Showing posts with label Puisi SM. Show all posts
Showing posts with label Puisi SM. Show all posts

 


Hari ini, genap seminggu yang lalu, saya bertemu beliau.

20/04/25, Hari Kita.

Siapa sangka orang yang selalu kita lihat mesej manisnya di skrin, akan berada di depan mata.

Siapa sangka orang yang selama ini likes post kita -kita likes post dia, munculkan senyuman di depan sahaja.

Siapa sangka orang yang kita berbual - usik, tegur & puji, hari ini kita dengar ketawanya di sebelah telinga.

Siapa dapat menyangka, setelah bertahun-tahun bertemu di skrin kaca, kita benar-benar akhirnya akan berjumpa?

Ann & Anem

Hari itu - beliau di sebelah saya.

Kami berjalan bersama seperti tiada penghujungnya.

Kami berbual seperti tiada hari esoknya.

Dia yang selalu rasa sayalah yang ada waktu sedihnya - sedangkan tanpa dia tahu dialah yang memaknakan saya serasa seperti diri ini berguna. Hari ini saya lebih baik antaranya sebab dia.

Dia yang selalu rasa dia biasa, sebenarnya dia seorang yang sangat istimewa.

Anem & Ann

Pandangan pertama saya bila berjumpa — dia manis benar orangnya. Pemalu, lembut dan bijaksana. Kami mudah klik dan berbual - mungkin kerana minat juga sama (puisi, buku & lagu). Paling penting dia boleh faham cara saya bercakap yang kadangkala agak merepek dan ke laut dalam. Malah saya suka karakter diri dia yang agak jinak-jinak merpati itu. Nampak mudah didekati, tapi tak mudah diselami. Manis, bukan? 

(Dahlah sama-sama gadis April) ^^

Melihat beliau seakan melihat sebahagian diri saya yang lalu, namun ada kualiti dalam diri beliau adalah impian saya yang baru.


Terima kasih Nuraini Hashim sebab sudi selalu berkongsi cerita, sudi percaya saya, sudi datang berjumpa, sudi mendakap saya, sudi berkawan dengan saya untuk tempoh lama.

Untuk hal-hal yang mendatang, moga awak kuat dan dipermudahkan. Moga terus jadi anak solehah dan diberi kekuatan serta kelapangan hati — dalam setiap hal yang dilalui. Saya yakin awak mampu seperti selalunya. Slowly but surely, Insya-Allah. 🤲🏻

Untuk apa bakal jadi nanti, awak tetap adik dan sahabat yang saya syukurkan, sangat saya sayang dan amat saya banggakan. 

Moga terus jadi mentari yang menyinari hati. Moga hidupmu akan terus bercahaya dan berseri. Hingga jumpa lagi. 🌻


Since 2014, sampai bila-bila diizin Dia.

Hingga Anem jumpa Ann lagi.


We’re not always near, but we’re never far

Friends who find light where the quiet scars are.

 

Kek Ann buat - sedap!
(Selain pandai menulis, beliau mahir memasak & menjahit juga)

P/S: Saya cuba bertahan untuk tidak membasahkan mata. Namun ingatan untuk kenangan yang seketika berjaya menyebakkan jiwa. Moga selepas pertemuan pertama, ada kedua dan seterusnya. Insya-Allah.

Terima kasih untuk segala-galanya. Hanya Allah sahaja mampu membalas semua perkara. Di kesempatan ini, saya juga ingin memohon maaf untuk segala kekurangan saya. 

I miss you. 


Moga persahabatan kita bergema sampai selamanya.

Fi hifzillah.


(Special shoutout to Seha (Kak Long Ann) – for everything – thank you so much!)




We are a poem

that never forgets

its next line.


Yang sentiasa mendoakan dari utara;

Sis Anem Arnamee





Setakat ini sedikit karya saya dan kawan-kawan (kawan-kawan saya semua power power menulis woah!) ada dalam buku himpunan puisi:  Pelacur Kata keluaran Press Aku dan buku Seratus Mulut dan Halusinasi , terbitan Bukstor. Terdahulu ada kolaborasi puisi & cerpen dengan beberapa orang sahabat twitter untuk zine #Rabak .

Untuk yang hilang dan mencari diri, Nah!

Ke hadapan hati jatuh

Menemui sekeping hati yang sudah lama sakit,
kamu ingat aku lagi ?
Jiwa indah semalam yang pernah bermalam 
dan duduk sehari dua di teratak dada kamu?

Kamu pernah kata pada aku dulu,
biar satu dunia tidak memaknakan kamu ,
biar satu dunia memuntah kata keras pada dinding laman kamu,
kamu terbias kan,
kamu kata kamu ada baju kalis rasa ,
semua mereka beri, akan dipercik semula pada wajah gelap mereka.

Tapi kini aku lihat, kamu hilang .
Kamu diam dalam keramaian orang sedang melihat kamu.
Kamu sudah mula jatuh , duduk dalam sendu
yang aku sendiri tidak mampu untuk meramalnya.

Dan kamu kenapa?
Kamu sudah tidak kenal aku.
Mata kamu sudah mula kelabu.
Ingatan kamu seakan sudah kelam .
Yang kamu nampak hanya bebayang.

Sunyi kini tempat kamu.
Tak semeriah dulu.
Dulu, tempat ini , penuh rasa suka, banyak suara membangkit rasa,
kini yang tinggal hati perit yang seakan tidak mahu bangkit.

Hei, betulkah kau dah tak ingat aku?
Ini akulah , aku ! Jiwa indah kamu semalam,
Yang sama-sama ketawa walau dalam duka lara,

Hei, kamu!
Marilah mari , bangun! Peluk aku semula.


Terima kasih pada semua yang selesa dengan apa yang pernah dibaca tentang sesuatu yang saya tulis. Moga kalian semua sentiasa diberkati dunia akhirat, insyaallah :)


*Klik pada link dalam penulisan di atas , untuk sebarang pertanyaan.

Dia menyedarkan kita bahawa ukhwah fillah  itu , tidak perlu kenal lama pun boleh terasa dekatnya. Tak pernah berjumpa pun, boleh terasa betapa indahnya.


Pagi tu seperti biasa, kelihatan seorang insan yang rajin berkongsi baca tasbih zikir dekat susur masa twitter. Kemudian ditegurnya seorang-seorang kawannya dengan mesra. Beberapa ketika dia akan retweet tweet islamik untuk dikongsi bersama . Itulah dia @mylurve91 atau sebenarnya Nur Hidayah Binti Abu Marshah.

Saya mengenali dia kerana ditakdir Tuhan, kami menulis dalam lembar sama buku puisi seratus mulut keluaran bukstor bersama 98 sahabat lain. Dia begitulah, ikhlas dan dengan senang berkawan sesiapa. Tiada buruk sangka dan menerima apa adanya. Demikianlah betapa sehingga kini masih ramai yang merindui kebaikannya.


Seorang yang peramah - sangat gemar mengusik dan paling tidak senang jika kawan lain kelihatan sedih . Dia akan tegur, bergurau, mensi atau paling tidak, ajak kawannya berkongsi . Dan dia suka pesan begini , kalau nampak smiley sedih " :'( " -

"Aipp, tamo sedih-sedih. Kenapa ni ?". Sungguh dia mahu rasa sekali rasa sedih kita. Allahu.

Peribadinya pula, pemalu, sukar mengadu susah , seorang yang tenang menghadapi masalah dan menyerahkan keberantungan sepenuhnya kepada Allah, membuatkan dia kelihatan kuat dalam menghadapi jua dugaan yang menerpa.

Seorang yang sangat rajin memberi tazkirah, berkongsi intipati usrah -, sangat menjaga aurat , solat ( di awal waktu ) dan berkongsi sama perasaan seluruh ummah.

Malahan dia juga sangat merasai tempiasnya kehilangan MH370 , gusarnya, sedihnya memang ketara. Dan perbualan terakhir kami di mesej twitter juga ada berkaitan itu . Dan satu yang saya rasa indah  dan syukur, di akhir kalam , Allah izinkan saya sempat menuturkan rasa terima kasih di atas perbualan kami pada malam hari itu. Dan dia sempat menitip pesan ' jaga iman, jaga hati, jaga diri '. Kenangan dan nasihat awak akan terus bersemadi dalam hati semua kami yang mengenali. Insyaallah . Terima kasih sungguh-sungguh dari hati.

Al-Fatihah

Buat awak yang kadangkala akak usik dengan panggilan 'Yayang' (Yaya) -sungguh awak banyak mengajar kami tentang ukhwah yang ikhlas kerana Allah. Semoga tenang bersemadi di sana. Semoga dipermudahkan semuanya. Dan semoga keluarga Hidayah juga akan terus dipermudah , insyaallah.
--
Ya Allah, ampunkan dosa-dosa Hidayah, moga beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Insyaallah, Ameen ya Rabbal A'lamin.


"Sayang awak kerana Allah, adik". Send
- "Sayang akak juga kerana Allah". Received.
 
Rindu :')









Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top