Showing posts with label arnamee. Show all posts
Showing posts with label arnamee. Show all posts

Sebagai peminat drama melayu, saya suka tengok orang ramai beri ulasan terhadap drama-drama melayu. 

Kalau dalam #LelakiItu banyak disentuh dan dibincangkan bab munahakat, tanggungjawab dan keturunan (sebelum ada scenes yang sensasi, yang tak perlu ada pun sebenarnya).

Dalam #Khunsa diperbincangkan bab biologi dan jantina serta kewujudan jantina ketiga yang memang wujud.

Terbaru, orang bincang bab rujuk pula melalui drama Andai Tiada Dia. Walaupun ramai emosi dengan watak Intan dan Haikal, namun tetap ada ilmu baik yang boleh diambil.

Jika di app Tonton, drama Salju Rindu di Bumi Auckland pun mendapat perhatian dan pujian ramai.

Lara Kasih yang membawa tema dua darjat hidup di kampung pun, sangat menarik jalan ceritanya. 

Begitu juga melalui drama Senyawa melalui Iqiyi yang menampilkan lakonan hebat Trisha Ooi, Shah Jaszle, dan Siti Hariesa - membawakan isu ibu tumpang. Itu pun isu yang jarang ditampilkan.

Kalau nak lagi moden, fresh, drama di Viu pun tak kurang menariknya seperti From Saga With Love yang sangat chill dan colorful vibes-nya.

Ramai cakap drama kita makin bagus. Sebenarnya dah lama bagus, terutama kalau selalu tengok drama #PanggungRTM (termasuk yang adaptasi novel, puisi dan cerpen). Itu belum lagi slot drama di TV AlHijrah dan Astro Originals (terutamanya drama slot Project). Itu juga sangat bagus kualitinya. 

Sekarang dah makin meluas dan ramai tengok drama Malaysia (termasuk orang dari luar negara, negara jiran - mereka pun suka), alhamdulillah. Permulaan yang baik untuk sokong karya tempatan.

Sentiasa ada ruang untuk memperbaiki. Selalu ada hal yang baik untuk permulaan hal indah yang panjang. 


Perkongsian dan luahan peribadi

Anem Arnamee. 


Photo by Huỳnh Đạt: https://www.pexels.com/photo/black-crt-tv-2251206/


 



Hari ini hari istimewa untuk seorang sahabat yang sangat baik dan manis; Khairani (Khai). Mengenali beliau semenjak 2021 di aplikasi twitter, beliau seorang yang penuh dengan kejutan dan kebaikan. Seorang 'problem solver' dan penyabar. 

Beliau sanggup datang dari rumahnya di selatan tanahair (walaupun ada beberapa kekangan) untuk berjumpa dengan saya dan meneruskan tali silaturahim (sudah 3 kali setakat ini). Alhamdulillah. Orangnya juga begitu tenang dan tak berkira. Suka memberi pelbagai hadiah hari lahir kepada saya dan ada masanya, sudi membantu kami sekeluarga. Daging frozen yang sering dikirim dah jadi macam signature ya! Terima kasih banyak Khai.

Khai juga seorang yang kreatif dan berwawasan; mempunyai banyak perancangan dalam hidupnya. Kreatif bermain saxophone, gitar dan mahir mencipta lagu sendiri. Boleh berkunjung ke youtube Khai (@rebrandmusix24) jika nak dengar lagu ciptaan beliau yang lain 

Ini antara lagu yang kami cipta bersama, saya sebagai penulis lirik, beliau pencipta lagu (terima kasih untuk ruang dan peluang). ADA KITA tajuknya. Beliau memang berjiwa seni.




Selain tidak lupa memberi tanda ingatan ketika berjalan-jalan atau melancong, beliau juga ada mengirimkan video dan gambar cantik untuk saya. Baikkan, orangnya? Dahlah comel.




Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari lahir kepada Khairani, moga dipermudahkan urusan beliau seterusnya, dimurahkan rezeki dan moga tercapai apa yang diidamkan. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat baik saya, buat saya happy dan selalu ada jika diperlukan (sungguh, awak telah banyak membantu selama ini).

Semoga persahabatan kita berpanjangan & diberkati hingga ke akhir hayat. Sayang awak, Lillahi Taala. 

Jaga diri selalu, Khai. Moga sentiasa berbahagia bersama keluarga dan insan tersayang. Fi hifzillah.








Minat Nana sejak 1999, beli hampir kesemua album Siti Nordiana (Nana).  Siap kumpul artikel, poster ya dulu. Famili, kawan-kawan sekolah dan saudara-mara ada sokong bagi keratan sekali, terima kasih diucapkan.

Zaman tak ada medsos, pernah hantar surat & emel (Nana balas keduanya!). Pernah jumpa Nana 3 kali sebelum musim GV, baik sangat (pernah jumpa Achik juga). Juga pernah defend Nana dalam majalah waktu dia remaja. Pernah masuk kuiz radio sebab Nana. Kenangan sungguh. 🤭

Pernah buat blog pasal Nana dulu, dan dapat kenal beberapa kawan baru dari Malaysia & negara Asean lain. Sekarang dapat kenal ramai peminat kalangan orang muda pula. Panjang perjalanan minat, panjang lagi kareer Nana kita. Zaman berubah tapi rasa tetap setia.

Malah sampai sekarang saya ada kongsi video berkaitan Nana di sosial media saya, termasuk youtube! 


Tak sabar nantikan Konsert Nana 11 Mei 2024 ini. I'm so proud of you. All the best ya Nana. Jaga kesihatan! 🤍

Plot twist: Saya tak ada rezeki ke konsert beliau, ada perkara kita kena terima ia tak sesuai dengan keadaan semasa kita, tapi doa dan sokongan tetap selalu ada. 

Siapa tak sedih tak dapat pergi konsert artis yang kita minat sejak zaman sekolah. Dahlah ini konsert pertama beliau semenjak bertahun. Tapi kita yakin ini semua ada hikmah. 

Bak kata sis cheryna (Sha):

"Tak apa kita terlepas sedikit peluang, jangan terlepas kasih sayang." 🥲

Namun dapat lihat melalui skrin & mata kawan-kawan pun dah happy. Anyways, saya bangga dengan Nana! Tahniah! Finally. Alhamdulillah. 👏🏻

*****

KONSERT MEMORI BERKASIH SITI NORDIANA 25 TAHUN 


Di sini saya kongsikan (foto dan video) di media sosial berkaitan Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun di Zepp, KL pada 11 Mei 2024. 

Memori Berkasih:




Cinta Hanya Sandaran:


Gambar sewaktu segmen tribute untuk Achik Spin. Foto: Media Hiburan





Sumber: Bernama


Selamat hari raya Aidilfitri buat semua pembaca blog Arnamee blogspot. Terima kasih untuk semua sokongan. Maaf zahir batin untuk semua kekurangan saya. 

*****


 "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya BERSAMAAN dengan berpuasa SEPANJANG TAHUN.” - (HR Muslim)


*Boleh jika nak sekalikan niat puasa ganti & puasa 6 syawal. Namun jika dapat, lebih baik diasingkan (lebih sempurna).


Berhati-hati di jalan raya. Moga amalan dan ibadah kita semua diterima Allah. 

 


Alhamdulillah. Sudah 2 kali saya menerima komisen sedikit melalui Tiktok saya yang belum lagi sampai 1000 pun follower ketika saya menerimanya. 

Dengan hanya ada akaun tiktok dan kena install juga tiktok seller (serta daftar atau sign in di sana, link kan 2 itu) - kalian sudah boleh meniaga atau jika tak ada barang sendiri, buatlah affliate (jual barang orang lain) dengan beg kuning. 

Saya seronok lihat kawan-kawan yang berani live serta untung berniaga di tiktok mahupun di media sosial lain. Alhamdulillah. 

Moga teruk sukses, kome!


Rasa nak buat tiktok boleh klik sini BUAT TIKTOK


Tiktok saya: tiktok.com/@arnamee





Ada perkara kita tak begitu berharap dan berpaut pun dengannya, tapi kesannya luar biasa (kepada kita). 

Ini saya maksudkan dengan youtube saya.  Baru 2 tahun kebelakangan ini saya kembali aktif dan upload video baru semula. Walaupun akaunnya sudah ada lama. Saya pula tidak memikirkan jauh berkaitan engagement atau pun jumlah reach sehari. 

Namun benarlah dikata "konsisten is the key" - akibat rajin upload shorts (video pendek macam di TT dan IG reels), menyebabkan subscriber saya bertambah sedikit dan reach salah satu shorts video terus mencapai lebih 5000 views. Alhamdulillah. Terima kasih banyak.


Senarai shorts saya di youtube



Dahulu saya selalu mengelak menonton drama bersiri sebab merasakan ia memerlukan komitmen masa dan rasa (emosi). 

Sinetron dan telenovela tak pernah pun saya tonton penuh, drama bersiri melayu pula mudah faham, jadi tak apa jika tertinggal episod. 

Sehinggalah beberapa bulan kebelakangan ini saya kembali menonton drama bersiri korea dan inggeris di Netflix. 

Bayangkan sewaktu saya menulis ini, saya telah menghabiskan sebanyak 4 musim siri Manifest dan Supergirl pula saya telah tamatkan di musim terakhir; ke-6. Satu musim ada lebih kurang 13-22 episod. Belum lagi beberapa drama bersiri korea tertangguh yang telah pun saya selesaikan.

Betullah kata orang, hendak seribu daya.  Jika kita mahu, kita akan cuba usahakan. Namun selalu selalu saya pesan ke diri saya: tetaplah keterlaluan adalah tidak baik - perlu bersederhana, bijak menguruskan masa dan kena tahu prioriti kita.


*Saya telah menonton filem Farha di Netflix, kini akan menonton dokumentari Born In Gaza pula kelak. Insya-Allah.



Pergi ke klinik atau hospital, sangat menginsafkan. Kita akan dekat dengan hidup dan mati. Kita akan merasakan pentingnya sihat dan jaga diri. Juga betapa pentingnya menghargai dan dihargai orang sekeliling.

Jika 2023 cabarannya dengan banyaknya hal-hal melibatkan kesihatan (keluarga dan kucing kesayangan), 2023 juga menggembirakan dari segi pengalaman berkawan dan selesainya membayar pinjaman (PTPTN).

Alhamdulillah. 

Apabila sedang di bawah dan diuji, kita kena ada rasa mahu segera bangkit, mahu sentiasa menyayangi - dan kita perlu sedar bahawa dalam dunia kita tak sendiri. Ramai juga begitu dan begini. Cuma sama ada mereka mahu beritahu atau sekadar simpan sendiri.


Tulisan ini telah lama ada di Wattpad saya - dalam salah satu bab Catatan Sederhana. Namun sempena hari kelahirannya hari ini, saya menyalin kembali dan meletakkannya di blog saya pula.


Kadangkala orang tak faham pun minat kita. Tapi mereka datang dengan rasa menerima yang berbeza. Dan tentang seorang ini yang Tuhan hantar kepada saya, saya sangat bersyukur.

Dia tidak kelihatan seperti biasanya saya lihat. Bukan. Dia bukan pelik, tapi dia tesendiri; kelihatan begitu jujur apa adanya namun terkawal. Bijak namun tidak berlagak.

Seorang yang sangat meminati bola sepak (dan sukan lain juga) namun amat gemar membaca. Seorang yang berhati lembut namun tegas.

Seorang yang kuat untuk bangkit dan sangat tekad dalam apa sahaja yang dia buat. Seringkali menjadikan kekurangan sebagai kelebihan, membuatkan dia begitu menyerlah.

Dia; kakak yang saya hanya panggil nama sahaja. Kerana terlewat tahu umur namun saya malu mahu mengundur (perlulah mengaku). Tapi bukan jauh sangat, rasanya dia pun tak kisah. Dia jenis cool! - Walaupun nampak garang. Ops. Sorry. Hehehe.

Buat Kakak Siti Nur (nama ini saya letak di wattpad sebelum ini - saya panggil dia Sha dan nama di internet dia Cheryna), terima kasih untuk selalu ada walaupun awak sendiri tidak menyedarinya. Apatah lagi untuk kewujudan luahan di sini. Namun doa sentiasa bersama.

Kakak, moga nanti kita berpeluang lagi berjumpa. Insya-Allah.

Hari ini 13 Oktober - Selamat hari lahir Kekanda saya. Moga terus dipanjangkan usia dalam keberkatan dan dilimpahi rezeki serta kejayaan bersama bonda dan keluarga tersayang. 

*Signifikasi guna gambar ini - sebagai ingatan lokasi awal kita berjumpa.

Untuk bertahun perkenalan kita, moga kita bersahabat berpuluh tahun lagi sehingga ke syurga. Insya-Allah. ♥️




Baru-baru ini saya sedih dengan diri sendiri, namun saya terima banyak pujukan kawan-kawan menyatakan perlu redha dan percaya yang saya telah buat yang terbaik - agak berat untuk saya terima awalnya, sebab saya yakin saya boleh buat yang lebih baik.
Sehinggakan saya terfikir sebenarnya saya tak patut pun untuk peluang itu (tapi Allah telah beri, pasti saya sesuai untuk itukan?), dan saya rasa adakah rezeki saya akan diberi lagi hal-hal begitu? (Saya yakin Allah Maha Pemberi, namun layakkah saya?).

Masih sedih, namun terlalu berfikir adalah tidak baik. Perkara apa pun jika berlebih, tidak pernah baik. Jadi untuk tidak terus menzalimi diri, saya harus berjalan ke depan dan berjanji lebih menghargai peluang jika diberi. Untuk nikmat yang pernah diberi, saya perlu syukurkan (bukankah syukur itu akan menambah lagi nikmat?). Jadi untuk semuanya, alhamdulillah. 

Dalam hidup, kekesalan sentiasa ada. Seperti hutang dan rindu, rasa kesal juga banyak dan berat tidak tetanggung. Namun moga Allah maafkan kita semua dan masih beri ruang untuk terus memperbaiki diri. Insya-Allah. Moga diberi kekuatan. 

P/S:

Perkara apa pun jika berlebih, tidak pernah baik.




Tempoh hari saya pergi bank nak cash-kan check yang dapat daripada google (terima kasih pada yang sudi berkunjung ke blog dan rajin klik iklan). Alhamdulillah. Untuk permulaan, syukur.

Semuanya berjalan seperti biasa. Sehinggalah kakak bank tu tanya, "awak ada akaun youtube ya, review apa ja? Bagilah tahu boleh kami view, like kah."

Waktu tu saya rasa merah dah muka saya. Dia tanya lagi, "berapa view boleh dapat baru Google bagi ni?"

Sambil malu-malu alah saya jawab, "bukan. Ini duit blog. Berdasarkan orang klik iklan. Bukan youtube. Saya tulis random ja."

"Random?" Dia senyum. Saya pun senyum.

Ingat balik perkara ni, segan betul saya. Sorry kakak, saya malu nak jawab dekat situ (terkejut ditanya sebenarnya, pertama kali orang tanya live gini)! Haha.

Iklan yang diletakkan di sesebuah blog ini kiraannya berdasarkan rate per click atau kadang bayaran ikut tempoh siaran. Berbeza pula harga kadang apabila berbeza penaja (sponsored). Jadi, kalau awak ada blog, letaklah iklan, tak rugi pun, daftar pun percuma. Begitu.

Sekali lagi, terima kasih buat semua kawan-kawan yang sudi berkunjung ke blog. Alhamdulillah!


** Ya saya tahu. Saya kena rajin lagi menulis dan berkongsi selepas ni. Doakan saya ya. :)

- Arnamee



Alhamdulillah. Raya datang lagi! Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada ahli keluarga saya, semua saudara-mara yang mengenali dan tidak lupa buat sahabat-sahabat yang sudi di sisi selama ini. Juga buat yang sudi membaca blog saya ini. Berhati-hati dan jaga hati.

Ucapan raya untuk sahabat yang selalu di sisi;

Raya tiba lagi. Saya ingin memohon maaf jika pernah mengguris hati. Terima kasih kerana bertahan setiap inci. Moga di hari raya ini, kita semua diberkati.

Buat sahabat jauh, walaupun mungkin jarak memisahkan kita namun kasih sayang tidak pernah berjarak. Dalam ingatan, kamu tidak pernah kulupa. Moga terus baik-baik saja-saja. Berjodoh, nanti kita jumpa. Insya-Allah.

Buat sahabat yang diduga, kuatlah kerana kamu terpilih dan sangat disayang Dia Yang Maha Kuasa. Bertahanlah wahai sahabat yang tabah jiwanya. Ada ganjaran dalam setiap dugaan. Moga sentiasa dipeluk sabar dan dipermudahkan semua urusan.

Buat yang baru dikenali, moga nanti kita makin rapat dan berukhwah kerana Ilahi.

Buat semua, terima kasih dari hati. Di hari raya ini, ke manapun mohon hati-hati. Dan jaga diri.

Salam aidilfitri,
Anem Arnamee.


Nah, lagu untuk sahabat semua: Senandung Hari Raya Untukmu: Dayangku Intan



Untuk pelbagai mesej dan pantun raya menarik: https://theinspirasi.my/pantun-dan-ucapan-hari-raya-aidilfitri/
 


Alhamdulillah. Dua buah buku ini ada tulisan saya (cerpen) di dalamnya. Tapi yang saya ingin cerita di sini adalah tentang cerpen kawan-kawan lain yang menjadi pilihan saya. Tidak mahu menjadi pemilih membaca apa saja yang kita suka, saya tertarik dengan cerpen rakan-rakan sebuku saya. Saya pasti ramai yang beli buku apapun ada kegemaran tersendiri.

Kedua-dua buku ini adalah terbitan Khairy Tajudin Resources (terima kasih juga untuk beliau).

1. Antologi Akhirnya Aku

Cerpen saya di dalam buku ini berunsur persahabatan lelaki dan perempuan namun saling menghormati dan tiada unsur cinta satu sama mereka. Sentiasa saling menyokong. Tajuknya, Akhirnya Aku Masih Begini.

Cerpen pilihan:

Saya cuba memilih sedikit sahaja untuk menjadi pilihan hati. Namun gagal. Banyak yang menarik hati. Namun berdasarkan tajuk saya cuba untuk melihat kelainan setiap cerita.
  • Akhirnya Aku Meletop – Siti Aksara
Penulisan Siti Aksara ini paling saya minati kali ini. Sedikit laju. Namun saya suka kerana ceritanya tentang penulis yang berani.
  • Akhirnya Aku Nekad – Norillah Abdulllah Hassim
Seorang yang berkerja dalam bidang dia suka namun di tengahnya menjumpai titik berbelah bagi. Pembahagian rasa di sini saya juga boleh rasa.
  • Akhirnya Aku Pulang – Harith Hakeem
Mengingatkan saya pada drama kekeluargaan di hari raya. Namun hujungnya menyentuh. Dan bukan biasa-biasa.
  • Akhirnya Aku Temui Cinta Sejatiku – Asyiqin Adir
Ini sedikit lucu dan agak diluar jangka. Seakan mengenakan pembaca namun sangat boleh diterima.

Pilihan lain: Akhirnya Aku Tahu (Kecu) & Akhirnya Aku Kembali (Rozalia Rajali)

Yang lain-lain tetap penulisan yang baik namun jika anda mahu membaca bolehlah dapatkan sendiri di kedai-kedai.

2. Antologi Bebas

Cerpen saya dalam buku Bebas ini pula mengisahkan persahabatan dan hidayah yang hadir dalam hidup seorang perempuan. Bertajuk Asbab.

Cerpen pilihan:
  • Perjuangan - Sa'adiah Shuib
Siapa sangka kita akan tertarik jauh tenggelam dalam ceritera berbentuk sejarah ini. Malahan semangat wataknya buat kita kagum dan turut bersemangat. Bagi saya ceritanya membuka mata (saya) juga.
  • Busuk Harum Durian - eartHDance
Manis-manis selepas perkahwinan jarang sekali diceritakan. Dan cerita sebegini adalah sebuah bacaan yang wajar diselalukan.
  • BRIM Oh BRIM - Nidra
Cerita ini sangatlah dekat dengan masyarakat kita. Memilih kepercayaan dan kewangan sebagai isu utama, cerpen ini kelihatan sangat berjaya menangkap pembaca.
  • Lorong - Tun Teja
Cerita ini adalah tentang persepsi dan semangat. Yang di awal tak semestinya sama seperti akhir.

Pilihan lain: Jangan Prejudis (Manja lela) & Lutsinar (Qay Elfansuri).

Apa lagi paling indah jika bukan suka pada apa yang kita ada? :)

Untuk yang sudah baca, boleh komen di goodreads: Akhirnya Aku Bebas. Di sana, tulislah komen yang anda suka.

Oh ya, jika ingin beli, buku-buku ini ada dijual di kedai buku, atau boleh beli terus pada penerbitnya, saudara Khairi Tajudin di facebook dan mungkin juga boleh terus pada penulis-penulisnya yang lain (melalui hashtag antologiAkhirnyaAku & hashtag AntologiBebas) di laman sosial facebook, atau instagram.

Untuk yang suka membaca, teruskan menambah ilmu. Untuk yang suka menulis, jangan pernah jemu. Sekian. Terima kasih.



Dengan orang,

Kadang-kadang kita rasa tiada mood.
Kadang-kadang kita rasa tiada siapa yang faham kita.
Kadang-kadang kita fikir siapa pun tak pedulikan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya.
Kadang-kadang tiba-tiba kita rasa menyesal.

Kenapa kadang-kadang kita rasa pelik sangat.
Kadang-kadang je orang nak bercakap dengan kita.
Kadang-kadang macam entah apa-apa kita ni.

Kadang-kadang kita terfikir kenapalah dengan orang tu.
Kadang-kadang kita rasa kita tak layak untuk sesuatu.

Kadang-kadang kita salahkan keadaan.
Kadang-kadang sukahati kita je.

___asyik berkadang-kadang dengan orang__

dengan diri ,kita tanya balik:

Kenapa Kadang-kadang jer kita ingat DIA .

-ALLAH yang esa?


__________________

P/S: haa.. kadang-kadang tak tahu nak tulis apa;p

*"kadang-kadang" = "kadangkala".

__________________________________

Hadis dari Abu Hurairah :
عَنْ اَبِىْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله ُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْ لُ اللهِ صلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلم: اُنْظُرُوْااِلَى مَنْ هُوَ اَسْفَلَ مِنْكُمْ (وَلاَتَنْظُُرُوْا اِلَى مَنْ فَوْقَكُمْ فَهُوَاَجْدَرُاَنْ لاَتَجْدَرُا (متفق عليه
Dari Abu Hurairah R.A berkata : Rasulullah SAW bersabda : Lihatlah orang yang rendah dari pada kamu dalam urusan dunia dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi dari pada kamu, maka dia lebih patut / pantas (menempati kedudukan yang lebih tinggi dari pada kamu), agar kamu tidak mengandai-andai (jangan kamu pantas - pantaskan kedudukan orang yang ada di atasmu). (H.R. Bukhori dan Muslim).


*entri tahun 2009 yang masih relevan









Anem Arnamee 2025 © TERIMA KASIH ♥



click to te top