: Menonton andainya takdir online

- Antara pendapat yang menarik:


Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni. Hadits ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no:3289).

Isu liberal: tudung dan wuduk 

Tiba-tiba sahaja isu tudung dibangkitkan. Hujah tentang aurat dan tudung boleh dibaca di facebook Firdaus Wong Wai Hung & Ulasan saudara Muhammad Yusof.

Wuduk pula memang banyak sangat air membazir, namun sunnah tiga kali untuk meratakan anggota badan yang berkenaan. Isunya kena atau tidak. Ya, sekali sudah bersih cukup, namun lebih menyakinkan dan tiga kali Nabi buat, kita ikut dapat pahala insya-Allah.


Liberal bermaksud menekankan hak peribadi dan kesamarataan peluang. Namun bagi fahaman liberal barat dan sesetengah pejuang liberalisme, ia mungkin berbeza. Malah liberalisme mempunyai aliran-aliran yang pelbagai. Manakala islam Liberal adalah satu fahaman sesat yang berpunca dari sifat tidak yakin diri ,merasa rendah diri (inferiority complex) dan mengagung-agungkan gaya pemikiran Barat oleh segolongan orang Islam. (Rujuk: https://fastnote.wordpress.com).
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(QS. Al-Maaidah (Al-Maidah) [5] : ayat 87).

Kes buli

Kes Zulfarhan dan T. Nhaveen begitu menyentuh emosi kita. Buli, begitu menjadi-jadi kebelakangan ini. Buli bermaksud: mengasari orang lemah dengan tujuan atau maksud menunjukkan kekuatan masing-masing.

Kes Zulfarhan Osman: Pada awal Jun lalu dilaporkan  jenazah penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dipercayai akibat didera (dipercayai dengan seterika), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. (Sumber)

Update Terkini: 
Lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, UPNM, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membunuh pegawai kadet laut universiti itu, Mei lalu. Seorang lagi penuntut UPNM didakwa bersubahat membunuh mangsa, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik universiti itu. Kes ini akan disebut semula pada 14 Ogos 2017. (Sumber)

Kes T. Nhaveen: Nhaveen dilaporkan dipukul oleh sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town. Remaja itu dipukul sehingga menyebabkan dia mengalami mati otak dan pemeriksaan hospital mendapati duburnya turut terkoyak dipercayai akibat kemasukan objek keras. Sewaktu kejadian, beliau bersama rakannya, namun rakannya cedera dan sempat melarikan diri.

Update Terkini:
Empat lelaki termasuk dua daripadanya remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret George Town, hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, T. Nhaveen, 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid. (Sumber)

*****

Moga dipermudahkan buat mereka yang diuji. Dan biar nanti jawapan terungkai. Insya-Allah.

Moga kita semua dipelihara jiwanya dan menjaga hati orang lain juga. Hidup adalah sementara, jadi tuntutlah ilmu baik-baik dan amalkan dengan cara yang Tuhan redha. Insya-Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan.”
- (Al-Maidah ayat 8)



Tidak semua orang diberi memori yang baik untuk mengingat jalan. Namun ada juga yang mahir dalam mencari jalan walaupun tidak pernah pergi ke sesuatu tempat itu. Dan dalam era teknologi sekarang, tiada kesukaran dalam hal arah pandu ini; terutama jika anda seorang yang pelupa atau sukar mahu bertanya. Yang penting tahu ke mana (ada alamat) mahu dituju.

Bantuan orang lain 
"Orang lain" itu selalunya bukan orang lain sangat pun. Sama ada mereka yang selalu mengingat jalan, atau pernah dan tahu arah jalan itu terdiri daripada ibu bapa, suami atau isteri, adik-beradik, kawan kita mahupun seseorang yang boleh membantu kita. Mereka ini diberi kelebihan untuk ingat. Dan sebahagian kita memang pelupa jalan (yang akan menyebabkan kurang mahir), memang sangat memerlukan bantuan mereka, atau mungkin ada juga yang malas mengingat sebab tahu ada orang akan bantu dia.

Google maps
Google maps adalah antara yang popular pada awal-awal penyediaan perkhidmatan peta dan arah dalam internet. Kita bukan saja boleh menganggarkan jarak ke sesuatu tempat namun lebih daripada itu kita juga dapat mengetahui hotel, bank atau pejabat terdekat dengan lokasi tujuan kita. Atau berapa jarak jika mengggunakan kenderaan atau jalan berbeza. Menjadi pilihan pada yang hendak mudah, kerana selalunya siap sedia ada dalam telefon pintar dan memang senang diakses dalam internet. Dan pilihan ramai pengguna komputer.


Waze
Kegemaran ramai pengguna kenderaan. Agak comel. Bukan sahaja memiliki suara serta bahasa yang boleh dipilih sebagai pemandu arah, malah boleh dipasang menggunakan suara kita sendiri. Selain berguna untuk kita melihat kesesakan arah jalan tersebut (bergantung pada ramai yang log in aplikasi sama), terdapat banyak kelebihan lain; kena install dulu, baru tahu.


GPS kenderaan
Ini lagi mudah, beli dan pasang sahaja di kenderaan, ada suara pandu arah (yang boleh dipilih bahasa), dengan hanya meletakkan (taip dan simpan) alamat, dia boleh terus memandu arah kita menuju tempatnya. Namun kita masih boleh mengikut arah jalan lain dan dia akan automatik menunjukkan arah semula berdasarkan jalan kita itu. Ya, itu yang menariknya GPS pada kenderaan ini.

Cara guna GPS? Ini bergantung pada manual yang anda dapat ketika membeli, dan orang yang jual akan terangkan pada anda, yang ini tak tahu, boleh tanya terus!

Jadi, mana satu pilihan anda? Anda sememangnya suka mencari atau jenis mudah mengingat? Atau mungkin juga jenis try and error, kaki terjah? Apapun memandulah dengan berhati-hati, ingat orang tersayang. Serta jagalah diri baik-baik.



Hari lahir adalah hari peribadi. Ada yang teruja menyambut. Ada juga yang tak suka (kerana pengalaman). Namun ia adalah manifestasi syukur kita kerana masih hidup dan ada urusan dunia yang belum lagi selesai.

Dalam usia yang makin bertambah, begitu banyak pencapaian yang kita dakap dan ada juga sesekali kejatuhan serta kehilangan. Alhamdulillah untuk semuanya.

Seperti orang lain, hendak juga saya tulis kenangan begitu dan begini di sini. Namun biarlah sebahagiannya menjadi simpanan sendiri.

Untuk setiap kejayaan sementara jangan sesekali membangga diri. Ada tanggungjawab dan amanah disertakan.

Buku penulisan terkini saya dan kawan-kawan (Konfesi) dapatkannya di @bukugaraj

Untuk setiap jatuh dan kegagalan adalah ruang untuk memperbaiki diri. Dan jangan takut untuk mencuba lagi.

"Kita tak boleh pandang hina pada cara hidup seseorang. Sebab kita tak tahu penghujung hidupnya dan kita nanti bagaimana."

- USTAZ AHMAD SHUKRI YUSOFF (TanyalahUstaz)

Teruskan jadi manusia bermanfaat, sabar dan ikhlas. Kerana di akhirnya semua perbuatan kita, Tuhan akan balas.

Masa adalah bukti kesementaraan. Dalam detik berbaki, berapa wujud lagi amal yang akan mampu meneduh?

Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni. Hadits ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no:3289).

(- Sumber)

Terima kasih
 buat keluarga di sisi. Terima kasih buat semua yang masih bertahan lagi. Terima kasih untuk yang sudi beri ucapan di twitter, facebook, instagram, whatsapp dan SMS. Dan untuk yang masih mengingati dan mendoakan. Moga baik-baik saja untuk semuanya.

*Nukilan Litte Strong @TheContengann / Instagram: Thecontengan
Kerana kesempurnaan bukan milik kita, marilah sentiasa muhasabah, saling menasihati dan mendoakan. Maaf jika saya pernah melukakan sesiapa. Moga kejayaan milik semua kita. Insya-Allah. Ameen.

 Wallahualam.



Semua orang suka dihargai. Namun semua kita berbeza cara dalam menggembirakan orang yang kita sayang. Bagi saya kegembiraan orang yang tersayang adalah satu kebahagian. Berikut adalah pengalaman saya memberi hadiah atau kejutan untuk ahli keluarga dan sahabat saya.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerima hadiah dan menganjurkan umatnya untuk saling memberi dan menerima hadiah. Beliau bersabda: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, agar kalian saling mencintai.” (HR. al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, Shahih al-Jami 3004, al-Irwa 1601)
Kek, kad dan baju untuk mak, abah dan adik.


Alhamdulillah untuk semua kesempatan. Hobi saya yang memberi kad kepada mak abah sempena hari istimewa. Saya tahu itu tidaklah seberapa dan terlalu jauh nak dibandingkan apa yang mereka telah beri, namun wajah gembira mereka cukup membahagiakan. Adalah pernah beli hadiah untuk mereka dan mereka sangat hargai. Kadangkala letak di meja. Ada yang beri terus. Ada yang saya pos (masa belajar dulu). Dan daripada abah masih ada hingga kini, kami masih membeli kek untuk saling merai. Ada rezeki lebih, kita berilah apa kita mampu beri. Syukurlah untuk apa yang masih di sisi. Moga diberkati.

Cupcakes buat peminat muzik


Antara kejutan awal saya buat dalam hidup. Tahun 2012. Waktu itu belum pesat lagi perkhidmatan begini. Cuma ada kakak ni saya emel (emel tau waktu tu) dan minta buat dan hantar kek cawan (cupcakes) sebanyak jumlah umur sahabat saya. Dan cupcakes itu dihiasi note dan alat muzik kerana si penerima itu yang meminati muzik! Kakak itu pun sangat baik. Moga dimurahkan rezeki Kak Hayati yang sudi hantar waktu itu. Banyak betul karenah saya. Sabar sahaja dia. Yang penting sahabat saya terkejut dan gembira waktu itu. Itu yang seronok!

[Damira Bakery bukan saja buat perkhidmatan buat kek, cupcakes, kuih. Malahan beliau juga ada buat kelas belajar buat kek dan tart]. Boleh rujuk blog kak Hayati ni: http://damirabakery68.blogspot.my/
Chocolate Bouquet untuk orang Penang


Ini adalah sesuatu yang manis juga untuk dikenang. Bantuan melalui kakak empunya badan, Iera Rahim dan kerjasama Mazni (pemilik perniagaan tersebuat) & Syazana yang sangat sporting memenuhi kehendak saya, berjaya membuatkan si penerima, Cik Bintang terharu. Terima kasih untuk segala kerjasama. Awalnya memang nak sampaikan terus pada penerima, namun pada hari tersebut dia tiada di rumah. Jadi, melalui kakaknya akhirnya sampai juga ditangannya. Alhamdulillah.

[Jeenis_Bouquet menyediakan perkhidmatan penghantaran (surprise delivery) harga yang berpatutan coklat bouquet dan boleh juga hantar bunga, brownies (kek) untuk penghantaran buat tersayang. Belon juga boleh ikut permintaan kita.  Terutama sekitar Pulau Pinang. Dan saya jamin perkhidmatannya terbaik. Jika ada nak hadiahkan atau surprisekan orang sekitar Pulau Pinang, boleh cari mereka ni!].
Teddy bear online kepada adik-adik


Dua kali saya menghadiahkan teddy bear besar kepada sahabat yang saya panggil adik. Seorang di Sabah, Cik Manis itu dibeli melalui seorang kenalan saya yang tinggal berhampirannya. Terima kasih banyak buat beliau! Dan satu lagi saya membeli teddy bear secara online. Dan orang itu yang deliver (sampaikan) kepada dia melalui pos. Untuk Gadis Kayangan yang masih belajar di sebuah universiti waktu itu. Bagus penghantarannya. Sangat rajin melayan karenah saya. Ini dah lama. Sekarang lagi banyak perkhidmatan sebegini sedang bercambah di bandar-bandar dan di Malaysia amnya.

*Sayangnya Teddiesland tak aktif sekarang ini. Sedangkan bearnya comel-comel dan murah walaupun besar. Saya suka. Moga baik-baiklah untuk mereka.
Melalui orang tengah

Ini saya ingin kreditkan kepada seorang sahabat bernama Su. Bagi saya dia sangat manis kerana sudi menjadi orang tengah untuk sahabat saya seorang lagi, Sha (cheryna). Mereka berdua sahabat yang manis. Banyak saya belajar dengan mereka.

Ada satu ini, saya nak beri melalui pos, tapi tak sampai pada kawan itu. Apapun ini soal rezeki dan sebahagian pengalaman juga. Tak semua jadi dan manis. Apapun, jangan putus asa untuk memberi.

Hari hari lahir & kahwin buat kawan

Setiap kali hari lahir kawan, selain frame gambar, keychain, kadangkala saya suka hadiahkan buku. Atau buat kad. Jika kenduri berbeza sedikit, saya selalu minta bantuan mak saya, Puan Anita. Sebab orang kahwin selain cadar atau hadiah peralatan dapur mungkin ada banyak lagi idea kita dapat daripada mereka yang berpengalaman. Terima kasih mak!

Saya juga pernah menerima.

Alhamdulillah. Saya juga pernah menerima hadiah yang istimewa melalui abah, mak (mereka yang hadiahkan saya bear besar masa belajar dulu, alhamdulillah. Impian juga dapat bear besar ni.) dan teman-teman (terutama roomate saya masa USM, Yunn). Terima kasih buat mereka yang sudi memberi. Anda memang baik hati. Moga Allah berikan yang baik-baik untuk mereka semua ini. Insya-Allah.

Apapun, jom memberi. Kita hidup tak lama mana. Jadi hiduplah untuk memberi dan bahagiakanlah yang tersayang selagi berkesempatan. Ada rezeki, kita kongsi. Insya-Allah hidup akan aman dan gembira buat semuanya! :)



Alhamdulillah untuk semuanya. Tahun 2016 menyaksikan kedatangan orang dan keadaan baru dalam hidup sebahagian kita dan juga kehilangan dalam hidup sebahagian yang lain. 2016 juga banyak mengajar dan memberi pelbagai kenangan tersendiri kepada saya.

Dalam banyak hal, minat & semangat sahaja tidak cukup. Perlu ada ilmu. Mungkin dalam perkara yang kita tak minat itu, wujudnya kelebihan kita. Saya tak pernah terfikir saya akan kembali menulis cerpen misalnya. Sebab saya dah hilang minat menulis cerita sejak habis sekolah dulu. Alhamdulillah. Tahun ini cerpen saya diizin-Nya tersiar di majalah & terbit dalam beberapa buah antologi. Yang pernah beli, terima kasih.

2016 juga mengajar saya erti sederhana sebenar. Betapa jangan terlalu mudah percaya. Dan jangan pula tidak langsung memberi peluang. Diri kita ini yang paling memerlukan banyak peluang. Kena memaafkan diri & yakin kita ini ada kelebihan (namun masih perlu merendah hati).

Tahun ini juga masih diizinkan Tuhan untuk saya mengenali ramai manusia baik dan hebat-hebat. Ada yang masih kekal dan ada yang baru kenal.

2016 juga memberi definisi tersendiri tentang pengorbanan. Perubahan tak akan datang tanpa melakukan sesuatu yang besar. Sukar tapi boleh. Kemampuan itu wujud dalam diri setiap kita. Cuma perlu letak rasa yakin bahawa kita boleh jika cuba. Terlalu banyak alasan mampu melemahkan.

Apapun yang kita lalui, tidak seharusnya buat kita mengalah untuk menghadapi hari depan. Perkara lepas, untuk mengajar & lebih menguatkan.
Kita yang menentukan apa kita bakal jadi. Namun tetap semuanya bergantung pada keizinan Dia. Sekian. Selamat maju jaya untuk 2017!



Setiap hari ulang tahun saya, abah pasti berikan saya dan adik sesuatu. Walau apa bentuk sekalipun. Paling selalu ada; kek. Jadi apabila dizinkan Tuhan, saya mula bekerja, giliran saya pula mahu belikan abah sesuatu (walaupun dia tidak pernah minta apa-apa).

Jadi beberapa hari sebelum hari lahirnya, saya meminta emak meneman serta memilih hadiah untuk abah. Antara cadangan dalam kepala, saya mahu membelinya baju. Dan emak pastinya lebih mengetahui citarasa suaminya. Lantas kami memilih beberapa helai, dan akhirnya kami sepakat memilih baju mengikut warna kegemarannya; iaitu biru.

Malam hari lahirnya (23 Julai), saya pun melihat dia sedang menyiapkan kerjanya, dengan malu-malu saya menghulurkan baju itu pada dia.

“Selamat hari jadi, bah.”
Mukanya penuh rasa tak sangka. Dia ambil. Lantas mengucapkan terima kasih.

“Mesti mahalkan ni, long?”
“Biasa ja bah.” Saya senyum. Diambilnya, lantas dilihat-lihat dengan teliti. Dan setelah itu baju itu menjadi salah satu baju kegemarannya. Kerap dia pakai jika ingin pergi ke mana-mana.


***
Satu hari.

Menurut mak, Abah mahu keluar rumah semula hari tu, ada urusan. Kebiasaannya Abah seorang yang teliti orangnya. Dia tidak akan memakai sesuatu baju terlalu lama dalam tempoh sehari. Namun hari itu abah mahu kekal memakai baju yang sama. Dia kelihatan penat dan tidak berapa sihat (sempat emak mengurutnya sebelum keluar rumah), namun dia tetap bersungguh untuk keluar dan menyiapkan semua tugasannya.

Dan pada hari itu juga, abah menghembuskan nafas terakhir di hospital. Pada mulanya dia pengsan ketika berurusan di bank (urusan itu belum sempat pun selesai) sebelum dihantar ke sana. Sejuk katanya walaupun dirinya berpeluh (seperti diceritakan oleh beberapa kakitangan). Dia pergi ke sana dengan memakai baju biru itu. Baju kegemarannya. Juga baju pemberian anaknya. Baju yang akhirnya terpaksa dipotong doktor untuk diperiksa jantungnya. Sudahnya tiada lagu baju biru itu untuk kami sebagai kenangan buat ditatap peluk.

***
Kini, walaupun abah telah pergi, namun abah sentiasa hidup dalam hati along, hati mak dan hati adik. Hati kami semua. Semoga terus dirahmati dan dosa abah diampuni.
“Kita ini adalah seorang pengembara yang sedang berjalan dan akan sampai ke penghujungnya.” – Baharudin Husain; dalam kenangan. 

Terima kasih untuk semuanya, abah. Moga terus dirahmati Tuhan.



Membaca kisah mengenai hari raya; hal kerja rumah, penginapan, pembahagian duit raya, jalan sesak dan pertembungan soalan-jawapan popular di hari raya kebelakangan ini, benar-benar membuatkan saya rindu dan teringat satu kenangan raya sewaktu kecil-kecil dahulu. Dengan seadanya, kami dulu begitu aktif mengunjungi rumah-rumah di kampung. Tanpa segan dan takut dengan pelbagai perkara. Bukan hendak apa sangat, namun seronok berjalan bersama kawan-kawan.

Keadaan sekarang mungkin ada yang berubah, namun nikmat dan rasa seronok hari raya itu tetap indah. Berikut adalah salah satu kenangan waktu kecil (pengalaman sebenar) yang menetap dalam ingatan. Namun digarap (sedikit diubah untuk disesuaikan) menjadi sebuah nukilan pendek.

***

"Rumah ni kau rasa boleh tak?" Nana bertanya kepada Leman, Ali dan Ipin. Ani yang dibonceng di belakang basikalnya diam sahaja. Kelihatan kanak-kanak lelaki bertiga itu berbincang dalam bahasa dan isyarat sendiri sebelum setuju untuk masuk bersama.

"Assalamualaikum.. kami datang nak raya." Ali memberi salam dengan kuat sekali. Kemudian sekali lagi mereka beramai-ramai memberi salam. mereka tidak mengetuk pintu kerana tidak mahu mengganggu. Cukuplah salam sebagai isyarat.

"Waalaikummussalam." Seorang nenek membuka pintu. Wajarlah agak terlewat. Kerana dia kelihatan perlahan-perlahan pergerakannya.

“Ramainya! Masuklah cu. Duduk minum.” Nenek itu menjemput dengan mata yang bercahaya. Senyumnya panjang.

“Dari mana semua ni?” Nenek itu kembali dengan beberapa coklat dan keropok di tangan dari arah dapur. Dan kelihatan seorang lelaki tua tersenyum sama memandang mereka semua.

“Dekat-dekat sini ja, nek!”
“Kampung sebelah!”
“Lorong sana!” Seorang demi seorang menjawab, tak nak kalah. Nenek dan atok ketawa kecil; seronok melihat gelagat-gelagat anak kecil sebaya cucu mereka ini tergopoh-gopoh makan. Selepas satu, satu balang dibuka. Kemudian asyik menambah air. Tak cukup air merah, mereka minum air berwarna oren pula. Gaya macam lapar sungguh, sedangkan itu bukan rumah pertama mereka berkunjung pada hari tersebut.

“Cucu atok dan nenek lebih kurang umur cucu semua ni,” Atok bersuara setelah sekian lama hanya memandang sahaja.

“Mereka mana?” Nana bertanya; jujur.

“Belum balik sini lagi.” Atok menjawab perlahan. Kelihatan nenek memandang jauh ke arah suaminya.

“Nanti baliklah tu!” Ali spontan menjawab. Kelihatan atok dan nenek kembali senyum. Habis saja sesi soal-jawab dan berbual dengan atok dan nenek yang suka bercerita itu, mereka berlima pun memohon untuk pulang.

“Kami balik dulu ya, nek!” Leman memohon izin untuk pulang. Masing-masing bersalam sambil mencium tangan mereka berdua; sayu.

“Maafkan Nek ya cu, nenek tak ada duit raya nak bagi.” Jawapan nenek membuatkan mereka berlima mendongak memandang wajah tua itu.

“Kami datang nak raya ja nek! Kuih nenek sedap.”
“Kerepek pun!” Ayat Nana tadi disambung cepat oleh Ali.
“Terima kasih Nek, Atok.” Ipin berkata mewakili kawan-kawannya.

"Sama-sama. Bila-bila datang lagi ya, Cu." Nenek mengajak.
"Insya-Allah nek, atok." Nana mewakili kawan-kawannya.

Setelah bersalaman dan memeluk tuan rumah yang begitu istimewa itu, mereka kembali mengayuh basikal.

“Kau rasa anak dan cucu atok dan nenek bila balik?” Tanya Nana sambil mengira bilangan hari raya yang sudah beberapa hari berlalu.

“Nanti baliklah tu. Kita doalah sama-sama.” Leman menjawab selamba sambil mereka semua kembali sambung untuk beraya. Mencari rumah-rumah yang sudi menerima dengan hati terbuka. Namun tidak boleh berlama, kerana hari sudah menjelang senja.

***

Kenangan sungguh. Untuk rindu yang tidak berjawab, kita doakanlah.








Dari awal tahun kita didengarkan dengan beberapa cerita menggembirakan. Tentang antara saintis kita yang berjaya membuktikan teori Albert Einstein berhubung gelombang graviti, Hafizah Noor Isa. Tentang wanita yang mengembara solo ke 6 Negara, Siti Noridah atau ET. Tentang Cikgu Palestin; Hanan Al Hroub; guru wanita Palestin yang berjaya merangkul Anugerah Guru Global 2016. Itu belum termasuk mereka yang memang sedia mahir dalam bidangnya. Mungkin yang sedang membaca ini juga, adalah wanita yang ‘seseorang’. Tahniah!

Dan pada 8 Mac setiap tahun, kita bukan sahaja menyambut hari wanita di seluruh dunia malah selain itu, di Indonesia sendiri ada satu hari dinamakan hari Kartini. Kartini; adalah seorang tokoh Jawa dan Pahlawan Nasional Indonesia. Presiden Soekarno mengeluarkan Keputusan Presiden Republik Indonesia No.108 Tahun 1964, tanggal 2 Mei 1964, yang menetapkan Kartini sebagai Pahlawan Kemerdekaan Nasional sekaligus menetapkan hari lahir Kartini, tanggal 21 April, untuk diperingati setiap tahun sebagai hari besar yang kemudian dikenal sebagai Hari Kartini. (Sumber)
Namun kebelakangan ini, kita sedikit tersentak dengan beberapa kejadian viral yang sebenarnya menyedihkan (mungkin menggusarkan) di kalangan wanita. Viral tentang wanita diganggu di stesen minyak. Dan terkini di Indonesia, tentang Enno Fariah. Yang kejadiannya mengingatkan kita pada kejadian Junko Furuta. (Sumber). Seakannya mereka yang melakukan ini tidak mengenal perempuan di sekeliling mereka yang bernama ibu, nenek, akak, adik atau pun makcik. Sedih.

Walaupun jenayah tidak mengenal jantina dan mampu berterusan, namun kita masih tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sedang berlaku di kalangan manusia hari ini dan apa seharusnya kita lakukan?

Kita selalu dibentangkan dengan hal-hal perlu menjaga keselamatan diri. Dan hati-hati. Ya, menjaga diri, tahu hak diri dan ada ilmu mempertahankan diri selain menjaga keselamatan selagi boleh, perlu diajar sejak kecil di rumah, tempat belajar dan sehingga dewasa. Namun lebih daripada itu kita perlu belajar bagaimana menjaga hubungan dengan orang. Sesama kita. Lebih lagi ia dipanggil menghormati. Perlu saling. Tahu tanggungjawab, amanah dan hak masing-masing.

Dalam semua agama ada diajar untuk saling mengasihi. Jadi jika kita tak mulakan hari ini di kalangan kita untuk saling mengetahui hak dan saling menjaga masing-masing, bila lagi? Mulakan sekarang. Jika suka tak semestinya kita akan dapat. Hidup ini tak semua kita dapat genggam. Namun jika tak mahu, cara menolaknya perlu berhikmah, biar masing-masing saling menerima. Perlu belajar jaga budi dan bicaranya sekali.

Kita semua ada harganya. Dan kita semua adalah pejuang untuk diri sendiri. Moga kita semua sentiasa dilindungi Tuhan.

Selamat saling menghormati!


*Teringat lagu Dehearty Wanita;



Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung 
Tapi dekat dibahu untuk dilindung 
Dekat jua di hati untuk dikasihi 

Engkaulah wanita hiasan duniawi 







Apabila melihat orang terdekat kita jatuh, dengan segera kita ingin membalut lukanya. Biar segera sembuh. Jika dia sedih, tidak mengapa jika kita menjadi badutnya. Jika dia resah, kita ingin segera menjadi penenangnya. Biar dia tidak lagi risau. Jika dia kehilangan sesuatu, kita mahu sahaja menggantikan atau paling tidak mengisi kekosongan tersebut.

Bukan mahu menjadi hero, cuma apabila dia sakit, kita seolah merasa sama. Tapi kita hanya manusia biasa, yang hanya mampu untuk berdoa dan membantu satu dua perkara. Mungkin untuk membuat dia senyum pun kita masih tercari-cari cara.

Kita cuma mahu dia tahu dalam dunia ini, dia hidup bukan seorang.
Ini bukan tentang awak awak, saya-saya. Tapi ini tentang sama-sama.

Kuat selalu! Moga yang baik-baik untuk kita semua, insya-Allah.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” - [3:139]

*Percayalah, awak masih ramai lagi yang sayang dan ada perkara lebih baik yang akan datang! Have faith! :)



*Sumber: gambar




Saya sendiri kadangkala terperangkap dengan puisi dan catatan. Apabila saya menaip catatan, saya selalu sangka ia adalah sebuah puisi yang cukup (perasan). Sedangkan terlalu jauh sebenarnya.
Puisi: Karangan yang berbentuk sajak (syair, pantun, dll); berpuisi mengarang puisi, menyatakan se­suatu dalam bentuk puisi; mempuisikan melahirkan (menyampaikan, menyatakan) sesuatu dalam bentuk puisi: pelbagai kisah yang dipuisikan itu boleh menghiburkan hati selepas berpenat lelah di sawah ladang; kepuisian berkaitan dengan puisi, yang menunjuk­kan ciri-ciri dalam puisi: pembaca tidak dapat memahaminya dan mutu ~nya kurang dapat dirasai oleh pembaca; perpuisian segala-gala yang berkaitan dengn puisi: kita di Malaysia telah lama berusaha membentuk suatu tradisi ~ yang kuat; sejarah ~ Melayu; pemuisi orang yang mencipta (mengarang, me­nulis atau mendeklamasikan) puisi, penyajak. - Kamus Dewan Edisi Keempat.

Tajuk:" Yang Sebenar. "

Sepi masih setia jadi nyanyi
Angin terus berhembusan
dan kita masih bersandingan
dengan perasaan yang tiada penghabisan
Dalam rahsia-rahsia sendiri
Kita meratap perjalanan hati
kisah hidup yang berbaki
dan doa-doa yang tidak terisi
dalam getar yang mengalir
kini aku teringat jejak
yang memisahkan perjalanan
membawa aku ke sebuah penemuan
Lewat istighfar
Syukurku bergementar
atas dasar sedar
yang sebenar
Tuhan itu rindu;
suaraku yang bergetar.


Salah satu catatan dalam Zine Warkah Si Pari-Pari (bersama Grez dan Qyranna).


Tidak akan dibencikan pada kenangan yang pernah memberinya keriangan pada saat dia tersepikan dek persekitaran yang tidak menyebelahkan.

Tidak akan disedihkan pada pemergian seorang yang pernah memberinya rasa aman kerana ketentuan ditetapkan ianya hanya pinjaman; bakal diambil semula Dia bila-bila.

Tidak akan dikesalkan pada sebuah kisah yang membuat dia kuat dan rasa jitu pada diri sendiri untuk hari kemudian.

Tidak akan didiamkan; janji untuk terus mendoakan, dan tidak akan disepikan.
Maka; syukurlah kerana pernah; bukannya tidak akan.

***

Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi. Boleh merujuk laman: DBP. Terima kasih.

Jom terus menulis idea-idea baru! :)









Anem Arnamee 2025 © TERIMA KASIH ♥



click to te top