Showing posts with label majalah. Show all posts
Showing posts with label majalah. Show all posts


Alhamdulillah. Dua buah buku ini ada tulisan saya (cerpen) di dalamnya. Tapi yang saya ingin cerita di sini adalah tentang cerpen kawan-kawan lain yang menjadi pilihan saya. Tidak mahu menjadi pemilih membaca apa saja yang kita suka, saya tertarik dengan cerpen rakan-rakan sebuku saya. Saya pasti ramai yang beli buku apapun ada kegemaran tersendiri.

Kedua-dua buku ini adalah terbitan Khairy Tajudin Resources (terima kasih juga untuk beliau).

1. Antologi Akhirnya Aku

Cerpen saya di dalam buku ini berunsur persahabatan lelaki dan perempuan namun saling menghormati dan tiada unsur cinta satu sama mereka. Sentiasa saling menyokong. Tajuknya, Akhirnya Aku Masih Begini.

Cerpen pilihan:

Saya cuba memilih sedikit sahaja untuk menjadi pilihan hati. Namun gagal. Banyak yang menarik hati. Namun berdasarkan tajuk saya cuba untuk melihat kelainan setiap cerita.
  • Akhirnya Aku Meletop – Siti Aksara
Penulisan Siti Aksara ini paling saya minati kali ini. Sedikit laju. Namun saya suka kerana ceritanya tentang penulis yang berani.
  • Akhirnya Aku Nekad – Norillah Abdulllah Hassim
Seorang yang berkerja dalam bidang dia suka namun di tengahnya menjumpai titik berbelah bagi. Pembahagian rasa di sini saya juga boleh rasa.
  • Akhirnya Aku Pulang – Harith Hakeem
Mengingatkan saya pada drama kekeluargaan di hari raya. Namun hujungnya menyentuh. Dan bukan biasa-biasa.
  • Akhirnya Aku Temui Cinta Sejatiku – Asyiqin Adir
Ini sedikit lucu dan agak diluar jangka. Seakan mengenakan pembaca namun sangat boleh diterima.

Pilihan lain: Akhirnya Aku Tahu (Kecu) & Akhirnya Aku Kembali (Rozalia Rajali)

Yang lain-lain tetap penulisan yang baik namun jika anda mahu membaca bolehlah dapatkan sendiri di kedai-kedai.

2. Antologi Bebas

Cerpen saya dalam buku Bebas ini pula mengisahkan persahabatan dan hidayah yang hadir dalam hidup seorang perempuan. Bertajuk Asbab.

Cerpen pilihan:
  • Perjuangan - Sa'adiah Shuib
Siapa sangka kita akan tertarik jauh tenggelam dalam ceritera berbentuk sejarah ini. Malahan semangat wataknya buat kita kagum dan turut bersemangat. Bagi saya ceritanya membuka mata (saya) juga.
  • Busuk Harum Durian - eartHDance
Manis-manis selepas perkahwinan jarang sekali diceritakan. Dan cerita sebegini adalah sebuah bacaan yang wajar diselalukan.
  • BRIM Oh BRIM - Nidra
Cerita ini sangatlah dekat dengan masyarakat kita. Memilih kepercayaan dan kewangan sebagai isu utama, cerpen ini kelihatan sangat berjaya menangkap pembaca.
  • Lorong - Tun Teja
Cerita ini adalah tentang persepsi dan semangat. Yang di awal tak semestinya sama seperti akhir.

Pilihan lain: Jangan Prejudis (Manja lela) & Lutsinar (Qay Elfansuri).

Apa lagi paling indah jika bukan suka pada apa yang kita ada? :)

Untuk yang sudah baca, boleh komen di goodreads: Akhirnya Aku & Bebas. Di sana, tulislah komen yang anda suka.

Oh ya, jika ingin beli, buku-buku ini ada dijual di kedai buku, atau boleh beli terus pada penerbitnya, saudara Khairi Tajudin di facebook dan mungkin juga boleh terus pada penulis-penulisnya yang lain (melalui hashtag antologiAkhirnyaAku & hashtag AntologiBebas) di laman sosial facebook, atau instagram.

Untuk yang suka membaca, teruskan menambah ilmu. Untuk yang suka menulis, jangan pernah jemu. Sekian. Terima kasih.


Sebagai seorang yang suka menulis, kadangkala kita rasa mahu juga (pastinya seronok) karya kita disiar dan dibaca oleh orang lain, serta dikritik untuk penambahbaikan. Malahan membaca kebanyakan yang berpengalaman katanya; elok sebagai permulaan menulis cerpen atau puisi dan hantar ke Majalah Tunas Cipta kerana kerana majalah ini khusus menerima karya penulis generasi baru.

Sebelum itu, jika mahu hantar cerpen atau sebarang karya ke Berita Harian boleh rujuk: https://birungu.wordpress.com.

Syarat menulis dengan Tunas Cipta:

CERPEN

1. Umur: kurang daripada 35 tahun

2. Kisah selain daripada cinta melankolia (boleh cerita cinta, tapi biar membawa kepada pemikiran atau idea yang ilmiah dan bijak).

3. Halaman: Tidak melebihi 10 muka surat (Times New Roman, saiz 12, langkau 1.5 / 2).

PUISI

- Jenis tulisan; Times New Roman, saiz 12, langkau 1.5 / 2
- Tema bebas tapi biar berpada-pada

Setiap kali menghantar karya, sila sertakan juga biodata ringkas seperti nama penuh, nama pena, alamat lengkap, nombor kad pengenalan, nombor telefon, e-mail dan nombor akaun bank bagi urusan pembayaran mengikut media percetakan (apabila karya anda tersiar, sedikit honorarium atau saguhati yang berupa wang ringgit akan diberikan sama ada dalam bentuk cek atau bank-in ke akaun bank anda, selalunya akan ambil masa 3 bulan dari tarikh siar dan akan diberi surat pengesahan selepas itu).
Hantar ke emel: yusaida@dbp.gov.my (editor terkini: Puan Yusaida Yusof). Subjek pada emel tuliskan cerpen atau puisi berserta tajuk. Kemudian tuliskan kata-kata aluan dan pengenalan diri yang baik dalam emel tersebut. Jika ada surat iringan itu lebih baik.
*Karya kita akan dinilai terlebih dahulu. Sabarlah menanti jawapan. Namun jika sehingga tiga bulan masih tiada jawapan, maksudnya belum lagi berjaya. Namun selalunya walaupun gagal tetap akan dijawab balas.


NOTA SAYA

Ikut daripada komen dia bagi pada cerpen saya yang tersiar (Puisi Dari Korea - Tunas Cipta edisi Mei 2016), pihak editor (waktu itu, Puan Zaharahanum) tidak mahu dialog atau pengajaran unsur yang negatif. Dan jika dialog tidak ada relevan (lewah) dalam cerita atau plot lain / pengakhiran, tak perlu letak. Letak dialog atau plot yang memang bertujuan. Dan jika mahir memperkayakan bahasa, itu lebih baik.

Dan alhamdulillah, selepas beberapa kali disuruh sunting sebelum tersiar, kritikan untuk cerpen itu oleh S.M Zakir (Tunas Cipta edisi Jun 2016) adalah baik; terutama dari segi sudut bahasa dan jalan ceritanya.

Untuk puisi anda boleh lihat contoh-contoh puisi yang pernah disiar (di sini antaranya). Jika belum pernah membeli tunas cipta, boleh dapatkan di kedai buku / majalah berhampiran atau terus beli menerusi talian di bukuDBP.com.

Oh ya, selain ini, jika mahu tahu perkembangan pertandingan menulis / cerpen yang lain boleh rujuk di halaman facebook Tips Motivasi dan Penulisan Pena VR yang dikendalikan juga oleh seorang penulis berpengalaman; Salleh Kausari. Di sini banyak juga beliau berkongsi.

***
Untuk penyertaan cerpen ke majalah lain:
(lebih baik rujuk majalah berkenaan terlebih dahulu untuk melihat sasaran pembaca dan cerpen yang lalu):
  • Dewan Sastera (khairul@dbp.gov.my)
  • Mingguan Malaysia (hafizahrilmm@gmail.com)
  • Berita Minggu (bhsastera@bharian.com.my)
  • Dewan Siswa (lutfi @dbp.gov.my / suhaila@dbp.gov.my) 
  • Utusan Sabtu - Untuk cerpen, lebih kurang 1500 patah perkataan; (cerpen.s2@gmail.com) Untuk puisi: (puisi.s2@utusan.com.my)
  • Majalah Wanita (wanitauksb@yahoo.com)
  • Majalah Solusi (majalahsolusi@gmail.com), cerpen lebih kurang 1300 patah perkataan.

Dalam talian boleh cuba:
Jika rasa mahu mencuba menulis suka-suka / meluah rasa / melihat sasaran pembaca karya kita, boleh mula menulis juga di wattpad.com. Jika rezeki, selain akan ada pengikut sendiri dan dapat memperbaiki karya melalui kritikan, mungkin berpeluang menghasilkan buku sendiri nanti. Insya-Allah.

Untuk semua, jangan takut menangis untuk menulis. Setiap langkah yang jauh bermula dengan langkah pertama. Jangan takut ditolak, sebab ditakuti kita menyesal pula kerana tidak mencuba. Teruskan menulis, kerana bakat itu tak semua ada. Jika gagal, jangan putus asa. Cuba lagi! Bakat juga amanah. Selamat maju jaya! Terima kasih. 
Rujukan lain:










Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top