Terima kasih Tuhan untuk setahun yang telah banyak mengajar. Jatuh, bangun, perkara lalu dan perkara baru semuanya berkunjung dengan begitu berhikmah.
Kenangan manis 2017
- Terlibat dengan antologi bersama penulis hebat dan penulis kegemaran melalui buku Bianglala Melukis Syurga (puisi) dan Konfesi(cerpen). Ya, ada perkara yang kadangkala di luar jangkaan kita. Alhamdulillah.
- Berpeluang bersama-sama menulis dengan komuniti iluvislam yang bertahun dulu saya hanya mampu memerhatinya sahaja. Jika ada masa, jenguk laman web mereka, ada penulisan saya di situ.
- Bekerjasama (beriklan) dengan zalora dan traveloka di blogspot (mereka berbincang melalui e-mel).
- Berjumpa sahabat internet yang manis. Sanggup datang sekeluarga jauh jauh ke rumah untuk beraya. Terima kasih. Sewaktu saya menulis ini, tempat beliau sekeluarga sedang hujan, diharap agar semuanya akan baik-baik sahaja. Apapun dugaan, moga diberi kekuatan hendaknya. Insya-Allah.
- Berbaik dan berhubung semula dengan sebilangan teman lama.
Kenangan pahit 2017
- Atuk tersayang meninggal dunia pada 25 Disember 2017. Secara rasminya saya sudah tak ada atuk dan nenek kandung dedua belah (belah mak mahupun abah). Yang tinggal adalah atuk dan nenek saudara sahaja. Moga sihat sentiasa semuanya.
Untuk tahun yang bakal datang, moga lebih baik dan bersinar. Kali ini, diharap rasa tenang dan sabar masih sudi memeluk. Insya-Allah.
Terima Kasih 2017 yang semua telah, masih dan akan ada. Alhamdulillah.
Saya mula mengenali terfaktab (TERas FAKulti TABloid) melalui blog mereka hampir enam tahun yang lalu. Cara mereka ini menulis tentang cinta dan kehidupan agak segar dan bersahaja. Seakan sedang mendengar seorang (atau sekumpulan) kawan bercerita. Sewaktu itu, apabila tahu mereka nak keluar kitab (buku) terfaktab, saya teruja dan memang saya mahu memilikinya.
Masa pun berlalu. Ramai di antara penulisnya yang saya ikuti juga di twitter dan juga blog peribadi. Malah saya pernah beberapa kali membeli buku melalui Terfaktab Media ini. Antara penulis yang saya gemar adalah Elena Reeney, Penulis Sahaja, Alexia Aqram, M.Faiz Syahmi, TheBentPencil, BraderLeplep, Bukan Penggoda, Shahirah Khairudin dan ya, boleh dikatakan hampir semuanya. Malahan, (melalui) syarikat mereka bermulanya saya membeli dan memiliki buku penulisan Cik Srikandi dan Hamka Kereta Mayat (yang sebelumnya perkongsian mereka hanya saya baca secara digital). Kemudian, saya lihat beberapa nama baru yang muncul dalam senarai buku terbitan Terfaktab Media. Ya, Terfaktab Media bukan saja menerbitkan buku berkaitan cinta, malah juga hal-hal dan isu ilmiah lain dengan santai dan lebih bersahaja.
Hakikatnya perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Mengetahui Terfaktab Media akan berhenti menerbitkan buku pada November 2017 yang lalu (setelah 7 tahun), ia sesuatu yang menyedihkan. Lebih kepada terkejut sebenarnya. Namun dalam hidup ini, ada perkara yang terpaksa dilakukan.
Diharap agar semua warga Terfaktab akan terus berjaya dalam apa juga yang dilakukan. Terima kasih untuk setiap penulisan indah dan buku-buku yang telah diterbitkan.
Selamat tinggal Terfaktab.
"It's time to say goodbye, but I think goodbyes are sad and I'd much rather say hello. Hello to a new adventure." - Ernie Harwell
"Sayang bola! Sayang bola!" Laungan ini dalam perlawanan bola jaring mengingatkan saya pada sebuah kenangan. Zaman sekolah. Hampir semua kita ini ada kenangan manis, lucu, sedih dan gila-gila. Masa muda dan remaja banyak perkara yang kita terjah dan teruja melakukannya tanpa memikirkan sebab dan akibat. Namun itu semua kenangan yang mendewasakan.
Zaman sekolah menengah; yang mana tengah rancak 'berangkat-angkat'. Sejak dahulu saya memang sangat meminati Siti Nordiana (Nana). Jadi, semasa saya diberi peluang mewakili sekolah dalam acara badminton, saya begitu mahu mendekati pemain bola jaring sekolah seorang ini (persis Nana waktu remaja wajahnya) cukup saya gelarkannya Kak A. Muka dia buat saya rasa Nana dekat sahaja (tak dapat jumpa Nana, muka macam dia pun okay. Haha. Punyalah minat). Dan Kak A ni memang cekap dalam setiap perlawanan. Bersemangat!
Entah bagaimana tidak lama selepas itu, berlaku sedikit salah faham. Saya terkena tempiasnya. Saya dimarahi oleh Kak A. Mungkin ada salah saya juga. Sejak itu dia dingin dengan saya. Kami dah tak saling bercakap. Sebagai "adiknya" ketika itu, saya kecewalah sedikit. Musnah rasa seronok nak ada kakak atlet yang muka macam artis (mungkin niat asal saya tak begitu ikhlas sewaktu mahu kenal dengan dia dahulu). Padan muka saya.
Namun benarlah yang dikata, setiap kehilangan akan diganti dengan perkara yang lain; yang pastinya lebih baik. Ya. Ada seorang kakak (Kak Z) yang muka persis Misha Omar nak berkawan pula dengan saya. Allah. Punyalah seronok rasa nak terbang, almaklumlah budak lagi waktu tu. Mestilah seronok ada kakak angkat baru (Hahaha. Lucu pula bila ingat balik). Cantik tau kak Z ni. Bijak pula tu. Dan alhamdulillah kini setelah bertahun-tahun, kami masih lagi kekal berhubung.
Kak Z ni masa sekolah sangat cemerlang dalam pelajaran, dan kini saya lihat dia begitu cemerlang dalam kehidupan; kerjaya dan keluarganya (kini dia mempunyai ramai anak-anak yang comel). Alhamdulillah. Jangan tak tahu, dia juga pemain bola jaring sekolah (satu team dengan kak A) dahulu dan aktif orangnya.
Begitulah. Tuhan tak beri apa kita nak, tapi Dia beri apa yang kita perlu. Kak Z bukan saja menginspirasi orangnya dan ada membantu saya dalam pelajaran, namun beri saya nasihat yang sampai sekarang saya ingat;
"Hidup ni jangan manja sangat dengan orang. Jangan harapkan orang untuk selalu ada. Kita kena belajar berdikari." - Kak Z.
Untuk Kak A; maaf untuk semua perkara lalu, buat Kak Z; terima kasih untuk semuanya dan buat kawan-kawan kakak berdua, moga terus berjaya dalam apapun yang kalian lakukan! Doa saya sentiasa ada untuk kakak semua.
Sekian cerita tentang kenangan. Jauh pula terimbaunya. Sekali lagi tahniah untuk pasukan bola jaring Malaysia. Seronok lihat pasukan kita main. Laju dan penuh semangat. Tahniah juga untuk semua atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Sea KL 2017 kali ini.
Alhamdulillah ala kulli nikmah. Malaysia memang boleh! Insya-Allah. ❤
Anem, ex-SAMJ
21 Ogos 2017.
Kenangan ini ditulis sehari selepas kemenangan Malaysia dalam sukan bola jaring dan ragbi di Sukan Sea yang lalu.
Ini adalah pengalaman saya mengambil lesen D (kereta). Sebelum kita sentuh format baru (sekarang) yang saya ada sertakan di bawah, saya ingin kongsikan juga pengalaman saya ambil lesen kereta sekitar tahun 2010. Tak jauh beza, samanya ada ujian komputer, dan ujian jalan raya dan bukit. Cuma sekarang lain sikit sebab ada RPK, RSM, S, Z semua itu. Oh ya, sebelum itu kalau tips atau cara saya kongsi di sini lain apa anda belajar, jangan ikut sangat. Tanya cikgu dulu, ikut cara cikgu anda. Baiklah kita mulakan.
PENGALAMAN SAYA
Saya ambil masa 2 tahun dan berbelas jam belajar dalam usaha untuk mendapatkan lesen P. Saya sampai melibatkan 2 sekolah memandu. 2 cikgu. Beberapa kali test JPJ hanya kerana sayagagal bahagian bukit 5 kali! Setiap kali ulang, akan ambil pra-ujian lagi, dan setiap kali itu abah suruh belajar lagi (pastinya akan perlukan duit lagi). Ya, itu bahagian sedih yang tak boleh saya lupakan. Banyak perlu dikeluarkan untuk saya. Mujur lulus juga akhirnya. Alhamdulillah. Terima kasih untuk mak dan abah serta semua cikgu-cikgu yang sabar dengan saya. Terutama Institut Memandu Intan (IMI), Teluk Intan.
Kenapa sampai 2 kali? Sebab kebetulan keluarga saya berpindah tempat tinggal. Selangor ke Perak. Setelah gagal di Selangor, berbulan juga saya mula ambil kelas semula di Perak. Nak dapat keyakinan balik. Gitu.
Semasa di Selangor, cikgu yang mengajarnya adalah lelaki muda yang sangat tegas dan yakin dengan saya. Dia pernah cerita, kepentingan dan semangat seorang makcik ini, yang dah kehilangan suami baru mula belajar bawa kereta, dia ulang 50 kali ujian! Dan akhirnya berjaya. Ada dia cerita lain, ada warga emas sekali saja lulus ujian jalan raya, sebab kesungguhannya mahu lulus.
Memang dia sangat suka bercerita. Semangat-semangat itu memang saya ambil, cuma dekat bahagian bukit saya gugup pula. Allah. Punya yakin jejaka muda ini, dia siap tertidur (saya rasa dia acah saja) masa perjalanan saya dari Selayang ke Puchong (dari rumah ke sekolah memandu) dahlah waktu tu memang pengalaman bawa kereta tak berapa nak ada (Abah pernah ajar saya dengan sabar, namun tetaplah saya tak mahir) selain kelemahan saya adalah mengingat jalan. Keyakinan cikgu muda tu antara semangat buat saya lulus di jalan raya! (Jalan raya sajalah tapi..hmm)
Di Perak, saya diajar cikgu lelaki lebih kurang usia abah saya, sangat lembut, tenang dan penyabar. Dia ajar macam anak-anak. Alhamdulillah untuk kedua-dua peluang berguru dengan mereka tersebut.
Tapi seperti yang kita tahu, gagal salah satu bahagian TIDAK akan gagal semua, cuma saya gagal bukit di Selangor, saya kena ULANG sebab dah berbulan, baru saya mula balik ambil lesen ujian di Perak. Apapun alhamdulillah akhirnya berjaya juga.
Perkongsian @imraaannnnn melaluitwitter ini bagus. Cuma untuk rekod: saya dapat anggota JPJ perempuan, alhamdulillah beliau okay! Boleh klik lanjut pada perkongsian beliau di twitter untuk baca mereka pendapat yang lain juga.
Tips nak lulus test JPJ :
- kena confident
- beri salam masa masuk kereta
- jadi peramah dengan JPJ tu
- kau layan je apa JPJ tu cakap and jangan lagak pandai
- bawak kereta kena smooth je jngn gelabah
Kalau kau dapat JPJ perempuan, nasiblah sebab peluang kau nak lulus tu tipis
Format masa zaman saya dulu: Hadiri ceramah + Ujian berkomputer (untuk dapat lesen L) + Ujian jalan raya: bukit, litar & 3 penjuru (Lulus baru dapat lesen P)
Format sekarang: Hadiri ceramah + Ujian berkomputer (untuk dapat lesen L) + RPK, RSM, Jalan raya: (Bukit, Parking, Sisi 3, Z & S). - (Lulus baru dapat lesen P)
(Mungkin nota anda tak sama dengan senarai seperti dalam gambar di bawah, rujuk pada nota asal anda.)
Nota RPK (Klik gambar untuk lebih jelas)
Nota RSM Kereta (Klik gambar untuk lebih jelas)
Nah! Ini blog yang berguna untuk tips, soalan dan apa sahaja berkaitan lesen memandu oleh Cikgu Yap: http://driving-school.com.my
Daftar, ceramah & Ujian berkomputer
Saya daftar dengan sekolah memandu itu sendiri. KPP 01: kenalah dengar ceramah (dengar ja baik-baik, dapat penceramah lucu, memang seronok, tak ngantuk). Seronok juga jika jumpa kawan baru. Dan kemudian ujian berkomputer (ini kalau baca, ingat dan faham mudah saja. Ulang saja banyak kali baca, cuba fahamkan, sebut (sendiri, bagi ingat), buat latihan, insya-Allah boleh). Soalan ujian ini selalu berulang, cuma kena teliti berbalik-baliknya itu. Terutama bab sistem kejara itu. Pusing-pusing tang tu juga.
Kelas memandu
Adalah normal kalau dapat cikgu yang bising, berleter atau sesekali marah. Untuk kepentingan kita juga. Dan matlamatnya sama dengan kita, nak kita lulus. Ya, kita memang ada hak nak tukar, jadual pun, cuma kalau boleh belajar terima arahan dulu. Dengar cakap cikgu ni berkat. Macam saya, memang cikgu itu akan ambil dan hantar ke tempat belajar. Balik pun. Pengalaman saya, cikgu itu hantar semula ke tempat kerja (sebab saya sudah bekerja waktu itu). Tiada masalah. Mereka baik-baik saja. Alhamdulillah untuk semuanya.
Cikgu suka sebut benda yang pelajar lain selalu gagal. Cikgu pertama dulu dia suka sebut:
"Kita kena perasan apa berlaku di sekeliling kita. Depan. Belakang. Tepi. Nampak tak orang depan buat apa? Kalau dia brek (lampu brek mereka nyala), kita brek / sedia nak brek. Sedia nak brek maksudnya perlahankan kereta."
Cikgu kedua saya pula, dia tahu kelemahan saya bukit, itulah latihan dia duk suruh saya ulang-ulang. Pusing-pusing. Dia siap tanya saya boleh atau tak. Penyabar betul.
Kalau rasa tak yakin atau tak cukup kelas, mohonlah tambah (kena tambah duit juga). Tapi lebih baik tambah kelas, berbanding tak cukup latihan dan gagal. Sakitnya tu di sini (daripada pengalaman saya ni).
QT1 (Latihan amali / pra-ujian)
Kena kalau orang dah biasa bawa, mungkin dia tak ambil pun. Jimat. QT1 Cikgu akan menilai kita ala-ala ujian sebenar. Kira trial namanya. Saya ambil dan waktu itulah kita tahu kelemahan kita apa. Mungkin kita gopoh sangat, ada terlupa atau nervous sangat. Paling penting jangan over confident, elakkan riak. Insya-Allah okay punya!
Nota:
*Sebelum menghidupkan enjin pastikan gear kereta berada dalam keadaan free gear. Kemudian hidupkan enjin.
*Jangan amalkan pengunaan gear 2 semasa kereta baru nak bergerak atau bergerak terlalu perlahan. Boleh juga guna tapi lining clutch cepat rosak sebab masa kereta begerak terlalu perlahan anda guna gear 2 anda terpaksa guna clutch bagi mengelakkan mati enjin. Tips naik bukit:
1. Kena pandai seimbangkan minyak dan cluctch. Sampai bukit, minyak kene tekan sampai 2000 rpm atau jarum meter tu at least kat angka 3, baru turunkan handbrake, dan bergeraklah perlahan-lahan.
Atau- Naik bukit sesuai guna gear apa? Paling sesuai adalah gear 3 tapi kena pecut dari bawahlah, bila RPM dah drop tukar ke gear 2, bila makin semput sebab mendaki bukit guna enjin kancil boleh drop ke gear 1. (Antara sumber: Cara memandu kereta manual)
Ujian JPJ
Bermulalah saat-saat mendebarkan, daftar kehadiran, ambil nombor giliran. Dia akan panggil kita. Jadi kita bersedialah untuk menaiki kenderaan. Kenalkan diri dan kena check kereta. (Masa saya dulu tiada RPK, jadi kami terus masuk kereta dan sebut satu-satu macam yang dipanggil RSM sekarang ni.)
Pengalaman saya masa dengan JPJ Lelaki, encik ini lebih tenang dan sukar diduga. Berbanding JPJ perempuan, dia selesa cara pemanduan atau tak, dia akan nampak di muka. Saya selalu diperdengarkan yang pegawai lelaki kita kena ambil hatilah, perempuan kadang garanglah. Tapi dengan saya alhamdulillah, encik itu sangat profesional. Yang perempuan pun sama, malah bertolak-ansur pula memberi markah. Saya tak mahir berbual, jadi dalam kereta memang senyap sunyi sahaja. Cukuplah kita menghulurkan senyum dan menghormati mereka.
Berdebar juga kalau dia tiba-tiba disuruh berhenti tepi, maksudnya kita gagal. Tapi alhamdulillah selesai. Bila teringat balik, macam robot pun ada! Tegak dan buat saja macam dalam kelas memandu, bayangkan punya berdebar! Haha.
Masa parking saya memang ambil masa lama, terutama bab nak pusing stereng berapa darjah, mujurlah ingat tapi tetaplah lama. Pengawai yang bertugas memang baik hati. Saya lebih beberapa saat, dia pertimbangkan lagi. Sedikit senang mestilah 3 penjuru. Dekat bukit saya gagal sebab asyik melebihi garisan belakang bila berundur. Kerana saya lambat tekan minyak. Tak yakin agaknya. Padahal kaki kena pandai balancekan antara clutch dan minyak. Bagi bunyi enjin sedap. Ada yang saya gagal bukit, sebab mati enjin. Kena relaks, tapi itu yang saya kurang waktu itu. Kalau tak relaks dan fokus kita akan mudah lepaskan kaki, itu kena pandai kawal emosi.
Apapun yang penting yakin. Litar tak sama dengan ujian komputer, mana boleh guna teknik hafaz ni.
Selepas selesai, kita akan ke litar. Jangan lupa, turun kereta pun ada etikanya. Jangan lepas selesai semua terus ja keluar dahlah. Cakap terima kasih dekat pegawai.
REZEKI
Akhirnya kata, rezeki itu kita semua ada. Cuma bahagian saja berbeza. tiada jalan mudah untuk berjaya dan diredhai-Nya. Jika kita lulus, bersyukurlah dan jadilah pemandu yang baik. Alhamdulillah. Dan jika gagal, jangan putus asa kerana kita manusia yang tak akan mudah mengalah mencuba. Kadangkala lambat sedikit, bukannya belum berjaya. Jadi sabar. Cuba lagi. Adalah tu hikmahnya. Selamat maju jaya dan semoga berjaya!
Perkongsian:
KPP02: Mengenal kereta iaitu belajar RPK (Rutin Pemeriksaan Kenderaan) & RSM(Rutin Selamat Memandu)
Ujian kpp 02: Litar Kereta:
Link: Pengalaman-pengalaman menarik yang boleh dibaca:
- Praktikal bahagian 2 - PPC AMSA
Tips lulus ujian memandu JPJ / ambil lesen: - Baca untuk bahagian kena ingat, jangan hafal, baca sampai habis dan fahamkan. Jika boleh buat latihan sendiri dulu di rumah (berlatih): kalau sekarang RPK & RSM tu, haa buat. Berlatih dulu.
- Kalau memandu, belajar sungguh, fokus cikgu ajar insya-Allah berkat. Jangan lupa baca doa penerang hati sebelum ujian dan yakin dengan diri.
- Minta restu mak ayah / ahli keluarga. Jangan baca atau dengar banyak pengalaman gagal (maaf kalau dah terbaca ni), kalau baca pun jangan cepat jatuh, sebab pengalaman kita semua berbeza sebab kelebihan kita dan cikgu mengajar kita lain-lain. Kita pasti ada kekuatan kita sendiri. Kadang orang cuma usik saja, biarlah. Yang penting apa dalam hati kita. Kita nak berjaya.
- Buat yang terbaik dan jangan terlalu yakin namun jangan terlalu takut. Tiada apa yang nak ditakutkan. Di jalan, berserahlah. Ahli keluarga kita dan kawan-kawan mampu bawa kereta dengan baik. Mesti kita juga boleh!
- Dan pegawai JPJ tidaklah menakutkan. Muka acah garang dan bagi kita serius. Namun mereka tak makan orang. Saja tu. Cukuplah kita menghormati mereka. Tenang-tenang saja, insya-Allah boleh. Mulakan dengan bismillah.
Akhir kata, mesti seronok nanti dapat bawa kereta sendiri dan tak susahkan sesiapakan? Boleh bawa yang tersayang jalan-jalan. Jadi, bersemangatlah. Insya-Allah boleh! Jika tidak, jangan pernah berhenti jadi berani! Cubalah sampai berjaya nanti.
Kalau tips atau cara saya kongsi di sini lain apa anda belajar, jangan ikut sangat. Tanya cikgu dulu, ikut cara cikgu anda. Sekian, selamat berjuang semuanya! Moga dipermudahkan. Insya-Allah.
Hmm saya ni, pernah gagal pun nak bagi tips, tapi itulah kalau boleh kita nak semua orang lulus dan tak ulang silap sama, tenang-tenang saja, insya-Allah boleh tu. :)
Alhamdulillah untuk semuanya. Tahun 2016 menyaksikan kedatangan orang dan keadaan baru dalam hidup sebahagian kita dan juga kehilangan dalam hidup sebahagian yang lain. 2016 juga banyak mengajar dan memberi pelbagai kenangan tersendiri kepada saya.
Dalam banyak hal, minat & semangat sahaja tidak cukup. Perlu ada ilmu. Mungkin dalam perkara yang kita tak minat itu, wujudnya kelebihan kita. Saya tak pernah terfikir saya akan kembali menulis cerpen misalnya. Sebab saya dah hilang minat menulis cerita sejak habis sekolah dulu. Alhamdulillah. Tahun ini cerpen saya diizin-Nya tersiar di majalah & terbit dalam beberapa buah antologi. Yang pernah beli, terima kasih.
2016 juga mengajar saya erti sederhana sebenar. Betapa jangan terlalu mudah percaya. Dan jangan pula tidak langsung memberi peluang. Diri kita ini yang paling memerlukan banyak peluang. Kena memaafkan diri & yakin kita ini ada kelebihan (namun masih perlu merendah hati).
Tahun ini juga masih diizinkan Tuhan untuk saya mengenali ramai manusia baik dan hebat-hebat. Ada yang masih kekal dan ada yang baru kenal.
2016 juga memberi definisi tersendiri tentang pengorbanan. Perubahan tak akan datang tanpa melakukan sesuatu yang besar. Sukar tapi boleh. Kemampuan itu wujud dalam diri setiap kita. Cuma perlu letak rasa yakin bahawa kita boleh jika cuba. Terlalu banyak alasan mampu melemahkan.
Apapun yang kita lalui, tidak seharusnya buat kita mengalah untuk menghadapi hari depan. Perkara lepas, untuk mengajar & lebih menguatkan.
Kita yang menentukan apa kita bakal jadi. Namun tetap semuanya bergantung pada keizinan Dia. Sekian. Selamat maju jaya untuk 2017!
Setiap hari ulang tahun saya, abah pasti berikan saya dan adik sesuatu. Walau apa bentuk sekalipun. Paling selalu ada; kek. Jadi apabila dizinkan Tuhan, saya mula bekerja, giliran saya pula mahu belikan abah sesuatu (walaupun dia tidak pernah minta apa-apa).
Jadi beberapa hari sebelum hari lahirnya, saya meminta emak meneman serta memilih hadiah untuk abah. Antara cadangan dalam kepala, saya mahu membelinya baju. Dan emak pastinya lebih mengetahui citarasa suaminya. Lantas kami memilih beberapa helai, dan akhirnya kami sepakat memilih baju mengikut warna kegemarannya; iaitu biru.
Malam hari lahirnya (23 Julai), saya pun melihat dia sedang menyiapkan kerjanya, dengan malu-malu saya menghulurkan baju itu pada dia.
“Selamat hari jadi, bah.”
Mukanya penuh rasa tak sangka. Dia ambil. Lantas mengucapkan terima kasih.
“Mesti mahalkan ni, long?”
“Biasa ja bah.” Saya senyum. Diambilnya, lantas dilihat-lihat dengan teliti. Dan setelah itu baju itu menjadi salah satu baju kegemarannya. Kerap dia pakai jika ingin pergi ke mana-mana.
***
Satu hari.
Menurut mak, Abah mahu keluar rumah semula hari tu, ada urusan. Kebiasaannya Abah seorang yang teliti orangnya. Dia tidak akan memakai sesuatu baju terlalu lama dalam tempoh sehari. Namun hari itu abah mahu kekal memakai baju yang sama. Dia kelihatan penat dan tidak berapa sihat (sempat emak mengurutnya sebelum keluar rumah), namun dia tetap bersungguh untuk keluar dan menyiapkan semua tugasannya.
Dan pada hari itu juga, abah menghembuskan nafas terakhir di hospital. Pada mulanya dia pengsan ketika berurusan di bank (urusan itu belum sempat pun selesai) sebelum dihantar ke sana. Sejuk katanya walaupun dirinya berpeluh (seperti diceritakan oleh beberapa kakitangan). Dia pergi ke sana dengan memakai baju biru itu. Baju kegemarannya. Juga baju pemberian anaknya. Baju yang akhirnya terpaksa dipotong doktor untuk diperiksa jantungnya. Sudahnya tiada lagu baju biru itu untuk kami sebagai kenangan buat ditatap peluk.
***
Kini, walaupun abah telah pergi, namun abah sentiasa hidup dalam hati along, hati mak dan hati adik. Hati kami semua. Semoga terus dirahmati dan dosa abah diampuni.
“Kita ini adalah seorang pengembara yang sedang berjalan dan akan sampai ke penghujungnya.” – Baharudin Husain; dalam kenangan.
Terima kasih untuk semuanya, abah. Moga terus dirahmati Tuhan.
Membaca kisah mengenai hari raya; hal kerja rumah, penginapan, pembahagian duit raya, jalan sesak dan pertembungan soalan-jawapan popular di hari raya kebelakangan ini, benar-benar membuatkan saya rindu dan teringat satu kenangan raya sewaktu kecil-kecil dahulu. Dengan seadanya, kami dulu begitu aktif mengunjungi rumah-rumah di kampung. Tanpa segan dan takut dengan pelbagai perkara. Bukan hendak apa sangat, namun seronok berjalan bersama kawan-kawan.
Keadaan sekarang mungkin ada yang berubah, namun nikmat dan rasa seronok hari raya itu tetap indah. Berikut adalah salah satu kenangan waktu kecil (pengalaman sebenar) yang menetap dalam ingatan. Namun digarap (sedikit diubah untuk disesuaikan) menjadi sebuah nukilan pendek.
***
"Rumah ni kau rasa boleh tak?" Nana bertanya kepada Leman, Ali dan Ipin. Ani yang dibonceng di belakang basikalnya diam sahaja. Kelihatan kanak-kanak lelaki bertiga itu berbincang dalam bahasa dan isyarat sendiri sebelum setuju untuk masuk bersama.
"Assalamualaikum.. kami datang nak raya." Ali memberi salam dengan kuat sekali. Kemudian sekali lagi mereka beramai-ramai memberi salam. mereka tidak mengetuk pintu kerana tidak mahu mengganggu. Cukuplah salam sebagai isyarat.
"Waalaikummussalam." Seorang nenek membuka pintu. Wajarlah agak terlewat. Kerana dia kelihatan perlahan-perlahan pergerakannya.
“Ramainya! Masuklah cu. Duduk minum.” Nenek itu menjemput dengan mata yang bercahaya. Senyumnya panjang.
“Dari mana semua ni?” Nenek itu kembali dengan beberapa coklat dan keropok di tangan dari arah dapur. Dan kelihatan seorang lelaki tua tersenyum sama memandang mereka semua.
“Dekat-dekat sini ja, nek!”
“Kampung sebelah!”
“Lorong sana!” Seorang demi seorang menjawab, tak nak kalah. Nenek dan atok ketawa kecil; seronok melihat gelagat-gelagat anak kecil sebaya cucu mereka ini tergopoh-gopoh makan. Selepas satu, satu balang dibuka. Kemudian asyik menambah air. Tak cukup air merah, mereka minum air berwarna oren pula. Gaya macam lapar sungguh, sedangkan itu bukan rumah pertama mereka berkunjung pada hari tersebut.
“Cucu atok dan nenek lebih kurang umur cucu semua ni,” Atok bersuara setelah sekian lama hanya memandang sahaja.
“Mereka mana?” Nana bertanya; jujur.
“Belum balik sini lagi.” Atok menjawab perlahan. Kelihatan nenek memandang jauh ke arah suaminya.
“Nanti baliklah tu!” Ali spontan menjawab. Kelihatan atok dan nenek kembali senyum. Habis saja sesi soal-jawab dan berbual dengan atok dan nenek yang suka bercerita itu, mereka berlima pun memohon untuk pulang.
“Kami balik dulu ya, nek!” Leman memohon izin untuk pulang. Masing-masing bersalam sambil mencium tangan mereka berdua; sayu.
“Maafkan Nek ya cu, nenek tak ada duit raya nak bagi.” Jawapan nenek membuatkan mereka berlima mendongak memandang wajah tua itu.
“Kami datang nak raya ja nek! Kuih nenek sedap.”
“Kerepek pun!” Ayat Nana tadi disambung cepat oleh Ali.
“Terima kasih Nek, Atok.” Ipin berkata mewakili kawan-kawannya.
"Sama-sama. Bila-bila datang lagi ya, Cu." Nenek mengajak.
"Insya-Allah nek, atok." Nana mewakili kawan-kawannya.
Setelah bersalaman dan memeluk tuan rumah yang begitu istimewa itu, mereka kembali mengayuh basikal.
“Kau rasa anak dan cucu atok dan nenek bila balik?” Tanya Nana sambil mengira bilangan hari raya yang sudah beberapa hari berlalu.
“Nanti baliklah tu. Kita doalah sama-sama.” Leman menjawab selamba sambil mereka semua kembali sambung untuk beraya. Mencari rumah-rumah yang sudi menerima dengan hati terbuka. Namun tidak boleh berlama, kerana hari sudah menjelang senja.
***
Kenangan sungguh. Untuk rindu yang tidak berjawab, kita doakanlah.