Showing posts with label kisah benar. Show all posts
Showing posts with label kisah benar. Show all posts


Dengan adanya media sosial, semakin banyak perkongsian, pendapat dan luahan yang dapat kita baca. Perkembangan semasa begitu cepat tersebar. Terpulang pada kita mahu percaya atau tidak. Mahu terima atau enggan. Kebelakangan ini tiga perkara ini begitu diperkatakan. Jadi saya memilih ruangan ini untuk memperkatakannya sedikit sahaja.

Drama Andainya Takdir di TV3

Saya rasa ramai menontontonnya. Sehingga menjadi bual mulut (percakapan) ramai dan trending di twitter. Adaptasi kisah benar, dan dilakonankan dengan penuh jiwa oleh para pelakonnya, cerita yang mengisahkan lelaki yang mempunyai cemburu melampau dan suka cari sendiri alasan pasangannya curang yang sebenarnya tiada (dinamakan: othello syndrome), dan isteri yang bertahan walaupun begitu teruk dibelasah kerana rasa sayang dan percaya masih ada harapan (dinamakan: stockholm syndrome). Lebih menarik emosi penonton adalah orang di sekitar watak itu. Sikap yang terlalu menyibuk hal orang sehingga tak perasan hal sendiri. Dan budaya menghasut (batu api) dan mengumpat yang mampu menggugat masyarakat sebenarnya. Kisah ini begitu realiti dan asli. Mungkin kerana itu ia berjaya menarik ramai mengikuti perkembangannya.

Antara pelakon dalam cerita ini adalah Syukri Yahaya, Nina Iskandar, Balqis, Sheila Mambo dan ramai lagi.

Klik untuk: Menonton andainya takdir online

- Antara pendapat yang menarik:


Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni. Hadits ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no:3289).

Isu liberal: tudung dan wuduk 

Tiba-tiba sahaja isu tudung dibangkitkan. Hujah tentang aurat dan tudung boleh dibaca di facebook Firdaus Wong Wai Hung & Ulasan saudara Muhammad Yusof.

Wuduk pula memang banyak sangat air membazir, namun sunnah tiga kali untuk meratakan anggota badan yang berkenaan. Isunya kena atau tidak. Ya, sekali sudah bersih cukup, namun lebih menyakinkan dan tiga kali Nabi buat, kita ikut dapat pahala insya-Allah.


Liberal bermaksud menekankan hak peribadi dan kesamarataan peluang. Namun bagi fahaman liberal barat dan sesetengah pejuang liberalisme, ia mungkin berbeza. Malah liberalisme mempunyai aliran-aliran yang pelbagai. Manakala islam Liberal adalah satu fahaman sesat yang berpunca dari sifat tidak yakin diri ,merasa rendah diri (inferiority complex) dan mengagung-agungkan gaya pemikiran Barat oleh segolongan orang Islam. (Rujuk: https://fastnote.wordpress.com).
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(QS. Al-Maaidah (Al-Maidah) [5] : ayat 87).

Kes buli

Kes Zulfarhan dan T. Nhaveen begitu menyentuh emosi kita. Buli, begitu menjadi-jadi kebelakangan ini. Buli bermaksud: mengasari orang lemah dengan tujuan atau maksud menunjukkan kekuatan masing-masing.

Kes Zulfarhan Osman: Pada awal Jun lalu dilaporkan  jenazah penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dipercayai akibat didera (dipercayai dengan seterika), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. (Sumber)

Update Terkini: 
Lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, UPNM, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membunuh pegawai kadet laut universiti itu, Mei lalu. Seorang lagi penuntut UPNM didakwa bersubahat membunuh mangsa, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik universiti itu. Kes ini akan disebut semula pada 14 Ogos 2017. (Sumber)

Kes T. Nhaveen: Nhaveen dilaporkan dipukul oleh sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town. Remaja itu dipukul sehingga menyebabkan dia mengalami mati otak dan pemeriksaan hospital mendapati duburnya turut terkoyak dipercayai akibat kemasukan objek keras. Sewaktu kejadian, beliau bersama rakannya, namun rakannya cedera dan sempat melarikan diri.

Update Terkini:
Empat lelaki termasuk dua daripadanya remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret George Town, hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, T. Nhaveen, 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid. (Sumber)

*****

Moga dipermudahkan buat mereka yang diuji. Dan biar nanti jawapan terungkai. Insya-Allah.

Moga kita semua dipelihara jiwanya dan menjaga hati orang lain juga. Hidup adalah sementara, jadi tuntutlah ilmu baik-baik dan amalkan dengan cara yang Tuhan redha. Insya-Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan.”
- (Al-Maidah ayat 8)


Filem berdasarkan kisah benar memang cepat menangkap perhatian. Semasa saya menulis entri ini, di Malaysia sedang ditayangkan filem You Mean The World To Me (berdasarkah kisah hidup seorang pengarah menyelusuri semula kehidupan lalunya) serta baru-baru ini ada ditayangkan filem Adiwiraku (kisah benar susah-payah guru dan anak murid di kampung dalam mencapai impian).

Banyak sebenarnya filem kisah realiti yang menarik sama ada dari Amerika, Eropah, India mahupun negara asia lain dan negara timur tengah. Namun filem yang saya ingin perkatakan kali ini adalah filem yang agak tragis, sedih dan penuh emosi serta berjaya menggugah hati ramai penonton. Kerana apa?

Kerana kita seolah tidak dapat menerima alasan logik kenapa peristiwa berkenaan perlu berlaku. Sedangkan hakikatnya ia boleh dielak.

1. Filem Silenced (Korea) - Video @ youtube

Saya mendengar kehebatan cerita ini sudah lama. Namun baru dapat menontonnya di TV9. Dengan pelbagai adegan yang penuh tidak sangka saya dengarkan, rasa teruja untuk menontonnya pasti ada.



Sinopsis: Silence (The Crubicle): kisah benar pedophilia yang berlaku pada 2005 (dijadikan novel, kemudian diangkat sebagai sebuah filem pada 2011) di Sekolah OKU, daerah Gwang-Ju Korea Selatan. Anak-anak ini pekak dan bisu, jadi perkara salah yang dilakukan oleh pengetua mereka (yang kelihatan baik pada mata ramai), diambil mudah dan dilepas tangan. Tidak mendapat pembelaan sehinggalah cerita ini dikisahkan semula.

Aspek kemanusiaan: Kisah ini penuh dengan rasa geram penonton, marah dan tangis. Banyak perkara yang begitu mendukacitakan. Wajarkan seorang pembela menjadi pemusnah? Dan gagalnya suara kurang upaya dalam menentang kuasa besar dalam hidup. Apatah lagi dikaburi dengan perkara-perkara luar yang tidak jujur.

Dari kaca mata penonton filem: Kisah ini boleh ditonton oleh penonton yang bersikap natural atau memang jenis boleh tenang. Jika jenis terbayang (terbawa-bawa), atau mudah terganggu, elok elakkan saja. Namun saya merasakan filem ini begitu kuat dengan rasa semulajadi dan penghayatan para pelakonnya. Seolah-olah pelakonnya tidak berlakon. Sangat real

Kejayaan filem ini:  "Kisah nyata, selepas kisah ni diangkat menjadi filem ‘Silenced’, kes ni mula mendapat liputan antarabangsa dan perbicaraan yang tertangguh sekian lama diangkat ke mahkamah semula. Dulu, kes ni ditutup." - (Sumber: Thevocket)

2. Filem Sunk Into The Womb (Jepun) - Video @ youtube

Filem ini saya tonton di astro. Dalam sibuk orang perkatakan tentang Silenced, ada pula mencadangkan menonton filem ini. Katanya lebih sedih dan penuh ketidakjangkaan.


Sinopsis: Sebuah filem berdasarkan kisah benar yang berlaku di Osaka, Jepun. Mengisahkan seorang isteri dan ibu yang bertanggungjawab dan penyayang diabai suami. Kemudian perlu mencari kerja, dan akhirnya menjalani kehidupan bebas. Ada dua anak kecil. Kemudian dia meninggalkan kedua anak itu. Agak lama, sehingga keduanya kelaparan. Dan ada yang mati. Namun tindakan ibunya setelah pulang, lebih mengejutkan.

Aspek kemanusiaan: Filem ini penuh tanda tanya dan rasa tidak senang. Ada hak manusia yang tidak terpenuhi. Dan dilepaskan dengan cara salah. Tekanan setiap manusia berbeza dan cara menyelesaikannya perlu betul dan paling penting, dicari. Jangan kerana rasa sendiri, kita berbuat sesuatu yang tidak wajar pada diri, mahupun orang di sekeliling. Apapun, sewajarnya perlu kembali kepada Tuhan.

Dari kaca mata penonton filem: Filem ini bagus naratifnya. Dan tidak ada ramai pelakon. Banyak diperlihatkan keletah anak, dan gambaran rumah yang ditinggalkan orang dewasa, filem ini begitu perlahan (banyak guna stationary camera shot). Buat yang jenis menghayati dan tak suka filem jenis laju, ia sesuai untuk ditonton.

*****

Apapun, realiti keadaan yang begitu mendesak dan didorong tuntutan nafsu yang begitu kuat hari ini kadangkala membuatkan keadaan menjadi diluar kawalan, apa yang kita harus lakukan adalah sebolehnya berhati-hati, menjaga diri, mengawal serta mencegah. Moga baik-baik untuk semua kita. Insya-Allah.



Membaca kisah mengenai hari raya; hal kerja rumah, penginapan, pembahagian duit raya, jalan sesak dan pertembungan soalan-jawapan popular di hari raya kebelakangan ini, benar-benar membuatkan saya rindu dan teringat satu kenangan raya sewaktu kecil-kecil dahulu. Dengan seadanya, kami dulu begitu aktif mengunjungi rumah-rumah di kampung. Tanpa segan dan takut dengan pelbagai perkara. Bukan hendak apa sangat, namun seronok berjalan bersama kawan-kawan.

Keadaan sekarang mungkin ada yang berubah, namun nikmat dan rasa seronok hari raya itu tetap indah. Berikut adalah salah satu kenangan waktu kecil (pengalaman sebenar) yang menetap dalam ingatan. Namun digarap (sedikit diubah untuk disesuaikan) menjadi sebuah nukilan pendek.

***

"Rumah ni kau rasa boleh tak?" Nana bertanya kepada Leman, Ali dan Ipin. Ani yang dibonceng di belakang basikalnya diam sahaja. Kelihatan kanak-kanak lelaki bertiga itu berbincang dalam bahasa dan isyarat sendiri sebelum setuju untuk masuk bersama.

"Assalamualaikum.. kami datang nak raya." Ali memberi salam dengan kuat sekali. Kemudian sekali lagi mereka beramai-ramai memberi salam. mereka tidak mengetuk pintu kerana tidak mahu mengganggu. Cukuplah salam sebagai isyarat.

"Waalaikummussalam." Seorang nenek membuka pintu. Wajarlah agak terlewat. Kerana dia kelihatan perlahan-perlahan pergerakannya.

“Ramainya! Masuklah cu. Duduk minum.” Nenek itu menjemput dengan mata yang bercahaya. Senyumnya panjang.

“Dari mana semua ni?” Nenek itu kembali dengan beberapa coklat dan keropok di tangan dari arah dapur. Dan kelihatan seorang lelaki tua tersenyum sama memandang mereka semua.

“Dekat-dekat sini ja, nek!”
“Kampung sebelah!”
“Lorong sana!” Seorang demi seorang menjawab, tak nak kalah. Nenek dan atok ketawa kecil; seronok melihat gelagat-gelagat anak kecil sebaya cucu mereka ini tergopoh-gopoh makan. Selepas satu, satu balang dibuka. Kemudian asyik menambah air. Tak cukup air merah, mereka minum air berwarna oren pula. Gaya macam lapar sungguh, sedangkan itu bukan rumah pertama mereka berkunjung pada hari tersebut.

“Cucu atok dan nenek lebih kurang umur cucu semua ni,” Atok bersuara setelah sekian lama hanya memandang sahaja.

“Mereka mana?” Nana bertanya; jujur.

“Belum balik sini lagi.” Atok menjawab perlahan. Kelihatan nenek memandang jauh ke arah suaminya.

“Nanti baliklah tu!” Ali spontan menjawab. Kelihatan atok dan nenek kembali senyum. Habis saja sesi soal-jawab dan berbual dengan atok dan nenek yang suka bercerita itu, mereka berlima pun memohon untuk pulang.

“Kami balik dulu ya, nek!” Leman memohon izin untuk pulang. Masing-masing bersalam sambil mencium tangan mereka berdua; sayu.

“Maafkan Nek ya cu, nenek tak ada duit raya nak bagi.” Jawapan nenek membuatkan mereka berlima mendongak memandang wajah tua itu.

“Kami datang nak raya ja nek! Kuih nenek sedap.”
“Kerepek pun!” Ayat Nana tadi disambung cepat oleh Ali.
“Terima kasih Nek, Atok.” Ipin berkata mewakili kawan-kawannya.

"Sama-sama. Bila-bila datang lagi ya, Cu." Nenek mengajak.
"Insya-Allah nek, atok." Nana mewakili kawan-kawannya.

Setelah bersalaman dan memeluk tuan rumah yang begitu istimewa itu, mereka kembali mengayuh basikal.

“Kau rasa anak dan cucu atok dan nenek bila balik?” Tanya Nana sambil mengira bilangan hari raya yang sudah beberapa hari berlalu.

“Nanti baliklah tu. Kita doalah sama-sama.” Leman menjawab selamba sambil mereka semua kembali sambung untuk beraya. Mencari rumah-rumah yang sudi menerima dengan hati terbuka. Namun tidak boleh berlama, kerana hari sudah menjelang senja.

***

Kenangan sungguh. Untuk rindu yang tidak berjawab, kita doakanlah.








Kisah benar satu: Kerana Sayang

Kisah ni di radio satu ketika dulu. Kisah benar. Seorang ustaz yang bertembung dengan seorang makcik.

***

Ustaz ni terjumpa seorang makcik sedang berjalan dalam gerimis berseorangan. Dia sudah berjalan 20 km, begitu anggarannya

Ustaz ni bertanyalah;"‘kenapa makcik tak naik bas?” Makcik tu diam sekejap sebelum menjawab.

"Makcik cuma bawa dua ringgit. Seringgit makcik dah bayar bil hospital, ambil ubat anak, tinggal seringgit ni mana cukup nak ambil bas," jawabnya sayu.

Ustaz tu sebak. Dia diberitahu ubat yang diambil tu ubat ketagihan. Allahu, Begitulah kasih seorang ibu, sanggup berjalan jauh untuk anak, walaupun anaknya begitu.

Emak memang begitu, dari kecil sehinggalah kita dewasa berusaha untuk menyenangkan kita.

Dan bayangkan Rasullullah S.A.W lebih sayang kita daripada Emak kita. Pernah sekali Nabi menangis tertunduk sedih. Lama. Allah sampai tak sanggup lihat.

Lantas Allah yang melihat Nabi bersedih itu, bertanya, “kenapa menangis begitu sekali kekasihku? Apa yang kamu mahu?”

Dan Nabi menjawab, “ampunkan dosa umatku, ampunkan dosa umatku, ampunkan dosa umatku."

Allah. Begitulah sayangnya Nabi S.A.W pada kita. Kita nak ikut sunnah Nabi pun hanya kadangkala :(


Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.

***********


Kisah benar dua: Kuasa doa

Ini kisah benar tentang kuasa doa. Telah diceritakan oleh seorang ustaz.. Kisah seorang ibu yang kehilangan anak.
***

Pelbagai cara ibu itu buat untuk anaknya yang lari rumah kembali ke pangkuan. Semua usaha dah dia buat. Mana saja diberitahu anaknya ada, dia pergi .

Sehinggalah suatu hari, Si Ibu ni bertanya seorang ustaz.
“Apa perlu saya buat lagi? Semua saya dah buat, banyak tempat saya dah cari dia tak pulang juga.“

Lantas Ustaz itu bertanya, “Puan selalu berdoa dan solat hajat ? “
Dia menjawab, "Selalu, Sudah.”

Dan ustaz itu cadangkan, “Pilih satu pertiga malam, yang paling tenang, akak berdoa selepas solat dan cerita pada Allah apa yang akak rasa.”

Lantas tiba satu malam, ibu itu pun berdoa. Seakan bercerita kepada Tuhannya.

“Ya ALLAH, sampaikan ini pada anakku. Emak sayang benar kamu, Nak. Baliklah. Mak tak tidur, tak makan memikirkan kamu. Emak maafkan kamu. Baliklah Nak . Mak rindu.“

Menangis dia merayu, mengulang-ulang doa tadi. Dia benar berharap agar anaknya dipermudahkan untuk pulang. Sehingga tertidur dia dalam linangan air mata.

Esok dilalui seperti biasa, sehinggalah waktu Zohor tiba, riba-tiba ada bunyi ketukan dipintu. Ibu membuka pintu. Terkejut melihat anaknya berdiri di hadapannya.

Sambil menangis, si Anak berkata, “Emak, saya minta maaf mak. Saya pulang ni sebab saya tidak boleh tidur malam tadi. Terbayang emak cakap emak tak makan tak tidur rindu saya. Maafkan saya , Mak.“

Deras mengalir airmata si Ibu. MasyaAllah. Betapa dia tahu doanya sampai kepada Tuhannya. Bayangkan betapa terkesannya anak dia terhadap doanya itu.

*****



Demikianlah perkongsian dari dua orang ustaz yang saya dengar melalui radio ikim fm. Moga bermanfaat dan dapat kita ambil iktibar. InsyaAllah. Maaf jika ada sebarang kekhilafan dalam penulisan ini. Terima kasih sudi membaca.











Anem Arnamee 2026 © TERIMA KASIH ♥



click to te top