Showing posts with label Dr. Ahmad Sanusi Azmi. Show all posts
Showing posts with label Dr. Ahmad Sanusi Azmi. Show all posts

 

DOA AGAR DIMUDAHKAN URUSAN





Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berdoa:


اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا، وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلًا


Maksudnya: ““Ya Allah, tiada yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikan mudah. Dan Engkau mampu menjadikan perkara yang sukar itu mudah jika Engkau kehendaki.”


(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya, Ibn Sunni dalam Amal al-Yawm wa al-Lailah dan al-Baihaqi dalam al-Da'awat al-Kabir)


1) Doa adalah ibadah. Ia merupakan cara mendekatkan diri dan berkasih sayang dengan Allah SWT. Seorang mukmin yang sebenar akan sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusannya dan memohon segala perkara daripada-Nya.


2) Perkataan "hazn" (الحَزْنُ) merujuk kepada tanah yang keras dan kasar, manakala "sahl" (السَّهْلُ) ialah lawannya – iaitu tanah yang rata dan mudah dilalui.


3) Yang dimaksudkan dengan hazn dalam konteks doa ini adalah perkara yang susah dan berat. Maksudnya, segala sesuatu berada di bawah kehendak dan kekuasaan-Mu, wahai Allah, maka Engkau mampu mengatasi segala kesulitan dengan menundukkannya dan memudahkannya.


Semoga Allah kurniakan kemudahan dalam apa sahaja perkara yang kita lakukan.


=====


Jom subscribe YouTube @myhadithtime supaya dapat belajar hadis Nabi SAW, klik:

https://www.youtube.com/c/MyHadithTime

 Nabi Ibrahim Sebagai Seorang Ayah



===== 

1. Sedar atau tidak, ibadah korban yang dilaksanakan oleh kaum Muslimin pada hari ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan Sirah Nabi Ibrahim.


2. Peranan seorang ayah (iaitu Nabi Ibrahim) dalam menyantuni anaknya (Nabi Ismail) ketika perintah ini berlangsung sangat penting untuk direnungi oleh setiap ayah. Antaranya ialah:


(a) Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah sentiasa berdoa buat keluarganya. Salah satu doa Baginda yang popular ialah doa agar dikurniakan anak yang soleh. Inilah yang perlu dilakukan oleh setiap ayah pada hari ini. Nabi Ibrahim berdoa:


رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ


“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (Surah al-Saffat: 100)


(b) Bukan sekadar berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, Nabi Ibrahim turut mengajak anaknya untuk melakukan ibadah bersama. Inilah yang perlu dilaksanakan oleh setiap ayah pada hari ini, mengajak anak-anak mereka melaksanakan ibadah bersama. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail membina Baitullah iaitu Kaabah. Firman Allah:


وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al-Baqarah: 127)


(c) Nabi Ibrahim turut dilihat kerap berdialog dengan anak Baginda. Dalam perintah korban, Nabi Ibrahim bertanya pandangan anaknya Nabi Ismail, begitu juga dalam urusan hubungan suami isteri, Nabi Ibrahim turut pernah menasihati Nabi Ismail. 


(c.1) Ketika perintah korban diturunkan, Nabi Ibrahim tetap memulakan perbincangan bersama anaknya sekalipun perintah itu pada hakikatnya merupakan arahan dari Allah. Begitulah seorang ayah, perlu banyak berbicara dan berbincang dengan anaknya. Masa bersembang dengan anak perlu lebih banyak dari masa melihat telefon. 


(d) Nabi Ibrahim juga merupakan seorang ayah yang penyayang. Sifat penyayang Nabi Ibrahim terzahir apabila Baginda berusaha mendoakan buat ayah (atau pakcik) Baginda agar diberikan keampunan oleh Allah. Lalu Allah memuji sifatnya Baginda dalam firmanNya:







إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌ




Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. (Surah al-Taubah: 114)


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi


=====


Subscribe YouTube @myhadithtime, klik: https://www.youtube.com/c/MyHadithTime

 Tidak Mendedahkan Aib Pasangan





======

1. Suami dan isteri itu sifatnya saling melindungi. Dalam al-Quran, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti. Firman Allah:


هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ


“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)


2. Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:


جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء


“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”


3. Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari.


4. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah:


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا


“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)


5. Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi



 Keberkatan Rezeki Dalam al-Quran




============ 

Di dalam al-Quran terdapat beberapa perkara yang disebutkan oleh Allah yang mempunyai hubungkait dengan rezeki dan keberkatannya. Antaranya adalah:


1. Melazimi taqwa. Orang mukmin yang berusaha kea rah taqwa akan dibuka baginya keberkatan langit. Firman Allah:


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ


“Dan sekiranya ahli sesuatu tempat itu beriman dan bertaqwa, maka kami akan buka bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (al-A’raf: 96)


2. Mereka yang sentiasa menjaga solat serta mengajak ahli keluarga menunaikan solat juga berupaya dipermudahkan rezeki oleh Allah. Firman Allah:


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى


Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, dan hendaklah kamu bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. 


2.1. Di dalam ayat ini, Allah seolah meletakkan urusan solat mempunyai kaitan juga dengan rezeki. Menurut al-Imam al-Qurtubi, ketika ayat ini diturunkan Rasulullah sering mengetuk pintu rumah Fatimah, mengajak mereka bersolat. Bahkan Saidina Umar melakukan perkara yang sama dan mengingatkan kepada ahli keluarganya supaya jangan sampai urusan mencari rezeki menyibukkan kamu dari solat. 


Malah menurut al-Qurtubi lagi, Rasulullah akan menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat ketika mereka ditimpa kesusahan. Begitulah besar peranan solat dalam kehidupan muslim. (al-Qurtubi, al-Jami li Ahkam al-Quran, 11/263).


3. Beristighfar. Amalan melazimi istighfar juga dikatakan mempunyai kesan terhadap rezeki. Firman Allah:


فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً* يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَاراً* وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَاراً


“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun (11). (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;(12)."Dan Allah akan memberi kepada kamu dengan harta kekayaan serta anak-pinak; dan Allah akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)


3.1 Malah Rasulullah turut bersabda:


مَن أكثر الاستغفار جعل الله له من كل همَّ فرجاً، ومن كل ضيق مخرجاً، ورزقه من حيث لا يحتسب


“Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, Allah akan membuka segala kesusahannya, memberikan jalan keluar bagi segala kesempitan, dan mengurniakan rezeki yang tidak mereka sangka.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir).


4. Bersedeqah. Amalan bersedeqah turut membantu dalam membuka pintu rezeki seseorang. Firman Allah:


وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِين


“Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". (Surah Saba’: 39).


Semoga Allah membimbing kita. 









Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Facebook

Tele: https://telegram.me/drahmadsanusiazmi









 

Golongan Yang Rugi Dalam Ramadan

=======

Terdapat empat golongan yang rugi dalam bulan Ramadan iaitu:







(1) Mereka yang tidak bersahur. Ini kerana, orang yang bersahur itu akan mendapat doa dari Allah dan para malaikat.

(2) Orang yang tidak beristighfar. Ini kerana Rasulullah menjelaskan bahawa orang yang tidak mendapat keampunan dalam bulan Ramadan adalah orang yang paling rugi.

(3) Orang yang melakukan maksiat. Ini kerana Rasulullah memaklumkan kepada kita bahawa Allah tidak memerlukan puasa orang yang tidak meninggalkan dosa.

(4) Orang yang tidak berdoa ketika berbuka puasa. Ini kerana pada waktu berbuka puasa itu terdapat saat doa dimakbulkan oleh Allah.


Dapatkan buku 40 Hadis tentang Puasa dan Ramadan di sini:


https://s.shopee.com.my/9AAbPIEYdv

https://s.shopee.com.my/9AAbPIEYdv

https://s.shopee.com.my/9AAbPIEYdv


Semoga Allah membimbing kita.




Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Facebook

Telegram


 Dimanakah Keberkatan Sahur itu?




======

1. Rasulullah ﷺ sangat menggalakkan kita umat Islam agar bersahur. Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah ﷺ menyebutkan:


تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً


“Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (HR al-Bukhari)


2. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah ﷺ menyifakan sebagai sahur itu memiliki keberkatan? Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Daqiq al-Aid menjelaskan bahawa keberkatan sahur itu boleh dibahagikan kepada dua aspek. Dari aspek duniawinya sahur memberikan tenaga persiapan untuk orang yang berpuasa. Kata beliau:


قُوَّةِ الْبَدَنِ عَلَى الصَّوْمِ وَتَيْسِيرِهِ مِنْ غَيْرِ إِضْرَارٍ بِالصَّائِمِ


“(sahur) memberikan kekuatan badan buat yang berpuasa dan mempermudahkan urusan tubuh tanpa menggugat orang yang berpuasa.


3. Dari sudut akidah pula, sahur pada hakikatnya memberikan jatidiri yang jelas buat Muslim. Ini kerana sahur membezakan antara puasa kita dengan puasa agama lain. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah dalam sabdanyna:


إنَّ فصلَ ما بين صيامِنا وصيامِ أهلِ الكتابِ ، أكلةُ السَّحورِ


“Perbezaan puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah dengan kita makan ketika sahur.” (HR al-Nasa’i)


4. Sahur juga menjemput doa para malaikat. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menjelaskan:


فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ


“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya mendoakan buat mereka yang bangun sahur.” (HR Ahmad)


Bayangkan andai kita menyedari bahawa perbuatan sunnah ini bukan sahaja mempersiapkan tubuh kita untuk melakukan ibadah, malah orang yang bersahur akan didoakan oleh Allah dan para malaikat! Maka apakah keberkatan yang lebih dicari berbanding reda Allah sendiri?


5. al-Imam Ibn Rajab menukilkan juga beberapa perkara yang menunjukkan akan keberkatan sahur seperti persiapan jiwa kita untuk bangun awal beribadah selain mempersiapkan kita untuk solat subuh berjemaah yang terkandung di dalamnya pahala yang tidak terhitung.


6. Oleh itu kita semua harusnya menyedari bahawa bersahur bukan sekadar makan dan minum tetapi persiapan diri untuk menyempurnakan ibadah puasa, ibadah yang Allah khususkan buat diriNya sendiri seperti yang disebutkan di dalam hadis.


7. Dapatkan buku 40 Hadis tentang Puasa dan Ramadan di sini:

https://s.shopee.com.my/7KipTIgepN 


Semoga Allah membimbing kita.



Dr. Ahmad Sanusi Azmi

FB: https://www.facebook.com/share/p/1BG6pH1rXW/

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi






Doa-doa Dalam Bulan Ramadan







========

1. Antara doa-doa yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadan ini ialah:


(1) Doa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada Saidatina Aisyah. Satu hari, Saidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah, andai sekiranya beliau bertemu dengan Lailatul Qadar, apa yang harus beliau lakukan. Lalu Rasulullah mengajarkan kepada Saidatina Aisyah agar membacakan doa ini:


اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي


Maksudnya: Ya Allah, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun dan suka untuk mengampunkan, maka ampunilah daku. (HR al-Tirmizi)


(2) Doa yang dibacakan oleh Saidina Abdullah bin Amru. Menurut Ibn Abi Mulaikah, Saidna Abdullah bin Amru akan membaca doa ini setiap kali ingin berbuka puasa iaitu:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي


Ya Allah, aku memohon dgn rahmatMu yang meliputi segala perkara agar mengampunkan dosa-dosaku. (HR Ibn Majah)


(3) Doa Rasulullah ketika berbuka puasa. Saidina Abdullah bin Umar pernah berkata: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila Baginda berbuka puasa, Baginda akan melafazkan:


ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ


Telah hilanglah dahaga dan telah basah urat-urat. Dan telah tetaplah pahala (diterima) dengan izin Allah. (HR Abu Daud)


(4) Amalkan juga doa yang digemari oleh Rasulullah ini. Menurut Saidina Anas, doa ini adalah antara doa yang paling banyak dibacakan oleh Rasulullah. Oleh yang demikian, amalkan juga doa ini dalam bulan Ramadan ini:


رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 


2. Dapatkan buku 40 Hadis tentang Puasa dan Ramadan di sini:

https://s.shopee.com.my/7KipTIgepN



Semoga Allah membimbing kita.



Dr. Ahmad Sanusi Azmi

FB:- https://www.facebook.com/share/p/19yLtMuf6K/

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi







 Siapakah Penunggang Agama Sebenar?




=====

1. Ada yang menyatakan bahawa mereka mengagumi Umar Abdul Aziz dalam perihal kecekapan urus tadbir dan integriti sehingga menjadikan beliau sebagai contoh ikutan. Namun, dalam urusan yang lain tidak pula mereka menuruti Umar Abdul Aziz. Adakah ini dinamakan penunggang agama yang sebenar?

2. Menurut Sheikh Muhammad Abu Zahrah, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah bertekad untuk melarang arak dan babi ke atas orang bukan Islam tetapi ditegur oleh al-Hasan al-Basri (Syariah al-Quran, 55). Sikap tegas Umar Abdul Aziz terhadap larangan babi ini tidak pula diikuti oleh mereka? Malah mereka mempertahankan babi pula.

3. Bahkan Umar al-Khattab pula pernah meminta agar dijauhkan kandang babi dari kawasan Muslim. Al-Imam Abdul Razak meriwayatkan:


كَتَبَ إِلَيْنَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: «لَا يُجَاوِرَنَّكُمْ خِنْزِيرٌ، وَلَا يُرْفَعْ فِيكُمْ صَلِيبٌ


“Umar al-Khattab pernah menulis kepada para gabenornya berpesan agar: Janganlah (kawasan) kamu berdekatan dengan babi dan tidak diangkat lambang salib dalam kalangan kamu.” (Musannaf Abdul Razzaq, no: 10003)


4. Begitu juga Umar Umar Abdul Aziz mengarahkan orang kafir supaya tidak menzahirkan aktiviti arak mereka. al-Imam al-Bayhaqi ketika menghuraikan tentang syarat-syarat ahli zimmah (bukan Islam) yang tinggal bersama Muslim, beliau menyebutkan:


كَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ: أَلَّا يُظْهِرُوا الْخَمْرَ


“Umar Abdul Aziz pernah menulis surat supaya majlis arak (orang bukan Islam) tidak dizahirkan” (tidak diheboh, didedah dan berlaku secara tertutup). (al-Bayhaqi, Ma’rifa al-Sunan wa al-Athar, 13/383).


5. Hari ini kita melihat mereka bukan sekadar mempertahankan babi dan arak, malah melabelkan bodoh pula bagi mereka yang bersikap tegas seperti Umar Abdul Aziz ini. Sekiranya Umar Abdul Aziz masih hidup, apakah mereka akan melabelkan bodoh kepada beliau?


6. Lebih malang lagi apabila ada dalam kalangan kaum Muslimin sendiri yang mendukung dan menyanjungi mereka sedangkan Allah mencela golongan yang lebih mengutamakan orang-orang kafir daripada orang beriman itu sendiri. Firman Allah:


الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا


(Mereka) orang-orang (munafik) mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (al-Nisa: 139)

Semoga Allah membimbing kita.


 - Dr. Ahmad Sanusi Azmi




Gambar





Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi ﷺ




=======

1. Pada hari jumaat ini marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah ﷺ. Mereka yang berselawat akan diampunkan dosanya, diangkat darjat, dipermudahkan doanya serta dekat dengan Rasulullah ﷺ pada hari kiamat nanti.


2. Perkara ini dijelaskan di dalam beberapa hadis. Antaranya sabda Rasulullah ﷺ:


مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ


Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat. (HR al-Nasa’i - dinilai Sahih)


3. Selawat turut akan mempermudahkan doa seseorang itu untuk dimakbulkan. Sabda Rasulullah ﷺ:


كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” (HR al-Tabrani - perawinya siqah)


4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah ﷺ:


أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً


“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (HR al-Tirmizi - dinilai Hasan)


Semoga Allah membimbing kita.


Telegram Dr. Ahmad Sanusi Azmi


 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat




==========

1. Sekiranya anda ingin mendapat doa daripada para malaikat, maka jadilah sebahagian daripada golongan yang disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ ini iaitu:


2. Golongan yang bersedekah. Orang yang bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ: 

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا

“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (HR al-Bukhari)


3. Golongan yang menunggu waktu solat. Golongan ini sangat istimewa di sisi Allah kerana seakan-akan sentiasa dia rindu untuk bertemu dengan Allah di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:

المَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ، مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ 

“Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya Allah ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”(HR al-Tirmizi)


4. Golongan yang mengajarkan kebaikan. Golongan ini amat istimewa di sisi Allah. Ini kerana bukan sahaja para malaikat mendoakan mereka, Allah yang Maha Agung serta penduduk langit dan bumi mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan. Sabda Rasulullah ﷺ:

انَّ اللَّهَ وملائِكتَهُ وأَهلَ السَّماواتِ والأرضِ حتَّى النَّمْلةَ في جُحْرِها وحتَّى الحوتَ - ليُصلُّونَ على معلِّمِ النَّاسِ الخيرَ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (HR al-Tirmizi)


5. Golongan yang menziarahi kerana Allah. Rasulullah ﷺ turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit, atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana Allah, maka dia akan memperoleh doa dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (HR al-Tirmizi)


6. Rebutlah peluang untuk menjadi orang yang di doakan oleh Allah dan para malaikatNya ini. 

Semoga Allah membimbing kita.






Sumber:

Telegram: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Facebook Dr. Ahmad Sanusi












Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top